MARILAH kita bersama-sama berusaha meneladani sifat baginda Rasulullah SAW terutama bersama ahli keluarga.
MARILAH kita bersama-sama berusaha meneladani sifat baginda Rasulullah SAW terutama bersama ahli keluarga.
Datuk Mohd Ajib Ismail

JIKA kita menelusuri sirah Nabi Muhammad SAW dalam kehidupan berkeluarga, baginda adalah insan yang paling menyantuni ahli keluarganya. Rasulullah SAW bergurau senda, berlemah lembut dan sentiasa bertolak ansur dengan mereka. Rasulullah SAW menunjukkan kebijaksanaan dan sifat yang baik serta keindahan akhlak dan kelembutan budi pekerti dalam pergaulan. Sifat-sifat tersebut telah menimbulkan perasaan cinta sahabat dan ahli keluarga kepada baginda.

Aisyah RA menyifatkan akhlak Rasulullah SAW seperti yang terkandung dalam al-Quran. Sa'ad bin Hisyam RA bertanya yang bermaksud: "Wahai Ummul Mukminin, beritahukanlah kepadaku tentang akhlak Rasulullah SAW! Aisyah menjawab: "Bukankah engkau telah membaca al-Quran?" Sa'ad menjawab, 'Benar'. Aisyah berkata: "Akhlak Nabi Muhammad SAW adalah al-Quran." (Hadis Riwayat Muslim)

Justeru bagi mengamalkan segala tuntutan dan saranan dalam al-Quran, seseorang perlu meneladani sirah Nabi Muhammad SAW dalam segenap aspek kehidupan. Antara aspek paling penting ialah akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW bersama ahli keluarga kerana perkara tersebut menjadi asas dalam membangunkan masyarakat dan negara.

Rasulullah SAW tidak mengasari ahli keluarga dan menegah, memukul isteri sebaliknya bertutur dan menegur mereka dengan perkataan yang baik. Di dalam sebuah hadis daripada Mu'awiyah al-Qusyairi katanya maksudnya: Aku menemui Rasulullah SAW dan bertanya: "Apakah pandanganmu tentang isteri-isteri kami?" Rasulullah SAW menjawab: "Berilah mereka makan, sama seperti yang kamu makan, berilah mereka pakaian, sama seperti yang kamu pakai dan janganlah pukul serta hina mereka." (Hadis Riwayat Abu Daud)   

Rasulullah SAW sangat menyantuni isteri-isteri baginda seperti diceritakan oleh Anas bin Malik, beliau pernah melihat Rasulullah SAW menyediakan tempat duduk (lapik tunggangan) buat Safiyyah supaya beliau dapat duduk dalam keadaan yang selesa. Baginda SAW juga duduk sedikit supaya Safiyyah boleh memijak lutut (kaki) baginda untuk dia naik ke atas tunggangannya. 

Rasulullah SAW bermain-main dan bergurau senda dengan isteri-isteri dan cucu-cucu baginda. Aisyah RA berkata: "Aku keluar bersama Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dalam sebahagian musafirnya. Ketika itu aku seorang gadis yang tidak gemuk. Baginda berkata kepada sahabat-sahabat lain: Pergi dahulu, lalu sahabat pun bergerak dahulu. Kemudian baginda berkata kepada ku: "Mari ke sini (baginda mengajak untuk berlumba lari). Aku akan menewaskanmu. Aisyah berkata: "Lalu aku telah menewaskan baginda. Lalu baginda mendiamkan diri. Hinggalah tiba pada masa aku sudah menjadi gemuk dan aku pun sudah terlupa akan hal itu. Aku telah keluar lagi bersama baginda dalam sebahagian musafirnya. Lalu baginda berkata kepada orang ramai: Pergi dahulu, lalu sahabat pun bergerak dahulu. Kemudian baginda berkata: "Mari ke sini. Aku akan menewaskanmu." Kali ini, baginda telah menewaskan aku. Baginda pun ketawa dan berkata: Ini merupakan untuk itu (iaitu balasan untuk kekalahan sebelum itu)." (Musnad Ahmad) 

Di dalam suatu kisah yang lain Imam al-Tabarani menyebut sebuah riwayat daripada Al-Barra' Bin 'Azin bahawa beliau pernah melihat Saidina Hasan menunggang Rasulullah SAW semasa solat lalu beliau berkata maksudnya: "Sebaik-baik tunggangan ialah 'haiwan tunggangan' kalian." Selain itu, berdasarkan hadis daripada Abi Qatadah Al-Ansari RA beliau berkata maksudnya: "Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah menunaikan solat dalam keadaan baginda memikul atau mendukung Umamah binti Zainab binti Rasulillah SAW dan dia merupakan anak kepada Abu Al-'Ash bin Rabi'ah bin 'Abd Syams. Apabila baginda sujud, baginda meletakkannya. Dan apabila baginda berdiri, baginda mendukungnya." (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Rasulullah SAW sentiasa bersifat belas kasihan dan prihatin dengan keadaan insan lain walaupun ketika baginda sedang beribadah. Suatu ketika baginda hendak memanjangkan bacaan dalam solat, lalu mendengar tangisan anak kecil, baginda mempercepatkan solat agar tidak menyukarkan ibunya. Berdasarkan pelbagai kisah yang dinyatakan, jelas kelihatan ketinggian sifat rahmat dan kasih sayang Rasulullah SAW kepada cucu, kaum keluarga serta anak-anak kecil. Sifat tersebut bertepatan dengan matlamat pengutusan baginda yang menjadi rahmat bagi sekalian alam sebagaimana dinyatakan di dalam al-Quran surah al-Anbiya' ayat 107 yang bermaksud: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."

Seruan agar berbuat baik kepada ahli keluarga ditegaskan dalam hadis daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. Dan apabila salah seorang daripada ahli keluarga kalian meninggal dunia, maka biarkanlah dia (tinggalkanlah dia dan jangan berbicara tentang keburukannya." (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Allah SWT memerintahkan agar manusia berbuat baik kepada ahli keluarga bermula dengan ibu bapa sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 83 yang bermaksud: "Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): "Janganlah kamu menyembah melainkan Allah dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim serta orang-orang miskin; dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling membelakangkan (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang-orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya."

Nilai-nilai persefahaman, toleransi, keprihatinan dan santun dalam pergaulan yang dimulakan dari keluarga dapat disebarkan pula kepada golongan lain misalnya dengan menyantuni orang miskin dan anak yatim serta menjaga tutur kata, bermanis muka dan bertegur sapa dalam masyarakat seperti yang disarankan dalam al-Quran.

Sempena ketibaan Rabiulawal iaitu bulan kelahiran baginda Nabi Muhammad SAW, marilah kita bersama-sama berusaha meneladani sifat baginda terutama bersama ahli keluarga. Manfaatkanlah kesempatan kebenaran rentas negeri untuk menziarahi ahli keluarga bagi mempereratkan hubungan dan menenangkan serta menghiburkan hati mereka. Sifat santun dan budi pekerti mulia kepada ahli keluarga akan membentuk sifat ihsan sesama manusia sekali gus menyumbang kepada pembangunan sebuah keluarga besar umat manusia yang harmoni dan sejahtera.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 5:59 AM