MEMBERI manfaat kepada manusia lain adalah amalan yang besar nilainya di sisi Allah.
MEMBERI manfaat kepada manusia lain adalah amalan yang besar nilainya di sisi Allah.
Mohd Shahrizal Nasir

Setiap nikmat yang diterima manusia pasti datang daripada Allah SWT. Hal ini tanpa mengira sama ada mereka beriman atau kufur kepada-Nya. Begitulah sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah SWT yang dikurniakan kepada makhluk-Nya di dunia. Bagi umat Islam, tiada nikmat yang lebih besar selain nikmat hidayah daripada Allah SWT untuk menerima Islam dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian.

Allah SWT menjelaskan bahawa Islam nikmat paling besar bagi kehidupan manusia. Hanya dengan agama Islam sahaja membuktikan seseorang itu dicukupkan dengan pelbagai nikmat yang lain. Firman Allah bermaksud: "Pada hari ini, Aku (Allah) sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku redakan Islam itu menjadi agama kamu." Surah al-Ma'idah, ayat 3

Sebagai orang Islam, kita wajib memanfaatkan sebaik-baiknya setiap nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Setiap nikmat perlu dihargai dan dimanfaatkan dalam kehidupan di dunia. Kelak di akhirat, semua amalan yang diusahakan ketika di dunia akan diperlihatkan dan dinilai untuk mendapat ganjaran daripada Allah.

Firman Allah dalam al-Quran bermaksud: "Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia, hiburan melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?" Surah al-An'am, ayat 32

Dalam ayat itu, Allah memberi satu persoalan kepada manusia agar sentiasa sedar kehidupan akhirat adalah bersifat kekal. Kehidupan akhirat adalah tempat kita menerima ganjaran dan balasan atas setiap perbuatan di dunia. Maka untuk meraih kebahagiaan di akhirat, usaha perlu digandakan ketika di dunia.

Sekarang kita masih berada pada awal 2021. Secara asasnya, setiap orang akan mendapat peluang yang sama sebanyak 365 hari untuk melakukan pelbagai aktiviti. Namun, jika tempoh itu disedari sebagai satu nikmat besar kurniaan Ilahi, ia perlu dimanfaatkan untuk melakukan sebanyak mungkin amalan yang boleh mendatangkan pahala.

Hakikatnya tidak semua orang berpeluang mendapat nikmat meneruskan kehidupan pada 2021 ini. Ada orang yang meninggal dunia. Ada yang masih bernyawa, namun terlantar di atas katil kerana berdepan masalah kesihatan. Betapa berharganya nikmat masa dan peluang memanfaatkan masa untuk melakukan banyak kebaikan.

Oleh itu, nasihat agar memanfaatkan nikmat kesihatan dan masa lapang perlu diberikan lebih-lebih lagi pada awal tahun seperti sekarang ini. Banyak perkara yang baik boleh dilakukan sekiranya manusia berada dalam keadaan sihat dan mempunyai masa lapang. Orang sakit hanya mempunyai peluang yang terbatas untuk melakukan kebaikan. Begitu juga dengan orang yang kehidupannya disibukkan dengan pelbagai perkara termasuk hal yang tidak penting. Keadaan sibuk membuatkan masa untuk melakukan kebaikan juga terbatas.

Jelaslah terdapat dua nikmat yang kebanyakan manusia gagal untuk memanfaatkan kedua-duanya dengan baik. Perkara ini dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: "Dua nikmat yang membuatkan kebanyakan manusia tertipu dengan kedua-duanya iaitu nikmat sihat dan waktu lapang." Hadis Riwayat al-Bukhari

Hadis ini mengingatkan diri bahawa kebanyakan manusia tidak memanfaatkan sepenuhnya kedua-dua nikmat ini dalam kehidupan. Ketika masih sihat dan mempunyai masa lapang, ramai manusia gagal memperbanyakkan amalan baik bagi meraih keredaan Allah. Pada kebiasaanya, manusia akan tergerak untuk menggandakan amalan ketika usia mulai lanjut.

Berapa ramai dalam kalangan kita yang pergi ke masjid ketika usia mula meningkat? Meskipun keadaan ini tetap wajar diberi pujian, amalan baik ini perlu dimulakan ketika masih muda dan sihat. Rasulullah SAW menyatakan remaja yang memanfaatkan kehidupannya dengan memperbanyakkan ibadat akan termasuk dalam satu daripada tujuh golongan manusia yang bakal menerima naungan Allah di akhirat kelak.

Begitu juga dengan masa lapang yang mesti dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh setiap orang khususnya Muslim. Ada orang yang hidupnya sentiasa sibuk dengan urusan dunia sehingga mengabaikan tuntutan agama. Malah, sekiranya kita melengahkan urusan agama seperti solat fardu tanpa sebab yang dibenarkan, ia menjadi tanda diri tertipu dengan kehidupan dunia yang bersifat sementara.

Terdapat juga orang yang mempunyai banyak masa lapang, tetapi memilih untuk mengisinya dengan perbuatan sia-sia. Malah lebih buruk lagi apabila masa lapang itu digunakan untuk melakukan maksiat dan kemungkaran. Sesungguhnya setiap perlakuan manusia akan dinilai dan diberi balasan sewajarnya oleh Allah SWT.

Peringatan Rasulullah SAW berkaitan nikmat sihat dan masa lapang turut dinyatakan dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara iaitu masa mudamu sebelum kamu tua, masa sihatmu sebelum kamu sakit, masa kayamu sebelum kamu miskin, masa lapangmu sebelum kamu sibuk dan masa hidupmu sebelum kamu meninggal dunia." Hadis Riwayat al-Hakim

Lihatlah betapa Allah maha berkuasa melimpahkan nikmat kesihatan dan masa lapang kepada hamba-Nya. Bagaimanakah cara kita mensyukuri dua nikmat Allah itu? Antaranya ialah dengan memanfaatkan nikmat itu dengan perkara yang dapat mendekatkan diri kepada-Nya. Nikmat kesihatan dan masa lapang perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya dengan melakukan amalan yang baik.

Sesungguhnya peluang untuk manusia melakukan banyak amal kebaikan bergantung kepada dua nikmat besar kurniaan Ilahi iaitu nikmat kesihatan dan masa lapang. Hanya dengan dua nikmat ini manusia akan dapat melakukan banyak kebaikan yang mendatangkan pahala daripada Allah. Bagaimanapun, perlu difahami dua nikmat ini tidak datang bergolek. Kesihatan perlu dijaga begitu juga masa lapang yang akan diperoleh sekiranya manusia bijak mengatur masa dengan baik.

Dalam hal berkaitan amalan pula, selain menunaikan amalan fardu yang menjadi kewajipan, nikmat kesihatan dan masa lapang perlu dimanfaatkan untuk melakukan ibadat sunat bagi menampung kekurangan amalan fardu. Firman Allah SWT bermaksud: "Dan (ingatlah) tatkala Tuhan kamu memberitahu: Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras." Surah Ibrahim, ayat 7

Semoga kita tergolong dalam kalangan hamba Allah SWT yang sentiasa mensyukuri nikmat yang dikurniakan dan memanfaatkan nikmat itu dengan perkara yang baik. Di samping itu, mohonlah agar Allah SWT agar terus menganugerahkan nikmat-Nya kepada kita dan menambahnya dari semasa ke semasa.

Penulis pensyarah Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 7:15 AM