ORANG yang memberi manfaat kepada orang lain  juga disebut sebagai antara golongan sebaik-baik manusia.
ORANG yang memberi manfaat kepada orang lain juga disebut sebagai antara golongan sebaik-baik manusia.

SESUNGGUHNYA benarlah bahawa manusia diciptakan oleh Allah SWT sebagai sebaik-baik ciptaan. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya)." (Surah at-Tin, ayat 4)

Allah SWT mencipta manusia dan mengiktiraf bahawa penciptaan manusia dibuat sebagai sebaik-baik ciptaan. Manusia dicipta dengan rupa paras yang indah serta dikurniakan akal fikiran yang dapat memandu mereka menjalani kehidupan di dunia. Ditambah pula dengan pelantikan nabi dan rasul untuk memimpin manusia menuju jalan yang diredai-Nya. Begitu juga dengan penurunan kitab suci daripada Allah SWT khususnya al-Quran untuk dijadikan panduan bagi kehidupan manusia.

Semua ini adalah bukti kasih sayang Allah SWT terhadap hamba-Nya bernama manusia. Allah SWT menganugerahkan manusia pelbagai jenis nikmat dan panduan untuk memastikan kehidupan manusia sentiasa berada dalam keadaan baik tanpa mencari 'petunjuk' selain daripada Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang untuk beriman melainkan dengan izin Allah (melalui undang-undang dan peraturan-Nya) dan Allah menimpakan azab atas orang yang tidak mahu memahami (setiap perintah-Nya)." (Surah Yunus, ayat 100)

Dengan segala kelengkapan dan keperluan manusia yang disediakan oleh Allah SWT sejak penciptaan manusia yang pertama atas muka bumi ini, maka apa ada lagi nikmat yang boleh didustakan atau dinafikan oleh manusia? Semuanya bergantung kepada diri sendiri sama ada untuk memilih jalan yang benar atau yang batil.

Tidak cukup dengan penciptaan manusia yang indah dari sudut zahir fizikalnya, manusia turut dititikberatkan mengenai keindahan budi pekerti yang menepati kehendak Allah SWT. Justeru, dalam banyak hadis dinyatakan perihal 'sebaik-baik manusia' sebagai panduan untuk mendidik diri dengan perilaku yang mulia.

Terdapat banyak sifat mulia yang perlu diterapkan dalam diri manusia seperti sabar, ikhlas, merendah diri, mementingkan keperluan orang lain, menghormati sesama insan dan sebagainya. Semua sifat ini jika ada dalam diri manusia, maka ia termasuk dalam kalangan orang yang baik. Namun, terdapat beberapa amalan yang jika ia dilakukan akan mencerminkan seseorang individu Muslim itu sebagai sebaik-baik manusia. Ini bermaksud ada perkara baik yang menjadi keutamaan supaya dilakukan untuk melayakkan diri menjadi insan yang lebih baik daripada orang lain.

Antara perkara terbabitmerujuk kepada orang yang mudah membayar hutang. Ini seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: "Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik dalam membayar hutang." (Muttafaq 'alaih). Justeru, membayar hutang adalah perkara penting dalam kehidupan di dunia dan tidak boleh diambil mudah. Ini kerana ia adalah perkara yang dapat menjaga hubungan baik sesama insan. Maka sebaik-baik insan ialah apabila ia tidak ingkar dalam melunaskan hutangnya. Mana mungkin insan yang berhati mulia kerana memberikan hutang akhirnya dizalimi oleh yang berhutang. Islam amat mementingkan soal keadilan dalam kehidupan.

Selain itu, sebaik-baik manusia juga merujuk kepada orang yang belajar al-Quran dan mengajar ilmu al-Quran kepada orang lain. Al-Quran adalah kitab panduan bagi umat Islam. Mankala ilmu sangat penting dalam memahami isi kandungan al-Quran. Justeru, orang yang berusaha mendalami ilmu al-Quran dan berusaha mengajarkannya kepada orang lain adalah sebaik-baik manusia kerana golongan ini cintakan Kalamullah. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: "Sebaik-baik kalian adalah yang belajar al-Quran dan mengajarkannya." (Hadis Riwayat al-Bukhari). Selayaknya golongan ahli al-Quran mendapat tempat yang istimewa di sisi Allah SWT.

Orang yang berbuat baik kepada ahli keluarganya juga termasuk dalam kalangan sebaik-baik manusia. Insan yang sentiasa menjaga kebajikan ahli keluarganya adalah sebaik-baik manusia yang dipandang mulia oleh Allah SWT. Malang bagi insan yang dipertanggungjawabkan menjadi ketua keluarga, namun mengabaikan tanggungjawab terbabit. Rasulullah SAW mengingatkan ketua keluarga mengenai tanggungjawab mereka untuk berbuat baik kepada ahli keluarga dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Sebaik-baik kalian adalah (suami) yang paling baik terhadap keluarganya dan aku (Rasulullah) adalah yang paling baik terhadap keluargaku." (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)

Golongan seterusnya yang termasuk dalam kalangan sebaik-baik manusia ialah orang yang baik akhlaknya dan menuntut ilmu. Insan yang memiliki akhlak yang baik serta berada pada jalan ilmu juga termasuk dalam kalangan sebaik-baik manusia. Ini golongan yang mewarisi peribadi dan tugas nabi dan rasul. Sememangnya akhlak yang baik bermula dengan ilmu baik yang diperolehnya. Rasulullah SAW bersabda dalam hadis baginda yang bermaksud: "Sebaik-baik kalian berkaitan Islamnya adalah yang paling baik akhlak jika mereka menuntut ilmu."(Hadis Riwayat Ahmad)

Ini antara perkara yang turut diberi penekanan dalam dakwah Rasulullah SAW. Sesungguhnya baginda diperlihatkan dengan akhlak yang mulia supaya menjadi ikon terbaik bagi umat manusia. Allah SWT mengiktiraf keluhuran budi pekerti Rasulullah SAW menerusi firman-Nya bermaksud: "Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia." (Surah al-Qalam, ayat 4)

Seterusnya, orang yang memberi makanan kepada orang lain juga termasuk dalam kalangan sebaik-baik manusia. Perbuatan ini adalah satu amalan yang mulia di sisi Islam. Rasulullah SAW menjelaskan hal ini dalam sabdanya bermaksud: "Sebaik-baik kalian adalah yang memberikan makanan." (Hadis Riwayat Ahmad). Perbuatan memberi makanan kepada orang lain menjadi bukti wujudnya kasih sayang sesama insan dalam diri. Makanan yang dinikmati diri sendiri turut dikongsikan kepada orang lain supaya dapat menikmati rezeki kurniaan Ilahi. Justeru, perbuatan baik ini wajar dijadikan amalan sebagai tanda kuatnya ikatan kasih sayang sesama insan termasuk kepada golongan bukan Islam.

Orang yang memberi manfaat kepada orang lain disebut juga sebagai antara golongan sebaik-baik manusia. Setiap Muslim perlu menanam keazaman dalam diri supaya sentiasa berusaha memberi manfaat kepada orang lain. Hulurkan apa juga bantuan berdasarkan kemampuan diri sendiri supaya bantuan terbabit dapat memberi manfaat kepada orang lain. Islam adalah agama yang menitikberatkan perihal kebersamaan dalam kebaikan. Islam menolak perbuatan memberi kemudaratan kepada orang lain. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia (lain)." (Hadis Riwayat at-Tabrani)

Enam perkara yang dijelaskan sebagai petunjuk untuk tergolong dalam kalangan sebaik-baik manusia perlu diusahakan supaya kita dapat menjadi sebahagian daripada kelompok manusia terbabit. Kita adalah makhluk istimewa yang dicipta oleh Allah SWT, maka ayuh berusaha menjadi insan terbaik seperti yang dinyatakan dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2023 @ 5:59 AM