WALAUPUN falsafah dan mantik Yunani masuk ke dunia Islam, majoriti ulama Salaf yang berpegang teguh dengan akidah ASWJ  melihat betapa pentingnya untuk ia disaring dan dibezakan antara perkara yang hak dengan batil di dalamnya.
WALAUPUN falsafah dan mantik Yunani masuk ke dunia Islam, majoriti ulama Salaf yang berpegang teguh dengan akidah ASWJ melihat betapa pentingnya untuk ia disaring dan dibezakan antara perkara yang hak dengan batil di dalamnya.
Dr Mohd Khafidz Soroni

ADA sesetengah pihak mendakwa ilmu kalam diambil daripada mantik Yunani. Namun, dakwaan ini jelas tidak tepat sama sekali kerana ilmu kalam yang disusun oleh ulama Ahlus Sunnah Waljamaah (ASWJ) hakikatnya hanya mengambil kira puncak pengetahuan paling tinggi ilmu logik dalam tamadun manusia yang ditandai dengan mantik Yunani dan bukannya diadaptasi langsung daripadanya.

Meskipun daripada sudut bahasa Arab, kalam dan mantik bersinonim, namun daripada segi istilah ilmu kedua-duanya jauh berbeza.

Ini kerana ilmu kalam bertujuan memastikan dalil akal berfungsi sebagai penyokong kepada dalil wahyu. Sedangkan mantik Yunani menjadikan logik akal sebagai hujah dan dalil ke atas segalanya.

Falsafah dan mantik Yunani mula masuk ke dunia Islam pada zaman Khalifah al-Mansur (136-158H), pengasas hakiki Kerajaan Abbasiyyah. Ini kerana pada zamannya, beliau amat menggalakkan penterjemahan kearifan tamadun asing seperti Yunani, Parsi, Syriac dan Sanskrit kepada bahasa Arab. Malah, beliau meletakkan di istananya asas penubuhan Baitul Hikmah bagi tujuan tersebut. Pada masa inilah, Abdullah bin al-Muqaffa (wafat 142H), antara penterjemah tersohor berjaya menterjemahkan tiga karya Aristotle iaitu Qategorias (al-Maqulat), Peri Hermeneias (al-Ibarah) dan Analutiqa (al-Qiyas) serta karya Porphyry bertajuk Isagoge (al-Madkhal). Kegiatan penterjemahan dan perbahasan ilmiah di bawah dasar keterbukaan Kerajaan Abbasiyyah ini terus berkembang pada zaman Khalifah al-Mahdi (158-169H) dan Khalifah Harun ar-Rasyid (170-193H). Malah, falsafah dan mantik Yunani mendapat perhatian secara lebih khusus pada zaman Khalifah al-Ma'mun (198-218H). Sewaktu pemerintahannya, muncul dua tokoh penterjemah yang handal iaitu Hunain bin Ishaq (meninggal 259H) dan Ya'qub al-Kindi (meninggal 256H) yang telah menterjemahkan banyak kitab Yunani.

Apa-apa pun jika kita teliti, mantik Yunani bukanlah sejenis ilmu mistik atau khurafat. Ilmu ini hanya berkaitan seni dan kanun berfikir secara logik menurut kemampuan akal yang dianugerahkan kepada manusia. Berfikir menggunakan akal jelas sudah ada pada manusia sejak Nabi Adam AS diciptakan oleh Allah SWT. Hanya pembangunan seni dan kanun berfikir secara sistematik dalam sejarah tamadun manusia baru mencapai kemuncaknya pada zaman ahli falsafah Yunani. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan seni dan kanun berfikir mereka bercampur baur antara perkara yang hak dan batil, terutama apabila mereka membahaskan perihal ketuhanan dan perkara ghaib.

Kerana itu apabila kitab-kitab mantik dan falsafah Yunani diterjemahkan ke bahasa Arab, isu mula timbul. Walaupun terdapat sisi positif, namun kesan negatifnya menyebabkan sebahagian umat Islam yang tidak mempunyai penguasaan ilmu al-Quran dan sunah yang mantap mula terpengaruh dengan kemilau khazanah ilmuwan Yunani ini. Maka, muncullah golongan ahli bidaah yang mengembangkan fahaman mereka dengan mengutamakan penggunaan dalil aqli ke atas dalil naqli. Di antara fahaman bidaah ini, aliran Muktazilah mendapat tempat istimewa dalam kalangan bangsawan Kerajaan Abbasiyyah sehingga tiga khalifahnya kemudian berpegang dengan fahaman tersebut iaitu Khalifah al-Ma'mun (198-218H), Khalifah al-Mu'tasim (218–227H) dan Khalifah al-Wathiq (227–232H).

Kesemua situasi ini berlaku di hadapan mata dan pengetahuan majoriti ulama Salaf yang berpegang teguh dengan akidah ASWJ. Lantaran itu, sebahagian mereka melihat betapa pentingnya untuk menelaah mantik Yunani ini supaya dapat disaring dan dibezakan antara perkara yang hak dan batil di dalamnya. Mereka berpendapat, segala syubhah dan kekeliruan perlu dijawab dengan hujah yang boleh meyakinkan dan mengembalikan semula golongan tersesat ke jalan benar.

Atas faktor ini, munculnya ulama kalam daripada kalangan ASWJ yang menerima dalil akal yang tidak bertentangan dengan prinsip al-Quran dan sunah serta menolak mana yang bertentangan dengan kedua-duanya. Antara pelopor mereka ialah Imam Ibnu Kullab (wafat selepas 240H), Imam al-Harith al-Muhasibi (wafat 243H) dan Imam al-Karabisi (wafat 248H) yang mendukung akidah Salaf melalui metode kalam sehingga mereka mampu berdepan secara langsung dengan golongan ahli bidaah ini. Ibnu Kullab misalnya, pernah membungkam dan mematahkan hujah ulama Muktazilah dalam sebuah majlis perdebatan di hadapan Khalifah al-Ma'mun.

Mereka mengguna pakai metode ini berdasarkan ijtihad mereka, meskipun tidak dipersetujui oleh ramai ulama hadis pada masa itu seperti Imam Ahmad (wafat 241H) dan lain-lain. Walaupun demikian pendirian ulama hadis pada peringkat awalnya, namun lama-kelamaan situasi mulai berubah terutama selepas kemunculan Imam al-Asy'ari (wafat 324H) dan Imam al-Maturidi (wafat 333H) yang mengemas kini metode kalam ASWJ. Ramai ulama hadis kemudian terutamanya daripada kalangan mazhab Hanafi, Maliki dan Syafii mulai menerima pendekatan berkenaan.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 5:59 AM