TERDAPAT banyak hadis yang membicarakan keistimewaan dan kelebihan ibadah korban.
TERDAPAT banyak hadis yang membicarakan keistimewaan dan kelebihan ibadah korban.
Prof Madya Dr Mohd Shukri Hanapi

HARI Raya Haji dikenali juga sebagai Hari Raya Korban dan ia satu daripada hari kebesaran Islam yang diraikan pada setiap 10 Zulhijah mengikut takwim Hijrah. Hari raya ini juga dinamakan Hari Raya Haji kerana pada saat itu jutaan umat Islam datang dari seluruh pelosok dunia dan berkumpul di Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah haji bagi menyempurnakan Rukun Islam kelima sebagai menyahut seruan Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah." (Surah al-Baqarah ayat 196)

Pada hari itu, umat Islam disunatkan melakukan ibadah korban sebagai memperingati peristiwa Nabi Ibrahim AS yang mengorbankan anaknya, Nabi Ismail AS demi kepatuhan dan ketaatan baginda terhadap perintah Allah SWT. Di samping itu melalui peristiwa ini jelas membayangkan betapa setiap yang hendak dikorbankan itu mestilah sesuatu yang bersifat paling disayangi dan berharga.

Perintah berkorban ini disyariatkan oleh Allah SWT pada tahun ke-2 Hijrah bersamaan dengan perintah solat Aidiladha dan mengeluarkan zakat. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)." (Surah al-Kawthar ayat 2)

Apabila korban itu sesuatu yang disyariatkan oleh Allah SWT, sudah tentu ia mempunyai banyak keistimewaan dan kelebihan. Terdapat banyak hadis yang membicarakan keistimewaan dan kelebihan ibadah korban. Antaranya, hadis yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Sayyidatina Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr (Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah SWT selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya, sesungguhnya darah itu akan sampai kepada reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban)." (Riwayat al-Tirmizi, Hadis no 1493)

Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW mengenai pensyariatan ibadah korban ini, jelas bahawa korban ibadah yang paling disukai oleh Allah SWT pada Aidiladha. Pada hari kiamat kelak, haiwan yang dikorbankan akan didatangkan seperti keadaan dan sifatnya ketika disembelih serta diletakkan darahnya yang diterima di sisi Allah SWT, sebelum darah itu tumpah ke bumi.

Jelas di sini berkorban adalah sebahagian usaha mendekatkan diri (taqarrub) kepada Allah SWT. Mendekatkan hubungan antara manusia dengan Allah SWT ini dikenali sebagai hubungan yang bersifat vertical (menegak). Selain itu, berkorban juga dapat mengeratkan hubungan sesama manusia atau dikenali sebagai hubungan yang bersifat horizontal (mendatar) melalui pembahagian daging korban terutama kepada golongan fakir dan miskin. Hal ini sebagai petunjuk bahawa takwa yang bersifat personal dan vertical (hubungan hamba dengan Allah SWT) sering tidak terpisah dengan hubungan hamba yang bersifat horizontal itu dan persekitarannya. Justeru, melalui ibadah korban inilah terselit makna yang mendalam bahawa manusia memerlukan pengorbanan untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Sebenarnya, ibadah korban adalah memanifestasikan rasa syukur dan puncak takwa. Ia sebagai tanda kembalinya manusia kepada Allah SWT setelah menghadapi ujian sehingga ada yang terperdaya dengan pujukan syaitan lalu bertindak menjauhkan diri daripada Allah SWT serta mengingkari larangan-Nya. Korban disyariatkan bagi mengingatkan manusia bahawa jalan menuju kebahagiaan memerlukan pengorbanan.

Dalam hal ini, perkara yang dikorbankan itu bukanlah manusia dan bukan juga nilai kemanusiaan, tetapi yang dikorbankan itu adalah haiwan ternakan. Ia sebagai lambang bahawa pengorbanan mesti ditunaikan dan yang dikorbankan adalah sifat kebinatangan terdapat dalam diri manusia seperti sifat rakus, tamak, ego, dengki, mengabaikan norma, nilai dan sebagainya. Dengan kata lain, kesempurnaan ibadah korban ini bermaksud membunuh segala sifat kebinatangan yang terdapat dalam diri manusia.

Sebenarnya, kelebihan ibadah korban daripada aspek kemasyarakatan dan kemanusiaan ini ialah dapat mewujudkan suasana harmoni, kerjasama serta kasih sayang sesama Muslim, melahirkan sikap penyayang dan memupuk sifat suka berkorban serta bersedekah.

Namun demikian, seperkara yang patut diberikan perhatian dalam melakukan ibadah korban ialah agar ia dibuat di atas dasar keikhlasan dan mengharapkan keredaan Allah SWT semata-mata dan bukan sebagai jalan untuk bermegah-megah dengan kekayaan yang ada.

Sesungguhnya Allah SWT hanya akan menerima amalan seseorang itu mengikut tahap keikhlasan dan ketakwaannya dan bukan kepada besar atau kecilnya binatang yang dikorbankan itu.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu." (Surah al-Hajj ayat 37)

Menyedari akan kelebihan ibadah korban itu, kita seharusnya berlumba-lumba dan bersegera di dalam melakukannya untuk mendapat keampunan dan keredaan daripada-Nya di samping memperbetulkan niat agar segala amalan kita diterima Allah SWT demi kebahagiaan di akhirat. Berdasarkan kisah Habil dan Qabil tentang korban yang diterima oleh Allah SWT, jelas menunjukkan keikhlasan itu adalah satu sifat yang paling utama dalam ibadah.

Amalan berkorban perlu menggunakan haiwan yang baik (sihat) dan berkualiti, tidak cacat, cukup umur serta banyak dagingnya. Meskipun daging korban itu tidak sampai kepada Allah SWT, tetapi yang lebih penting ialah ketakwaan kepada-Nya. Korban itu tidak memberi makna sama sekali untuk Allah SWT kerana Dia ialah Allah Yang Maha Agung, yang tidak memerlukan sesuatu perkara pun daripada hamba-Nya.

Dengan korban itu diharapkan ketakwaan kita kepada Allah semakin meningkat dan menggambarkan bahawa kita adalah hamba-Nya yang sentiasa memerlukan bimbingan serta petunjuk-Nya. Oleh itu, kunci kepada semua amalan baik sama ada amalan sosial mahupun yang bersifat individu ialah takwa.

Jelas di sini segala bentuk pengorbanan yang dilakukan oleh umat Islam dalam kehidupan mereka juga disebut pengorbanan apabila ia disertai dengan ketakwaan kepada Allah SWT. Sikap itulah yang akan membezakan pengorbanan yang dilakukan demi kekasih, demi keluarga dan bangsa yang belum tentu diredai oleh Allah.

Dalam pada itu, ibadah ini juga boleh melatih perasaan individu Muslim agar jangan bersikap bakhil dalam mengeluarkan harta demi membela dan membantu golongan yang lebih memerlukan seperti orang fakir serta miskin.

Daripada segi kelebihan yang akan dikurniakan oleh Allah SWT dalam melakukan ibadah ini ialah mendapat kedudukan yang mulia di sisi Allah SWT, dapat menebus dosa iaitu melalui setiap titisan darah binatang yang dikorbankan dan haiwan ini juga bakal menjadi tunggangan di atas titian sirat dan bulunya juga adalah satu kebajikan.

Penulis Pensyarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 5:59 AM