GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Dr Azlan Shaiful Baharum

FIRMAN Allah SWT: "(Jika demikian akibat orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya rasul Ulul Azmi (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) daripada kalangan rasul (yang terdahulu daripadamu) dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu itu). Sesungguhnya keadaan mereka semasa melihat azab yang dijanjikan kepada mereka, seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar satu saat sahaja daripada siang hari. (Penerangan yang demikian) cukuplah menjadi pengajaran (bagi orang yang mahu insaf). Maka (ingatlah) tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik (derhaka)." Surah Al-Ahqaf ayat ayat 35

Kesabaran, ketabahan dan kecekalan. Tiga perkara yang sangat mudah disebut, tetapi bukan mudah untuk diamalkan dalam kehidupan. Setiap manusia di muka bumi ini ada ujian dan dugaan masing-masing. Si kaya dan si miskin masing-masing ada dugaannya. Si sihat dan si sakit ada juga cabarannya. Si pemimpin dan si rakyat ada ujian mereka yang tersendiri. Ada yang berasakan merekalah paling dahsyat diuji. Ada pula yang berasakan merekalah paling tabah menghadapi ujian Ilahi.

Dalam Islam banyak kisah yang boleh kita jadikan teladan dalam menilai tahap kesabaran kita semua. Antara kisah paling agung yang boleh diambil pedoman ialah kisah lima rasul yang diberikan kedudukan tinggi atau istimewa oleh Allah SWT kerana ketabahan dan kesabaran luar biasa walaupun menghadapi pelbagai hinaan serta cercaan menyakitkan, namun tetap teguh menyebarkan dakwah yang luhur. Walaupun begitu mereka tetap mendoakan agar kaum mereka mendapat petunjuk dan dihindarkan daripada malapetaka. Mereka ialah Nabi Nuh AS, Nabi Ibrahim AS, Nabi Musa AS, Nabi Isa AS dan Nabi Muhammad SAW.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran: "Allah menerangkan kepada kamu antara perkara agama yang Dia tetapkan hukumnya apa yang diperintahkan oleh-Nya kepada Nabi Nuh AS dan yang Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan juga yang Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim AS dan Nabi Musa AS serta Nabi Isa AS iaitu: Tegakkanlah pendirian agama dan janganlah kamu berpecah-belah atau berselisihan pada dasarnya. Amat sukar bagi orang musyrik (untuk menerima agama tauhid) yang engkau serukan kepada mereka. Allah memilih sesiapa yang dikehendaki-Nya untuk menerima agama tauhid itu dan memberikan petunjuk kepada agama-Nya bagi sesiapa yang kembali kepada-Nya (dengan taat)." Surah Asy-Syuraa ayat 13

Mari kita melihat ringkasan kisah mereka:

  • Nabi Nuh AS

    Dikatakan diangkat sebagai rasul pada 3650 Sebelum Masihi. Baginda tinggal di wilayah sekitar Iraq. Nama baginda disebut 43 kali dalam al-Quran. Nabi Nuh ialah rasul pertama yang diutuskan oleh Allah untuk membetulkan akidah dan akhlak pengikutnya yang jauh tersasar daripada ajaran yang benar. Ahli keluarganya juga ada yang tidak mahu mengikut ajarannya termasuk isteri dan anaknya. Tempoh dakwahnya mencecah 950 tahun, namun jumlah pengikutnya tidak lebih 100 orang. Dengan izin Allah SWT akhirnya umat Nabi Nuh AS yang ingkar itu ditenggelamkan dengan banjir yang dahsyat kecuali golongan yang beriman.

  • Nabi Ibrahim AS

    Nabi Ibrahim bin Azar dilantik sebagai rasul sekitar 1900 Sebelum Masihi. Baginda dikatakan tinggal di Iraq dan wafat di Hebron, Palestin. Makam baginda masih ada di Masjid Al-Khalil Al-Ibrahimi di sana. Nama baginda disebut 69 kali dalam al-Quran. Nabi Ibrahim diduga sejak baginda kecil. Raja Namrud yang memerintah ketika itu akan membunuh setiap bayi lelaki yang baru lahir, maka bapanya menyembunyikannya di sebuah gua. Setelah dewasa, baginda terpaksa menghadapi raja dan masyarakat yang menyembah berhala termasuk bapanya. Bahkan baginda dibakar hidup-hidup dan diusir dari kampung halamannya. Kehidupan berkeluarga baginda juga amat mencabar. Baginda tidak dikurniakan zuriat sehingga lanjut usia. Akhirnya baginda dikurniakan seorang putera iaitu Nabi Ismail daripada isterinya, Hajar. Bagaimanapun, baginda diperintahkan Allah SWT untuk meninggalkan mereka di bumi yang gersang, Makkah. Setelah lama terpisah, Allah memerintahkan pula baginda menyembelih puteranya itu yang akhirnya ditukarkan kepada seekor kibas. Selain itu, antara ujian yang mencabar bagi baginda adalah membina Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam sehingga kini.

  • Nabi Musa A

    Musa bin Imran daripada keturunan Ya'qub bin Ishak. Baginda dilantik sebagai nabi dan rasul sekitar 1450 Sebelum Masihi. Baginda ditugaskan untuk berdakwah kepada Firaun dan Bani Israel di Mesir. Kisah Nabi Musa AS paling banyak disebutkan dalam al-Quran iaitu sebanyak 136 kali. Baginda mempunyai kesabaran yang amat tinggi dalam menghadapi cabaran dalam berdakwah kepada Firaun hinggakan dia mencabar baginda. Kemuncak penentangan Firaun adalah apabila dia sendiri mengaku sebagai tuhan. Ketika Nabi Musa AS menerima wahyu di Bukit Sinai, pengikutnya yang dipimpin oleh Samiri melakukan penyelewengan akidah dengan menyembah berhala berbentuk lembu dibuat daripada emas. Nabi Harun AS yang ditugaskan membantu Nabi Musa AS tidak mampu untuk menghalang niat mereka bahkan Nabi Harun AS pula diancam bunuh.

  • Nabi Isa AS

    Isa bin Maryam binti Imran dilantik sebagai nabi pada 29 Masihi. Baginda ditugaskan untuk menyebarkan dakwah kepada Bani Israel di Palestin. Baginda tidak diwafatkan oleh Allah SWT, tetapi diangkat ke sisi Allah. Sebahagian ulama menyatakan Nabi Isa AS berada di langit yang kedua. Namanya disebut 25 kali di dalam al-Quran. Baginda mempunyai kesabaran dan keteguhan dalam menyampaikan ajaran Allah terutama ketika baginda diuji oleh Allah SWT sebagai seorang miskin, pengkhianatan yang dilakukan pengikutnya, menghadapi pelbagai fitnah, berlakunya pengusiran dan hendak dibunuh oleh kaum Bani Israel. Penganut Kristian mempercayai Nabi Isa dibunuh dan disalib, tetapi sebagai umat Islam kita yakin dan percaya bahawa Nabi Isa AS masih hidup hingga hari kiamat.

  • Nabi Muhammad SAW

    Muhammad bin Abdullah daripada keturunan Nabi Ismail. Baginda dilahirkan pada 571 Masihi (yang dikenali dengan Tahun Gajah). Baginda diutuskan sebagai nabi dan rasul pada 610 Masihi. Baginda ditugaskan berdakwah kepada seluruh umat manusia dan sekalian alam. Baginda diberikan gelaran Ulul Azmi kerana sejak kecil, Rasulullah SAW sentiasa diduga. Baginda menjadi yatim piatu ketika usianya enam tahun. Setelah remaja baginda membantu bapa saudaranya yang menjaganya sejak kecil.

    Namun, baginda menghadapi tentangan yang hebat bukan saja daripada masyarakat Arab, tetapi juga daripada bapa saudaranya, Abu Lahab.

    Dugaan yang dihadapi baginda berlanjutan dalam peperangan yang disertainya bagi mempertahankan akidah umat Islam. Ia berterusan sehingga baginda berjaya membuka kota Makkah bersama sahabat yang setia.

    Semoga dengan kisah anbia Ulul Azmi yang hebat ini menjadi kekuatan kepada kita untuk menghadapi dugaan dalam hidup terutama dalam menghadapi keterbatasan pergerakan disebabkan oleh pandemik Covid-19 yang belum reda. Sabar itu indah. Kepada Allah kita berserah!

    Penulis ialah Profesor Madya di Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 6:30 AM