AMALAN menziarahi kubur memang digalakkan dalam Islam.
AMALAN menziarahi kubur memang digalakkan dalam Islam.
Dr Mohd Khafidz Soroni

Terdapat sebelum ini pesanan yang cukup tular di media sosial tentang keutamaan menziarahi kubur ibu bapa. Ia turut menjadi soalan yang paling banyak dipertanyakan kepada penulis mengenai status hadisnya. Pesanan itu hakikatnya diubah oleh orang yang tidak bertanggungjawab kononnya ia riwayat Imam al-Bukhari dan rujukannya daripada Riyadhus Salihin oleh Imam an-Nawawi. Perbuatan ini jelas suatu pendustaan kerana ia tidak benar dan tidak wujud sama sekali di dalam kitab mereka.

Dalam pesanan itu juga dinyatakan: "Disunatkan menziarah pada Khamis selepas Asar, sepanjang Jumaat dan Sabtu sebelum zohor. Waktu ini roh ada di perkuburan." Bahagian ini tidak penulis bincangkan ketika itu kerana belum berkesempatan menelitinya. Namun, setelah tular semula baru-baru ini tentangnya dan disebut pula sebagai hadis, penulis berpendapat telah tiba masanya ia perlu dijelaskan.

Berdasarkan penelitian, pernyataan menyebut elok ziarah kubur pada Khamis, Jumaat dan Sabtu kerana roh berada di kubur pada hari berkenaan adalah bersandarkan kepada sebuah hadis sangat daif serta tiga athar tabii tabiin yang daif statusnya.

Adapun hadis yang sangat daif, iaitu hadis: "Sesiapa yang menziarahi kubur kedua-dua ibu bapanya atau salah seorang daripada kedua-duanya pada setiap Jumaat, nescaya ia akan diampuni dan ditulis sebagai anak yang berbakti."

Menurut Imam al-Iraqi dalam Takhrij al-Ihya': "Ia diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Saghir dan al-Awsat daripada hadis Abu Hurairah RA. Juga oleh Ibnu Abi ad-Dunya dalam kitab al-Qubur daripada riwayat Muhammad bin an-Nu'man yang menyandarkannya kepada Nabi SAW, sedangkan ia mu'dhal (gugur dua perawi secara berturut-turut). Muhammad bin an-Nu'man adalah majhul (tidak diketahui kelayakannya) dan gurunya pula di sisi al-Tabarani, Yahya bin al-'Ala' al-Bujali adalah perawi matruk (ditinggalkan riwayatnya)."

Athar tabii tabiin yang daif; pertama, athar seorang lelaki yang tidak disebutkan namanya daripada kalangan keluarga seorang tabii bernama Asim al-Jahdari (wafat 129H), dia bermimpi menemui Asim setelah dua tahun kewafatannya, beliau berkata: "Kami mengetahui ziarah kalian pada malam Jumaat, hari Jumaat seluruhnya dan Sabtu sehingga terbit matahari (sebelum syuruk)." (Riwayat Ibn Abi ad-Dunya dalam al-Manamat dan al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman)

Kedua, athar Muhammad bin Was' (wafat ‏123H), seorang tabii tabiin yang menyebut sanadnya secara tidak jelas (secara balagh) katanya: "Disampaikan kepadaku bahawa orang mati mengetahui orang yang menziarahi mereka pada hari Jumaat, juga sehari sebelumnya (Khamis) dan sehari selepasnya (Sabtu)." (Riwayat Ibn Abi ad-Dunya dan al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman)

Ketiga, athar ad-Dhahhak (wafat ‏105H), juga seorang tabi tabiin yang berkata: "Sesiapa yang menziarahi kubur sebelum terbit matahari pada hari Sabtu, maka si mati mengetahui ziarahnya itu." Beliau ditanya: "Bagaimana terjadi demikian?" Jawabnya: "Kerana kedudukan istimewa hari Jumaat." (Riwayat Ibn Abi ad-Dunya dan al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman)

Meskipun athar ini tidak dapat dijadikan sandaran hukum sebagai hujah tentang roh berada di kubur pada waktu itu sahaja, namun ia dimasukkan oleh Imam al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman dan Imam al-Ghazali dalam Ihya' 'Ulumiddin sebagai iktibar dalam aktiviti ziarah kubur.

Imam Ibn al-Qayyim dalam Zad al-Ma'ad dan Imam as-Suyuti pula dalam al-Lum'ah fi Khasa'is Yaum al-Jumu'ah menjadikan athar itu termasuk dalam keistimewaan atau fadilat Jumaat. Malah, kata Ibn al-Qayyim: "Sesungguhnya roh orang mati akan mendekati dan datang ke kubur mereka pada Jumaat. Maka, mereka akan dapat mengenali orang yang menziarahi, melintasi, memberi salam dan menemui mereka pada hari itu lebih banyak daripada mengenali mereka pada hari yang lain. Justeru, ia hari bertemunya orang yang hidup dan orang yang mati."

Ringkasnya, hadis yang menyebut Jumaat sahaja itu sangat daif. Athar daif itu pula menambah hari Khamis atau malam Jumaat serta Sabtu atau pagi Sabtu sebelum terbit matahari. Oleh itu, penulis berpendapat agar pernyataan tentang keutamaan menziarahi kubur pada Khamis, Jumaat dan Sabtu tidak disandarkan kepada hadis Nabi SAW, tetapi memadai disebut sebagai saranan ulama sahaja kerana berdasarkan dalil yang tidak kuat. Justeru, kata Imam al-Qurtubi dalam at-Tazkirah: "Dikatakan, roh akan menziarahi kuburnya pada setiap hari Jumaat secara berterusan. Kerana itu, digalakkan menziarahi kubur pada malam Jumaat, hari Jumaat dan pagi Sabtu sebagaimana yang disebutkan oleh para ulama."

 

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 7:01 AM