Kakitangan Pejabat Perikanan Daerah melakukan mengesan ikan laga betta liar di kawasan perparitan. FOTO MOHD AMIN JALIL
Kakitangan Pejabat Perikanan Daerah melakukan mengesan ikan laga betta liar di kawasan perparitan. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Rembau: Ikan laga liar atau dikenali dengan panggilan betta mempunyai nilai komersial tinggi bukan sahaja di pasaran tempatan, malah di luar negara.

Ketua Daerah Perikanan Rembau/Tampin, Md Johari A Latif berkata ikan itu yang mempunyai pelbagai spesies boleh dijual sehingga mencecah antara RM100 hingga RM200 seekor.

Bagaimanapun, katanya, ikan pelaga itu kini amat terhad diperoleh kerana mengalami kepupusan kesan daripada pembangunan kawasan terutama sawah padi yang semakin mengecil selain faktor air dan kemasaman tanah.

"Kini Jabatan Perikanan Negeri Sembilan sedang berusaha mengesan lokasi spesies ikan laga betta liar bagi tujuan mendapatkan persampelan dan kemudiannya memetakan lokasi pembiakan.

"Ini sebagai langkah dan perancangan jangka panjang demi untuk memastikan kelestarian spesies betta liar di Negeri Sembilan," katanya ketika ditemui, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama kakitangan Pejabat Perikanan Daerah dan Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (FRI Glami Lemi) menjalankan aktiviti pengesanan persampelan serta mengenal pasti lokasi kewujudan ikan pelaga betta liar membabitkan tiga daerah iaitu Tampin, Kuala Pilah dan Jempol.

Md Johari berkata, hasil aktiviti dijalankan itu, pihaknya berjaya mendapatkan persampelan di beberapa lokasi dan didapati terdapat banyak spesies betta pugnax atau nama tempatannya ikan laga gajah.

Beliau berkata, kajian akan dibuat terlebih dulu terhadap ikan berkenaan terutama dari segi kesesuaian lokasi bagi tujuan pembiakan.

"Usaha kami untuk memastikan ikan laga atau betta liar ini tidak pupus kerana ia mempunyai nilai komersial tinggi serta memiliki ramai peminat tempatan dan luar negara.

"Bagaimanapun, penerokaan kami bagi menjejaki ikan laga ini masih di peringkat awal dan akan ditingkatkan lagi dari semasa ke semasa sebagai langkah jangka panjang," katanya.

Menurutnya, berbanding Muar, Johor, setakat ini di Negeri Sembilan tidak terdapat mana-mana kawasan diwartakan sebagai tempat pembiakan ikan berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, peminat bebas mendapatkan ikan berkenaan, namun tindakan yang tidak bertanggungjawab mereka dikhuatiri akan menyebabkan kemusnahan ikan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 November 2021 @ 6:40 PM