PERJUANGAN Rasulullah dan sahabatnya membolehkan kita merasai nikmat keimanan.
PERJUANGAN Rasulullah dan sahabatnya membolehkan kita merasai nikmat keimanan.
Fahimi Zakaria

KEHADIRAN Rabiulawal setiap tahun pastinya menjadi bulan yang sangat bermakna kepada seluruh umat Rasulullah SAW yang sentiasa merindui baginda. Hal ini kerana Rabiulawal adalah bulan kelahiran baginda yang bukan hanya dinantikan oleh ibu tercinta sahaja, tetapi seluruh makhluk ciptaan Allah SWT. Rasulullah SAW lahir membawa rahmat kepada sekalian alam, membentuk akhlak manusia, menyampaikan risalah Allah SWT, mengajak manusia beriman dan menentang mereka mencabar ajaran Islam sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Baginda manusia yang sangat lemah-lembut kepada orang yang beriman, namun baginda juga manusia yang paling tegas terhadap orang yang kufur kepada Allah SWT.

Jika kita mungkin hanya mengingati baginda pada hari kelahirannya, ketahuilah bahawa baginda mengingati kita sepanjang masa. Ibnu Hisyam menukilkan sebuah kisah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa suatu hari Rasulullah SAW menangis di hadapan sahabatnya. Hal ini membuatkan sahabat tertanya-tanya apa yang terjadi ke atas Rasulullah SAW. Lalu Rasulullah menyatakan bahawa baginda merindui saudaranya. Abu Bakar RA bertanya siapakah saudara yang dimaksudkan baginda itu? Sabda baginda: "Mereka orang datang selepasku dan tidak pernah melihatku, namun mereka beriman kepadaku." (Al-Sirah al-Nabawiyyah)

Mudah-mudahan kitalah yang dimaksudkan sebagai saudara (ikhwan) di dalam hadis ini lantaran kita umat baginda yang beriman dengannya meskipun tidak pernah melihat wajahnya.

Baginda sanggup menghadapi segala keperitan hidup demi memastikan Islam sampai ke seluruh hati manusia, justeru baginda terpaksa mengharungi pelbagai ujian seperti dilontar batu sehingga cedera tubuh baginda, dilempar najis, dipulau sehingga berhadapan dengan ancaman bunuh. Kita hari ini dapat merasai nikmat iman dan Islam tanpa perlu berhijrah ke mana-mana mahupun berperang di medan tempur, namun Islam yang dibawa pada zaman nubuwwah terpaksa melalui pelbagai mehnah dan tribulasi sehingga nyawa menjadi taruhan. Pengorbanan besar baginda ini sewajarnya dihayati seterusnya diamalkan dalam kehidupan Muslim sepanjang masa.

Abdullah bin Amru bin al-As pernah menceritakan bahawa ketika baginda membawa pernah mengangkat tangan lalu berdoa: "Ya Allah, kasihanilah umatku kasihanilah umatku", lalu baginda menangis. Lalu Allah SWT menyuruh Jibril AS berjumpa dan bertanya kepada baginda apa yang membuatkan baginda menangis. Jawab baginda seperti yang didoakan itu, lalu pulanglah Jibril AS menyampaikan hal tangisan baginda itu kepada Allah SWT. Firman Allah SWT: "Wahai Jibril! pergilah kepada Muhammad dan katakan kepadanya sesungguhnya Kami (Allah) akan menjadikan dirimu reda dengan masalahmu (perihal umatmu) itu dan kami tidak akan menyakitimu (mensia-siakan doamu)." (Riwayat Muslim)

Lihatlah betapa mulianya kasih sayang dan kerinduan Rasulullah SAW kepada umatnya meskipun kita tidak pernah bertemu dengannya sehingga doanya dalam tangisan. Pernahkah kita menangis kerana merindui baginda yang mulia? Apakah usaha kita untuk mengenali baginda, akhlak, perjuangan dan kehidupannya bersama keluarga dan sahabatnya? Rabiulawal sepatutnya menjadi bulan mengenali Rasulullah SAW melalui bacaan Syamail Muhammadiyah pada majlis ilmu agar semangat cinta kepada baginda sentiasa bertambah dengan penghayatan kisah hidup baginda. Baginda tidak memilih untuk selamat seorang diri di akhirat nanti, sebaliknya berusaha dengan penuh jiwa dan tenaganya supaya umatnya juga bersama-sama menikmati kebahagiaan di syurga.

Ingatlah bahawa kita (umat Rasulullah SAW) adalah umat paling mulia yang dilahirkan di atas muka ini seperti yang dinyatakan dalam al-Quran (Surah ali Imran ayat 110), namun kemuliaan ini hanya jika kita melaksana perintah Allah SWT iaitu mengajak manusia untuk melakukan kebaikan dan melarang daripada melakukan kemungkaran serta kita menjadi hamba yang beriman kepada Allah SWT. Semoga kita sentiasa bersyukur dengan kehadiran Rasulullah SAW ke dunia ini yang membawa sejuta rahmat buat seluruh alam, alhamdulillah terima kasih ya Allah kerana menghadiahkan Rasulullah SAW yang sangat istimewa buat kami umat akhir zaman ini. Kesungguhan perjuangan baginda dan sahabatnya membawa agama Islam sehingga kami dapat merasai kemanisan iman dan kehidupan sebagai seorang Muslim.

Marilah kita sentiasa mendoakan kesejahteraan baginda dengan berselawat ke atasnya dan berusaha menghidupkan sunahnya dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara kita.

Melazimi selawat dan salam ke atasnya akan membuatkan kita sentiasa mengingati baginda dan seterusnya menghidupkan sunahnya walau sekecil mana sekalipun sebagai tanda syukur kepada Allah SWT dan bukti cinta kepada Rasulullah SAW. Semoga baginda mengenali kita nanti di Padang Mahsyar sebagai umatnya yang sentiasa dirindui, amin. InsyaAllah.

Penulis Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Oktober 2022 @ 5:59 AM