GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Dr Mohd Hasrul Shuhari

Seminar Istighasah: Usul, Konsep dan Amalan diadakan pada  19 September 2022  anjuran  Jabatan Mufti Negeri Sembilan dengan  kerjasama Pertubuhan Nahdhatul Ulama' Malaysia,  Akademi Warisan Nusantara  dan Masjid Dato' Klana Petra.

 Seminar ini dirasmikan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad.  Pembentangan pertama  disampaikan oleh Ahli Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan iaitu  Dr Syuhadak Mahmud al-Jaafari  dengan tajuk  Istighathah Dalam Amalan Tariqat Tasawuf dan Kesufian: Suatu Penghayatan Kehambaan.

 Pembentangan kedua  disampaikan oleh  Ahli Panel Jawatankuasa Penyelidikan Isu-Isu Kontemporari Islam Negeri Sembilan (JPIKINS)  Dr Abdullaah Jalil menerusi tajuk Istighathah di Sisi Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Garis Panduan Serta Salah Faham Golongan Ekstrim.

 Pembentangan ketiga disampaikan oleh  Dr Mohd Khafidz Soroni selaku  Ahli Panel Jawatankuasa Penyelidikan Isu-Isu Kontemporari Islam Negeri Sembilan (JPIKINS). Beliau  yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor  membentangkan kertas kerja  bertajuk Tawassul dan Istighathah Menurut Perspektif Hadis Nabawi.

Mohd Yusof dalam ucapan perasmiannya menyatakan terdapat pihak yang menyesatkan banyak amalan ulama terdahulu seperti tawassul, istighathah,  Selawat Syifa' dan lain-lain  sehingga  tahap  mengkafirkan mereka.  Ini sangat membimbangkan kerana ia berpotensi mewujudkan golongan ekstremis yang boleh menggugat keamanan negara. 

Pembaca boleh mendapatkan  semua  kertas kerja  itu  daripada penganjur untuk  memahami garis panduan tawassul dan istighathah  berdasarkan pandangan Ahli Sunah Waljamaah  (ASWJ).  Dalam  rencana ini, penulis  memaparkan beberapa  fatwa peringkat antarabangsa dan
di Malaysia berkenaan tawassul dan istighathah.

 Contoh  fatwa di peringkat antarabangsa,  Jabatan Fatwa Mesir (Dar al-Ifta' al-Misriyyah)  pada 3 September 2009,  menyatakan  istighathah  dan  memohon al-madad  kepada para Nabi, para wali dan orang  soleh yang meninggal dunia  adalah  harus pada syarak.  Ia  berpandukan pandangan ulama salaf dan khalaf  berdasarkan dalil al-Quran, hadis dan akal.  Ia harus kerana amalan itu dijadikan  sebab (usaha dan ikhtiar) bukan ia memberi kesan secara hakikatnya (wa jawaz dhalika mahmul 'ala al-sababiyyah la 'ala al-ta'thir). Pandangan  yang mensyirikkan  amalan  ini merupakan bidaah terbesar yang berlaku dalam masyarakat Islam  mutakhir ini  dan ia  ciri bidaah golongan Khawarij  yang membawa kepada fahaman mengkafirkan umat Islam.

 Jabatan Fatwa Jordan  (Da'irat al-Ifta' al-Urduniyyah) pada 17 Mei 2012  memfatwakan Selawat Tafrijiyyah  tidak termasuk dalam larangan syarak, sebaliknya hukumnya harus. Ia termasuk amalan bertawassul dengan kemuliaan  Rasulullah SAW  yang diharuskan  berdasarkan pandangan muktamad menurut majoriti ulama  mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali.

 Pada 29 April 2019, Jabatan  Fatwa Jordan  memfatwakan fahaman  (menerusi Tauhid Rububiyyah)  yang mendakwa orang kafir  juga dianggap beriman  (yakni  orang kafir  beriman dengan Tauhid Rububiyyah) adalah bercanggah dengan  apa yang ditetapkan secara  qat'i  (pasti)  dalam al-Quran  (yakni, secara pastinya orang kafir tidak boleh dikaitkan dengan keimanan  atau ketauhidan Islam  walau sebesar zarah).

 Dinyatakan juga bahawa fahaman (menerusi Tauhid Uluhiyyah) yang  menghukum kafir  terhadap  umat Islam dalam  perkara furuk fiqah  seperti amalan  bertawassul,  beristighathah dan  bertabarruk dengan golongan soleh  (yakni mendakwa orang Islam yang melakukan amalan ini dianggap tidak beriman dengan Tauhid Uluhiyyah),  merupakan  perkara yang  lebih  berbahaya  lagi.

 Pada hemat penulis, pihak yang memasukkan perkara yang asalnya dalam urusan furuk fiqah ke dalam  prinsip  akidah sehingga menyebabkan pengkafiran secara besar-besaran terhadap umat Islam, merupakan perkara bidaah yang mesti dihindari.

Ia selari dengan fatwa  Jabatan Fatwa Mesir  tadi iaitu pandangan yang mensyirikkan  amalan ini merupakan bidaah terbesar  dan ia  adalah ciri bidaah golongan Khawarij.

 Menurut  Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (Ensiklopedia Fiqh Kuwait),  para fuqaha  bersepakat bertawassul dengan nama-nama Allah  SWT  dan sifat-sifat-Nya adalah mustahab (sunat) untuk memohon apa-apa berkaitan dunia dan akhirat. Juga ijmak para fuqaha tentang keharusan memohon kepada Allah SWT menerusi bertawassul dengan amal soleh. Jumhur ulama (mazhab Maliki, Shafie, Mutaakhirin Hanafi dan Hanbali) menyatakan harus bertawassul dengan Nabi SAW sama ada ketika hidup atau selepas wafatnya. 

 Manakala contoh fatwa di Malaysia,  Jawatankuasa Fatwa  Negeri Perak Darul Ridzuan pada 4 Januari 2012 memfatwakan bahawa antara kepercayaan, perbuatan dan pengamalan yang bercanggah dengan akidah  ASWJ  ialah menganggap syirik  pelbagai amalan  ASWJ  seperti Selawat Syifa'  dan Selawat Tafrijiyyah.  Selain itu,  Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 25 Mei 2012 bersetuju untuk melarang pembidaahan dan penghinaan terhadap amalan ASWJ, antaranya  ialah tawassul. 

 Pada 19 Mei 2015,  Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memutuskan bahawa antara ciri fahaman dari sudut akidah yang bercanggah dengan  ASWJ  ialah menganggap syirik amalan ASWJ  seperti tawasul, tabarruk, istighathah dan selawat-selawat yang mengandungi pujian kepada Rasulullah  SAW  seperti  Selawat Syifa' dan Tafrijiyyah.  Selain itu, menerusi  Tauhid Uluhiyyah,  fahaman ini mendorong  mereka menafikan tauhid umat Islam yang bertawassul, beristighathah dan bertabarruk sedangkan ketiga-tiga perkara tersebut diterima majoriti ulama Islam khasnya ulama empat mazhab.

 Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan telah membincangkan pada 17 Disember 2014, 25 Februari 2015 dan 24 Mac 2015  dan  memutuskan  bahawa antara kepercayaan, perbuatan dan pengamalan  yang bercanggah dengan  ASWJ  ialah  menganggap syirik amalan ahli sunnah seperti perbuatan tawassul, tabarruk dan istighathah dan selawat yang mengandungi pujian kepada Rasulullah  SAW seperti Selawat Syifa'  dan Selawat Tafrijiyyah.

 Jawatankuasa tersebut juga  pada 31 Mei 2016 bersetuju memutuskan Sighah Fatwa Bagi Persoalan Bidaah  dalam Masalah Ikhtilaf/Khilaf Perkara Furuk seperti berikut: Pertama,  persoalan khilafiyyah adalah perkara ijtihadiyyah dan tidak boleh sama sekali dihukumkan  bidaah kerana amalan tersebut diterima dan menjadi amalan ulama muktabar sejak dahulu.  Kedua, pandangan jumhur ulama sewajarnya menjadi ikutan masyarakat Islam dengan mengutamakan perkara asas dalam berdakwah dan tidak membesar-besarkan perkara khilafiyyah yang boleh menggugat perpaduan umat Islam.  Ketiga, antara amalan yang didakwa sebagai bidaah adalah  amalan  bertawassul dan bertabarruk.

 Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah Darul Aman pada 20 Mac 2016 memutuskan bahawa antara ciri-ciri amalan dan fahaman yang bertentangan dengan  ASWJ  ialah menganggap tawassul, tabarruk dan istighathah sebagai bidaah,  menolak  selawat yang disusun oleh ulama besar seperti  Selawat  Syifa',  Selawat  Tafrijiyyah  dan lain-lain  dengan mendakwanya  sebagai syirik  serta menolak perkataan Madad Ya Rasulullah.  Fatwa  Kedah  ini juga menyatakan bahawa  antara  ciri pihak yang bercanggah dengan akidah  ASWJ  adalah,  fahaman Tauhid Uluhiyyah yang mereka pegang mendorong  mereka menafikan tauhid umat Islam yang bertawassul, beristighathah dan bertabarruk sedangkan ketiga-tiga perkara tersebut  diterima  oleh jumhur ulama  Islam khasnya ulama  empat mazhab. 

 Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah pada 10-11 Ogos 2016 memutuskan untuk diwartakan di Negeri Sabah bahawa  antara  kepercayaan, perbuatan dan pengamalan  yang bercanggah dengan ASWJ  ialah menganggap syirik amalan  ASWJ seperti tawassul, tabarruk dan istighathah dan selawat yang mengandungi pujian kepada Rasulullah SAW seperti Selawat Syifa dan Selawat Tafrijiyyah.  Muzakarah  tersebut juga  pada 23-24 Mei 2017 memutuskan  bahawa  amalan ASWJ  yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi termasuk dalam perkara khilafiyyah di sisi  ulama dan fuqaha adalah tidak  bercanggah dengan syariat Islam  seperti amalan  tawassul.

 Semoga dengan pendedahan fatwa ini, mendorong umat Islam tidak mengkafirkan umat Islam lain yang melakukan amalan tawassul dan istighathah  berdasarkan garis panduan  ASWJ.


Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 6:01 AM