IBADAH Korban.
IBADAH Korban.
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

BULAN Zulhijjah adalah bulan yang sangat ditunggu-tunggu oleh umat Islam. Tiga perkara besar yang pasti diingati ialah ibadah haji, Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban.

Umum mengetahui, ibadah haji pada tahun ini masih ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19 yang masih tidak terkawal di seluruh dunia. Oleh itu, pihak berkuasa memilih untuk mengutamakan keselamatan dan kesihatan jemaah berbanding kewajipan menunaikan ibadah haji.

Allah SWT berfirman: "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu
ke dalam bahaya." Surah al-Baqarah, ayat 195.

Allah SWT mewajibkan ibadah haji berdasarkan kemampuan yang meliputi aspek kewangan, keselamatan, kesihatan dan kuota yang diperuntukkan. Allah SWT berfirman: "Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk." Surah Ali Imran, ayat 97

Namun, ia bukanlah satu keralatan yang perlu dikesalkan apabila ditangguhkan kerana Allah SWT tetap memberi ganjaran pahala kepada sesiapa yang sudah berniat membuat kebaikan walaupun tidak berupaya melaksanakannya.

Pengorbanan yang dilakukan untuk menunaikan ibadah haji adalah sangat besar. Terutama dari aspek persediaan kewangan. Sama ada dengan menyimpan secara tabungan di Tabung Haji atau secara sendiri dengan menyimpan sebahagian daripada aset yang ada.

Hakikatnya, sekian lama seseorang bakal haji menyimpan dengan tujuan untuk menunaikan haji, malah mereka sanggup mengorbankan keperluan semasa semata-mata untuk menabung. Namun, masih ramai yang tidak mampu menunaikan haji kecuali dengan bantuan subsidi kerajaan.

Maka, untuk menunaikan haji adalah dengan mengorbankan sebahagian harta yang ada semata-mata untuk menunaikan haji. Ini adalah pengorbanan yang sangat besar.

Manakala, bagi menyambut Aidiladha juga menjadi satu lagi cabaran yang perlu dihadapi dengan sabar. Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP3.0) ini tidak akan ditamatkan sehingga tiga indikator utama dicapai. Tiga indikator itu ialah kes harian di bawah 4,000 kes, 10 peratus vaksinasi lengkap dan kapasiti unit rawatan rapi (ICU) di paras sederhana.

Ini bermakna ketika tempoh ini urusan keagamaan adalah berdasarkan pihak berkuasa agama di setiap negeri. Oleh itu, mereka yang berada jauh daripada keluarga mestilah menerima hakikat terpaksa menyambut Aidiladha di tempat masing-masing.

Ini juga satu bentuk pengorbanan yang terpaksa dilakukan demi menjaga keselamatan dan kesihatan.

Perkara ketiga yang penting ialah ibadah korban bagi memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim yang diperintahkan Allah SWT menyembelih anaknya Ismail (a.s) sebagai korban. Ia bertujuan menguji keimanan mereka berdua kepada Allah SWT.

Kisah ini diabadikan Allah SWT di dalam al-Quran. FirmanNya: "Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu?"

Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah, ayah akan mendapati daku daripada orang-orang yang sabar." Surah al-Saafat, ayat 102

Sebagai ganjaran terhadap pengorbanan (keimanan dan kepatuhan) mereka, Allah SWT menggantikannya dengan seekor binatang. Firman Allah SWT: "Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu." Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan, Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar." Surah al-Saafat, ayat 102-106

Hukum ibadah korban adalah sunat muakkad (sangat dituntut) bagi orang-orang yang berkemampuan. Malah, makruh hukum meninggalkannya (tidak menunaikan korban) jika mampu. Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat), Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)." Surah al-Kauthar, ayat 1-2 Nabi Muhammad SAW tidak pernah meninggalkan ibadah korban setelah disyariatkan. Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang mempunyai kelapangan (mampu) untuk berkorban, tetapi dia tidak berkorban, maka janganlah dia datang mendekati tempat kami bersembahyang ini." Riwayat Ibnu Majah

Kebelakangan ini banyak pihak yang menawarkan perkhidmatan menunaikan ibadah korban di luar negara. Sama ada ibadah korban di dalam negara atau di luar negara bukanlah isu utama.

Perkara yang lebih penting ialah pelaksanaan ibadah mestilah menepati sebagaimana yang disyariatkan.

Allah SWT berfirman: "Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu. Demikianlah Ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya." Surah al-Hajj, ayat 37

Kesimpulannya, banyak pengorbanan yang kita lakukan dalam kehidupan meliputi harta, masa dan nyawa terutamanya apabila membabitkan perkara mempertahankan agama dan menyelamatkan nyawa.

Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan (UM), Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Julai 2021 @ 5:59 AM