KEMATIAN itu pasti bagi setiap yag bernyawa di alam fana ini.
KEMATIAN itu pasti bagi setiap yag bernyawa di alam fana ini.
Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Dalam tempoh beberapa bulan mutakhir ini, kita dikejutkan dengan banyak kejadian pembunuhan yang kejam dan turut diselangi dengan kes bunuh diri. Peristiwa pembunuhan yang menyayat hati ini semakin hari semakin banyak berlaku terutama melibatkan ahli keluarga terdekat. Kejadian seorang warga emas dibunuh dan dikerat 15 bahagian oleh anak sendiri disebabkan harta memberi gambaran keadaan manusia akhir zaman yang telah dikhabarkan oleh Baginda Nabi SAW. Peristiwa pembunuhan ini merupakan antara isyarat besar yang dinyatakan oleh Baginda Nabi SAW sebagai tanda hampirnya dunia ini dengan kiamat. Menghampiri kepada saat tersebut, semakin banyak pembunuhan berlaku melibatkan banyak pihak. Perkara ini semakin hari menjadi parah dengan tragedi ini sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat.

Daripada Abdullah bin Mas'ud, Rasulullah SAW maksudnya: "Menjelang Hari Kiamat nanti, hari-hari banyak dipenuhi dengan al-Harj. Saat itu ilmu menjadi hilang dan kejahilan tersebar di mana-mana. Abu Musa berkata: al-Harj bermaksud pembunuhan menurut dialek orang Habsyi." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menjelaskan tentang maksud al-Harj yang merujuk kepada pembunuhan yang berlaku pada masa tertentu dan di antara sebabnya adalah tersebarnya kebodohan dan hilangnya ilmu.

Dalam riwayat lain, daripada Abdullah dan Abu Musa RA, mereka berkata, Nabi SAW bersabda maksudnya: "Apabila hampirnya berlaku Hari Kiamat, akan terjadi hari-hari apabila berlakunya kejahilan, diangkat daripadanya ilmu serta berleluasanya al-Harj. Al-Harj adalah pembunuhan." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis berikutnya, daripada Abu Hurairah RA, Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: "Tidak akan berlaku kiamat sehingga terzahirnya fitnah, banyaknya penipuan, pasar berdekatan, masa semakin singkat, banyaknya al-Harj. Telah berkata: Apa itu al-Harj? Baginda menjawab: pembunuhan." (Hadis Riwayat al-Albani)

Gambaran tentang pembunuhan dalam hadis berkenaan merujuk kepada banyaknya pembunuhan berlaku sehingga seseorang itu akan membunuh seseorang yang lain tanpa mengetahui sebab dia membunuh, dan bagi yang dibunuh juga tidak mengetahui kenapa dia dibunuh. Perkara ini merujuk kepada pembunuhan tanpa niat yang kukuh. Dalam situasi ini berkemungkinan pembunuh juga hanya berperanan sebagai tukang bunuh yang diupah dengan nilai yang tertentu sahaja. Situasi ini adalah berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Demi zat yang jiwaku berada dalam genggaman-Nya, dunia ini tidak akan musnah sehingga manusia saling berbunuhan antara satu sama lain tanpa mengetahui apa penyebabnya. Demikian juga orang yang dibunuh, dia tidak mengetahui apa penyebab dia dibunuh." Maka mereka bertanya kepada baginda: "Bagaimana perkara ini boleh terjadi? Baginda menjawab: "Itulah al-Hajr, yang membunuh dan yang dibunuh sama-sama di neraka." (Hadis Riwayat al-Albani)

Pembunuhan yang dijelaskan ini bukan bermaksud peperangan yang terjadi antara pembela kebenaran melawan pelaku kebatilan atau memerangi orang yang memberontak terhadap pemerintah yang sah. Tetapi pembunuhan yang berlaku itu adalah disebabkan urusan dunia sama ada melibatkan harta, tahta, wanita atau perkara lain yang tidak diketahui tujuannya.

Tetapi apabila diteliti, terdapat maksud tertentu yang menyebabkan berlaku sesuatu pembunuhan. Antaranya adalah melibatkan kepentingan daripada pihak yang tertentu. Situasi ini dapat dilihat dengan sejarah pembunuhan yang berlaku di seluruh dunia dengan bermotifkan perebutan harta, politik, dendam yang akhirnya nyawa menjadi pertaruhan.

Pada masa sama, kejadian bunuh diri juga dilihat semakin kerap berlaku. Kes terjun jambatan dengan tujuan bunuh diri saban minggu tiba menerusi media sosial. Hal ini banyak terjadi disebabkan permasalahan mental, kemurungan dan situasi masalah kewangan yang berpanjangan. Bunuh diri adalah salah satu perbuatan yang mengundang dosa besar. Allah SWT berfirman maksudnya: "Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan." (Surah al-Baqarah ayat 195)

Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: "Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di neraka jahanam nanti, besi itu selalu di tangannya, ia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka jahanam nanti, ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di neraka jahanam nanti, ia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya." (Hadis Riwayat Muslim)

Perbuatan membunuh diri adalah perbuatan jenayah individu yang berlaku sejak sekian lama dalam sejarah manusia. Termasuk juga pernah berlaku pada zaman Nabi SAW. Sahl bin Saad RA menceritakan bahawa ada seorang lelaki yang cedera parah dalam satu peperangan, lalu dia meletakkan pedangnya di tengah dadanya dan menusukkannya hingga membunuh dirinya. Lalu Rasulullah SAW bersabda: "Dia adalah daripada ahli neraka." (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam riwayat yang lain, Jabir bin Samurah RA turut menceritakan seorang lelaki yang menderita luka parah, lalu dia mengambil sebilah anak panah, lantas mengelar lehernya hingga mati. Lalu Baginda Nabi SAW pun tidak bersolat jenazah ke atasnya. (Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Dalam Islam, bukan setakat membunuh diri sahaja diharamkan, bahkan sekiranya seseorang inginkan kematian kerana masalah atau kesempitan hidup, perkara itu juga turut ditegah. Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: "Janganlah mengharapkan kematian kerana ditimpa musibah dunia. Jika terpaksa, maka hendaklah ia mengucapkan: "Ya Allah panjangkan hidupku, jika kehidupan itu lebih baik bagiku, dan matilah aku jika kematian itu lebih baik bagiku." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis lain, Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya: "Janganlah setiap kamu meminta kematian sebelum ajal menjemputmu kerana apabila seseorang kamu meninggal dunia, maka amal kebaikanmu akan terputus, sedangkan tujuan Allah memanjangkan usia seseorang Mukmin adalah menambah kebaikan Mukmin itu sendiri." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Justeru itu, kematian sama ada disebabkan pembunuhan atau bunuh diri bukanlah penutup segala masalah yang dihadapi di atas dunia ini, bahkan perjalanan manusia di alam barzakh adalah penuh berliku menuju ke tempat kekal abadi. Alam dunia destinasi ketiga manusia selepas alam roh dan alam rahim. Maka ketika di alam dunia ini sahajalah manusia perlu untuk melakukan sesuatu kebaikan yang akan memberikan kesenangan di akhirat kelak.


Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2022 @ 6:00 AM