ARAHAN peperangan bukanlah sewenang-wenangnya dilaksana sesiapa pun sebaliknya berlaku dengan arahan pemimpin. FOTO Arkib NSTP
ARAHAN peperangan bukanlah sewenang-wenangnya dilaksana sesiapa pun sebaliknya berlaku dengan arahan pemimpin. FOTO Arkib NSTP
Dr Mohd Hasrul Shuhari

Jabatan Fatwa Mesir yang dikenali sebagai Dar al-Ifta' al-Misriyyah menerusi muftinya iaitu Prof. Dr. Shauqi Ibrahim 'Allam menjawab persoalan tentang maksud sebenar bagi hadis kelapan dalam kitab al-Arba'in al-Nawawiyyah (Hadis Empat Puluh Imam al-Nawawi) pada 14 Oktober 2020.

Hadis tersebut diriwayatkan daripada 'Abdullah ibnu 'Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: ‎"Aku telah diperintahkan supaya memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa ‎ sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan sesungguhnya Muhammad itu utusan Allah, ‎ mereka mendirikan solat dan membayar zakat. Apabila mereka telah berbuat demikian, maka mereka telah memelihara darah dan harta mereka daripadaku melainkan dengan hak lslam, manakala perhitungan amal mereka pula terserah kepada Allah". (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jabatan tersebut memberi jawapan ringkas dan terperinci atau huraian panjang. Mungkin untuk meraikan pembaca yang hanya mahu tahu jawapan ringkas di samping meraikan para pembaca yang ingin mengkaji lebih lanjut, maka diberi jawapan lebih detil.

Jawapan ringkasnya, arahan dalam hadis itu yakni 'umirtu' (aku diperintahkan) arahan khusus hanya untuk Nabi SAW bukan arahan untuk selainnya dari kalangan umatnya. Ia ditujukan kepadanya dari aspek baginda sebagai pemimpin. Begitu juga, kalimah 'uqatila' (aku memerangi) merujuk kepada pertahanan dan penentangan sebagai tindak balas pencerobohan pihak lain ke atas umat Islam.

Manakala, kalimah 'al-nas' (manusia) disebut secara umum namun dimaksudkan secara khusus. Ini bermaksud, manusia dalam hadis tersebut merujuk khusus kepada golongan musyrikin yang memerangi dan menceroboh sahaja. Ia tidak merujuk kepada golongan selain dari mereka seperti golongan bukan Islam yang tidak memerangi umat Islam. Apatah lagi, ada hadis dalam lafaz lain diriwayatkan oleh Imam al-Nasaei dengan ungkapan: 'umirtu an uqatila al-musyrikin' (aku diperintahkan memerangi golongan musyrikin). Ini menunjukkan ada hadis lain memberi penjelasan tentang maksud sebenar ungkapan 'al-nas' dalam hadis tadi.

Maka, berdasarkan jawapan ringkas Jabatan Fatwa Negara Mesir, hadis itu perlu difahami dengan cara yang betul. Ia tidak boleh difahami secara literal tanpa mengambil kira kaedah digariskan ulama. Ini pentingnya pakar bidang dan para ulama Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) yang bercirikan al-wasatiyyah (kesederhanaan), yang bukan bercirikan ifrat (liberal/terlalu terbuka) dan tafrit (literal/terlalu ketat). ASWJ berperanan membimbing umat Islam dan menunjuk ajar sesiapa yang ingin memahaminya.

Bagi awapan agak panjang pula, Jabatan Fatwa Negara Mesir menyatakan hadis ini dikira sebagai hadis mutawatir menurut para ulama hadis. Menurut kaedah dimaklumi di sisi mereka iaitu kaedah al-tawatur yufid al-qat'iyyah fi al-thubut yakni mutawatir memberi faedah kepastian pada kesabitannya. Huraian ringkasnya, ungkapan hadis itu memang disebut baginda Nabi SAW secara pasti dan umat Islam wajib meyakininya. Jika sesiapa mengingkarinya boleh menyebabkan kekufuran.

Tinggal lagi, bagaimana cara memahami makna hadis itu secara benar? Ungkapan hadis datang dari Nabi SAW secara mutawatir, namun apa maksudnya? Adakah maksudnya boleh bunuh atau memerangi sesiapa saja hingga mereka mengucap syahadah, seolah-olah memaksa semua manusia memeluk Islam?

Jabatan itu menyatakan untuk memahami hadis tersebut, caranya menggunakan kaedah bahasa Arab seperti disebut dalam Ilmu al-Bayan bagi memahami makna lafaz hadis. Jika ada mutashabihat (kesamaran makna) pada lafaz hadis, maka perlu merujuk lafaz hadis atau dalil nas lain yang muhkamat (jelas maknanya) dan qat'i (makna yang putus dan yakin).

Perlu diperhatikan perintah disebutkan dalam hadis tersebut datang dari Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Menurut ulama muktabar yang mensyarahkan hadis ini iaitu al-'Allamah Badr al-Din al-'Aini (m. 855H) dalam kitabnya 'Umdah al-Qari Sharh Sahih al-Bukhari, ungkapan "Aku telah diperintahkan" merujuk kepada tiada yang memerintahkan Nabi SAW untuk memerangi golongan terbabit, melainkan Allah SWT sahaja. Jadi, "aku diperintahkan" difahami dengan maksud "Allah SWT memerintahkanku".

Menurut al-'Allamah al-Tufi al-Sarsari (m. 716H) dalam kitab al-Ta'yin fi Sharh al-Arba'in, ungkapan 'aku diperintahkan' difahami dengan maksud "Allah SWT yang memerintahkanku". Ini kerana, tiada seseorang pun melebihi darjat Nabi SAW yang berhak mengarahkannya untuk melakukan sesuatu, melainkan Allah SWT sahaja.

Perlu diberi perhatian perintah untuk berperang tidak dinyatakan dengan ungkapan 'kamu semua diperintahkan' atau 'kami diperintahkan' sebaliknya ia disebut dengan ungkapan 'aku diperintahkan'. Ini menunjukkan perintah Allah SWT kepada Nabi SAW secara khusus bukan kepada selainnya dari kalangan umatnya. Tiada dalil dan qarinah menunjukkan perintah ini diberi kepada selain Nabi SAW.

Ada ayat al-Quran lain yang memberi petunjuk sama sepertimana disebut al-Imam Abu Ja'far ibn al-Zubair al-Gharnati (m. 708H) dalam kitab bagi bidang Ulum al-Qur'an yang berjudul Milak al-Ta'wil. Menurutnya, ayat 12 surah al-Zumar yang bermaksud "Dan aku diperintahkan supaya menjadi orang yang awal pertama berserah diri bulat-bulat (kepada Allah)". Ini perkara yang khusus baginya, yang mana tiada pihak lain menerima arahan tersebut. Begitu juga firman Allah SWT dalam Surah al-An'am ayat 14 berkaitan arahan khusus untuk baginda yang bermaksud: "Katakanlah: Sesungguhnya aku diperintahkan supaya menjadi orang pertama sekali menyerah diri kepada Allah (Islam)".

Perintah berperang ditujukan kepada Nabi SAW secara khusus dari aspek baginda seorang pemimpin. Menurut al-Imam al-Qarafi (m. 684H) dalam kitab al-Ihkam fi Tamyiz al-Fatawa 'an al-Ahkam, tindakan Nabi SAW sebagai pemimpin merupakan sifat tambahan ke atas kenabian, kerasulan, pemfatwaan dan pemutusan hukum. Ini kerana, ia lebih berkaitan dengan urusan kepimpinan politik yang diamanahkan kepadanya, menjaga kemaslahatan, menolak kerosakan, pencegahan rasuah, memerangi kezaliman dan seumpamanya.

Telah diputuskan dalam syariat sebenar tiada sesiapa dibenar berjihad melainkan atas arahan pemimpin ketika itu. Menurut Imam al-Qarafi dalam kitab yang sama, apa yang Nabi SAW lakukan ketika menjadi pemimpin antaranya membahagikan harta rampasan perang, menguruskan pembendaharaan harta negara ikut maslahat, melaksanakan hudud, membentuk ketenteraan, memerangi penceroboh dan seumpamanya. Semua ini tidak boleh dilaksanakan oleh sesiapa pun melainkan dengan arahan seorang pemimpin. Inilah ketetapan syarak sepertimana difirmankan Allah SWT dalam Surah al-A'raf ayat 158 bermaksud: "…dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk"

Kesimpulan awalnya hadis tersebut perlu difahami antaranya menggunakan disiplin ilmu bahasa Arab dan 'Ulum al-Qur'an. Hadis itu menunjukkan arahan peperangan bukanlah sewenang-wenangnya dilaksana sesiapa pun sebaliknya berlaku dengan arahan pemimpin. Selain itu, tujuannya mesti betul seperti menghadapi pencerobohan bersenjata sama ada dari orang bukan Islam mahupun dari orang Islam seperti tragedi pencerobohan 235 pengganas Filipina sebahagiannya bersenjata di Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah pada 11 Februari 2013.

Bahagian Kedua bakal menyusul untuk menjelaskan ungkapan berikutnya iaitu 'uqatila' dan 'al-nas' secara lebih detil menurut Jabatan Fatwa Negara Mesir.

Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 September 2023 @ 7:01 AM