UMAT Islam dituntut melakukan ibadah korban menerusi menyembelih haiwan ternakan dan berkongsi rezeki dengan golongan yang lebih memerlukan. FOTO Arkib AFP
UMAT Islam dituntut melakukan ibadah korban menerusi menyembelih haiwan ternakan dan berkongsi rezeki dengan golongan yang lebih memerlukan. FOTO Arkib AFP
Ahmad Fadzlullah Hasanuddin

Mungkin kita perasan yang dunia ini sudah semakin tua dan kita banyak rasakan yang manusia pun lebih mementingkan kuantiti daripada kualiti harta.

Maksudnya, kebanyakan manusia zaman sekarang ini lebih mementingkan jumlah harta bukannya keberkatan harta itu sendiri.

Malah, banyak yang mengira bahawa hidup dan rezeki ini sama dengan matematik yang di mana satu tambah satu sama dengan dua, padahal rezeki dan hidup ini sangat jauh berbeza bahkan tak dapat disamakan dengan penghitungan matematik.

Lantaran itu, setiap makhluk Allah SWT sudah ditetapkan rezekinya dan ia tidak akan tertukar sedikit pun kerana Dialah Tuhan yang sebaik-baik pemberi rezeki kepada sesiapa yang Dia dikehendaki-Nya. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dengan tidak dikira." (Surah ali-Imran: 37)

Ada pelbagai cara untuk kita bersyukur atas kurniaan nikmat daripada Allah SWT, antaranya ialah apabila kita berkongsi rezeki dengan golongan yang lebih memerlukan.

Justeru, pada Zulhijah ini, umat Islam dituntut untuk melakukan ibadah korban dengan menyembelih haiwan ternakan tertentu.

Oleh itu, melalui ibadah korban juga, kita dapat meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda, selain dapat juga menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT.

Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)." (Surah al-Kauthar: 1-2)

Dalam perihal ibadah korban, dapat kita ketahui bahawa hikmahnya selain berkongsi rezeki kepada saudara yang memerlukan pada hari raya, ia juga ada hikmah dimensi vertical bertujuan mendekatkan diri kepada Allah.

Ini dapat kita fahami daripada maksud kata korban sendiri yang diambil dari kata 'Qoruba - Qurban' yang bermaksud dekat.

Seseorang yang melakukan ibadah korban, maka kedudukan dia dengan Allah SWT sangatlah dekat sebab telah melakukan ibadah yang sangat Allah cintai pada hari raya.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Tiada amalan anak Adam yang lebih dicintai Allah SWT yang dilakukan pada hari nahar (Aidiladha) selain daripada menumpahkan darah iaitu menyembelih haiwan korban. Sesungguhnya haiwan yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat kelak lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya (sebagai saksi).

"Dan sesungguhnya darah sembelihan korban itu yang jatuh ia daripada Allah pada suatu tempat kemuliaan sebelum ia jatuh ke bumi. Maka tenanglah jiwamu dengan melaksanakannya." (Riwayat at-Tirmidzi – No. 1498)

Bergembiralah peserta korban kerana mereka merebut amalan yang paling dicintai Allah SWT daripada semua amalan anak Adam pada hari nahar (Aidiladha) sekali gus berhasil membuktikan dan menunjukkan rasa syukur atas nikmat yang Allah berikan pada mereka dengan cara mendirikan solat dan menyembelih haiwan korban.

Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan kita dunia dan akhirat.

Penulis Ketua Pegawai Eksekutif EZ Qurban

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 7:00 AM