RASULULLAH mengajar umatnya supaya sentiasa berdoa supaya dijauhkan daripada fitnah dunia dan fitnah dajal.
RASULULLAH mengajar umatnya supaya sentiasa berdoa supaya dijauhkan daripada fitnah dunia dan fitnah dajal.
Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

SERING kali kita mendengar fitnah terbesar yang akan melanda umat akhir zaman iaitu fitnah dajal. Ada yang mengatakan tidak perlu dirisaukan kerana dajal belum keluar dan ada juga mengatakan kita perlu berwaspada kerana fitnahnya sudah tiba.

Walau apa pun pemahaman kita mengenai fitnah dajal, Nabi SAW mengingatkan umatnya agar bersedia dengan fitnah terbesar ini dan berusaha berlindung daripadanya dengan memberi petunjuk dan bimbingan kepada umatnya dengan sesuatu yang dapat melindungi mereka daripada fitnah dajal.

Nabi SAW meninggalkan dua perkara utama. Sekiranya kita berpegang dengan dua perkara ini maka kita tidak akan sesat sampai bila-bila. Dua perkara tersebut adalah al-Quran dan as-Sunah. Nabi SAW bersabda maksudnya:

"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan tersesat selama-lamanya selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunahku." Hadis Riwayat al-Hakim

Manusia akhir zaman akan berhadapan situasi di luar jangkaan khususnya membabitkan fitnah akhir zaman dan fitnah dajal. Maka Nabi SAW memberi petunjuk yang perlu untuk dijadikan amalan bagi mengelakkan diri terjatuh ke lembah fitnah dajal.

Dalam sebuah hadis, daripada Abu Darda' RA, bahawa Nabi SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah dajal." Hadis Riwayat Muslim

Dalam hadis lain, baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi sebagaimana ia diturunkan maka baginya cahaya pada hari kiamat dari tempat berdirinya hingga Makkah dan barangsiapa membaca 10 ayat terakhirnya kemudian dajal keluar maka dia tidak akan dapat dikuasainya." Hadis Riwayat Muslim

Imam Nawawi menjelaskan bahawa pada ayat permulaan surah al-Kahfi menceritakan keajaiban dan tanda kebesaran-Nya maka sesiapa yang mengtadabburnya (membaca serta memahami maknanya) tidak akan terkena fitnah dajal dan begitu juga di akhirnya (akhir surah al-Kahfi).

Sepuluh ayat terawal memperihalkan mengenai kenyataan al-Quran dan keadaan orang yang kufur serta orang yang beriman terhadap al-Quran. Sepuluh 10 ayat yang terakhir pula menunjukkan natijah bagi mereka yang beriman dan kufur. Dengan menghafal ayat awal dan ayat akhir surah itu akan menambahkan keimanan bagi mereka yang benar-benar mentadabburkan ayat al-Quran serta mengharap pemeliharaan Allah SWT daripada fitnah dajal.

Allah SWT berfirman maksudnya: "Maka apakah orang kafir menyangka mereka dapat mengambil hamba-Ku menjadi penolong selain Aku…" Surah al-Kahfi ayat 102

Wasiat Rasulullah ini agar berlindung dengan Allah daripada fitnah dajal disebabkan manusia akhir zaman mendapat ujian keimanan yang begitu berat. Tambahan pula pada akhir zaman ini tentangan terhadap Islam semakin kuat sehingga Rasulullah SAW bersabda: "Akan sampai satu masa manusia yang mempunyai kesabaran pada agamanya akan menjadi seperti orang yang menggenggam bara api." Hadis Riwayat al-Tirmizi

Hadis ini menggambarkan akan perihal dan keadaan manusia pada akhir zaman yang penuh dengan cabaran serta ujian bagi orang yang ingin berpegang dengan agama. Pada waktu itu, umat Islam perlulah menjaga agama mereka dan pada masa yang sama perlu meninggalkan nikmat dunia yang sementara ini. Tambahan pula, persekitaran dan suasana pada waktu itu tidak membantu seseorang untuk menunaikan segala kewajipan serta tuntutan agama, bahkan apa yang ada di sekelilingnya lebih mendorong untuk melakukan maksiat dan perkara yang boleh meruntuhkan keimanan seseorang. Disebabkan itu, Nabi SAW mengumpamakan orang yang hidup pada zaman itu seperti seorang yang memegang bara api dalam melaksanakan tuntutan agama.

Selain itu, umat akhir zaman perlu sentiasa berdoa kepada Allah SWT dan memperbanyakkan zikrullah agar diselamatkan daripada fitnah.

Nabi SAW menganjurkan agar membaca doa selepas tahiyat akhir sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: "Apabila kamu selesai daripada membaca tasyahud akhir maka berlindunglah dengan Allah daripada empat perkara: Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada azab neraka jahanam, daripada azab kubur, fitnah kehidupan dan kematian serta daripada kejahatan fitnah al-Masih al-Dajal." Hadis Riwayat Muslim

Imam Bukhari meriwayatkan daripada Mush'ab bin Saad bin Abi Waqash, dia berkata, "Saad memerintahkan lima perkara yang diperintahkan oleh Nabi SAW antaranya berdoa dengan memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada fitnah dunia iaitu fitnah dajal.

Imam Thawus bin Kaisan, apabila anaknya selesai solat akan bertanya: Adakah beliau sudah membaca doa ini. Jika dijawabnya tidak, nescaya diminta mengulangi solat dan membaca doa ini. Perkara ini menunjukkan betapa besarnya perhatian kaum salaf untuk mengajar putera mereka dengan doa yang agung ini.

Imam As-Safarini pula berkata, "Sepatutnya setiap orang alim menyampaikan hadis dajal kepada anak perempuan dan lelaki. Dan disebutkan dalam riwayat bahawa di antara tanda kemunculan dajal ialah telah lupanya orang menyebut di mimbar-mimbar"

Selanjutnya beliau mengatakan, "Apatah lagi pada zaman kita ini yang banyak fitnah dan ujian, sunah dianggap bidaah dan bidaah dianggap sebagai syariat yang harus diikuti." Lawami'ul-Anwaril Bahiyyah

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa mendengar ada dajal maka hendaklah dia bersembunyi daripadanya. Demi Allah ada seseorang yang mendatanginya dan dia mengira bahawa ia beriman kemudian dia mengikutinya kerana banyak subahat serta kesamaran yang menyertainya." Hadis Riwayat Ahmad

Oleh itu, berlari dan menjauhi dajal adalah perkara yang perlu dimulakan dari sekarang dan bukan menunggu dajal keluar terlebih dahulu. Apabila dajal muncul, setiap Muslim mesti menjauhinya kerana pelbagai kesamaran dan kejadian luar biasa yang dikurniakan kepadanya menyebabkan ramai manusia akan mengikutinya. Maka kita perlu sentiasa memohon perlindungan Allah semoga dilindungi daripada fitnah dajal.

Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 5:59 AM