GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Rizal Azman Rifin

DALAM Kamus Dewan Edisi Keempat 2017, celaka memberi maksud malang, sial dan tidak baik.

Selain itu, ia juga dimaksudkan dengan sesuatu yang menyebabkan penderitaan dan kesusahan. Apakah tujuan memetik pengertian kosa kata celaka dalam permulaan artikel kali ini?

Penulis mahu mengajak pembaca menghayati sebuah kisah diceritakan sahabat Rasulullah SAW iaitu Jabir bin Abdullah.

Pada suatu hari, Baginda SAW menaiki tangga mimbar dan ketika berada di tangga pertama, Baginda mengucapkan, ‘Aamiin’.

Kemudian Baginda SAW meneruskannya ke tangga kedua dan masih mengucapkan kata-kata yang sama, ‘Aamiin’.

Buat kali ketiga juga, Baginda SAW masih mengucapkan, ‘Aamiin’. Jabir menyambung cerita dengan berkata, “Kami pun bertanya Baginda SAW, ‘Ya Rasulullah, kami mendengar engkau mengucapkan aamiin tiga kali ketika berada di tangga.’

Lalu Rasulullah SAW menjawab, “Sesungguhnya Jibril membisikkan (doa) kepadaku yang katanya, ‘Celakalah orang mendapati bulan Ramadan, tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa itu.

“Ketika aku berada di tangga kedua, dia berkata lagi, ‘Celakalah orang yang apabila disebutkan namamu di sisinya, tetapi dia tidak menyambutnya dengan bacaan selawat ke atasmu. Lalu akupun mengaminkan doa itu.

“Baginda SAW menjelaskan lagi, ‘Dan ketika aku naik ke anak tangga ketiga, Jibril berkata lagi, ‘Celakalah orang yang mendapati ibu bapanya atau salah seorang mereka sudah tua, namun mereka tidak memasukkannya ke dalam syurga. Lalu akupun mengaminkannya.’”

Kisah itu terkandung dalam hadis diriwayatkan Imam Bukhari. Ia perlu dihayati kerana ia sarat dengan pengajaran.

Meneliti kisah itu akan membuatkan diri sentiasa berwaspada daripada melakukan yang terbaik dalam tiga perkara.

Pertama, ketika berada dalam bulan Ramadan ini, kita perlu melaksanakan perintah berpuasa selama sebulan bersandarkan kepada tatatertib yang digariskan Islam.

Sudah pasti kita semua tidak menginginkan diri termasuk dalam golongan yang rugi dan celaka seperti terdapat dalam kisah berkenaan.

Untuk menjadikan ibadat puasa ini diberikan ganjaran pahala di sisiNya, kita bukan hanya diwajibkan menahan kehendak biologi seperti makan, minum dan kehendak syahwat sahaja.

Itu hanya bersifat luaran namun aspek dalaman seperti keluhuran jiwa dan hati perlu seiring dengan ibadat puasa kita.

Setiap perkara yang ditegah seperti mengumpat, menghina dan memfitnah dalam apa bentuk sekalipun perlu dihindari.

Apatah lagi kita hidup dalam zaman berasaskan teknologi, menjadikan kita lebih mudah terperangkap dalam hasutan syaitan untuk berbuat mungkar dan maksiat.

Mungkin mulut tidak mencaci, menghina dan mengumpat, tetapi tanpa disedari ada ketikanya jari jemari kita begitu mudah ‘menari’ mengikut rentak bisikan syaitan untuk berbuat sesuatu yang dilarang.

Kita berkemungkinan menganggapnya sebagai isu remeh-temeh, sedangkan di sisi Allah perbuatan sedemikian sangat besar dosanya.

Ramadan sebenarnya bulan pengawalan diri. Andainya ketika berpuasa pada bulan Ramadan ini diri masih hanyut dengan perkara mungkar, maka sia-sialah kita menahan dahaga dan lapar sepanjang siang hari.

Oleh itu, kita wajib melaksanakan ibadat puasa dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

Rasulullah SAW mengingatkan kita dengan bersabda, “Dan sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan didasari keimanan dan pengharapan reda Allah, diampunkan untuknya dosa yang telah lalu.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Kisah yang diceritakan oleh Jabir itu juga turut merangkumi perihal anak yang tidak dapat masuk ke dalam syurga lantaran sikap derhaka kepada orang tuanya.

Anak yang memiliki kedua-dua ibu bapa atau salah seorang daripada mereka dilanjutkan ke usia tua perlu sentiasa berbakti untuk sentiasa berbuat baik terhadap mereka.

Jangan dibiarkan mereka kehilangan perhatian dan kasih sayang daripada kita. Usah dibiarkan air mata mereka menitis akibat perbuatan kita tidak menghiraukan nasib mereka pada hari tua.

Bersikap acuh tak acuh dan kurang memberikan tumpuan kepada kedua-dua orang tua boleh mengheret kemurkaan Allah SWT yang pastinya di akhirat akan menerima azab yang pedih.

Mahukah kita menerima kecelakaan di akhirat kelak akibat kecuaian terhadap ibu bapa kita? Jagalah urusan hidup mereka ketika bulan Ramadan ini.

Jangan buatkan hati mereka kesepian menyambut Ramadan ini. Sesibuk manapun kita dengan urusan kerja dan rumah tangga, pastikan segala keperluan mereka di kampung tidak sesekali diabaikan.

Jadikan jasa dan bakti kita terhadap ibu bapa sebagai ‘jambatan’ menuju ke syurga, bukannya penyebab kita terhumban ke neraka.

Selain itu, kisah dalam hadis itu juga mengingatkan supaya kita melazimkan lisan untuk membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW.

Lebih-lebih lagi ketika kita mendengar nama Baginda SAW disebut. Sebagaimana didoakan oleh Jibril AS bahawa mereka yang ‘kedekut’ untuk berselawat tatkala mendengar nama Baginda SAW disebut sebagai celaka dan rugi itu seharusnya membuatkan kita insaf dan sentiasa membudayakan lisan untuk berselawat.

Apatah lagi ketika berada dalam bulan penuh rahmat dan keberkatan ini, amalan selawat yang kita bacakan sudah tentu akan dilipatgandakan ganjaran pahalanya.

Ramadan seharusnya menjadikan kita lebih bersemangat untuk berselawat di samping mengerjakan amalan yang lain.

Penulis pensyarah Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 9:46 AM