GAMBAR hiasan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
GAMBAR hiasan. FOTO Iqmal Haqim Rosman
AL-FIQH

1. Mengikut pendapat setengah ulama, ketika hendak solat jenazah lelaki, imam berdiri di bahagian kepala dan jika jenazah perempuan, imam berdiri setentang dengan pinggangnya.

Ke arah mana hendak diletakkan kepala jenazah, adakah disunatkan di sebelah kiri atau kanan imam? Adakah jenazah perempuan sama dengan jenazah lelaki?

Mengikut pendapat Syeikh Bujairimi dan Syeikh Jamal, dipetik daripada kata-kata Syeikh Ali Syubramulsi menyebut, hendaklah diletakkan kepala jenazah lelaki di sebelah kiri imam (dan imam berdiri di bahagian kepalanya), maka jadilah kebanyakan badan jenazah itu di sebelah kanan imam.

Bagi jenazah perempuan pula, hendaklah diletakkan kepalanya di sebelah kanan imam dan imam berdiri setentang dengan pinggangnya.

Bagi jenazah khunsa pula, sama dilakukan seperti jenazah perempuan. Jika jenazah perempuan dan khunsa itu disolatkan di dalam Masjid Nabi di Madinah (khususnya di kawasan Raudhah atau di bahagian sebelah kanannya), maka hendaklah diletakkan kepala mereka di bahagian kiri imam. Jadilah kepala mereka ke arah kubur Nabi kerana menjaga tatasusila, adab dan kesopanan seperti dinyatakan oleh ulama muta’akhirin.

Begitu juga kedudukan imam ketika menyembahyangkan jenazah walaupun di atas kubur dan itulah cara yang lebih sesuai kerana mengikut sunah Nabi.

2. Adakah harus solat jenazah diulang beberapa kali oleh jemaah yang tidak berkesempatan mengikuti solat bersama jemaah sebelumnya? Apabila kumpulan kedua mengerjakan solat ke atas jenazah yang sama, adakah pahalanya dikira sebagai pahala sunat atau pahala fardu?

Sunat berulang-ulang solat jenazah walaupun di kuburnya bagi mereka yang belum lagi mengerjakan solat jenazahnya. Bagi mereka yang sudah mengerjakan solat jenazah, tidak dituntut mengulanginya.

Bagi kumpulan kedua yang mengerjakan solat jenazah serta kumpulan berikutnya, mereka diberi sebagai pahala fardu jika mereka belum mengerjakan solat jenazah itu.

3. Adakah dibenarkan melengahkan solat jenazah semata-mata menunggu kedatangan orang ramai untuk mencukupkan bilangan 40 orang atau 100 orang kerana ada dinyatakan dalam hadis diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud: “Tiada seorang pun daripada orang Islam apabila jenazahnya disembahyangkan oleh umat Islam seramai 100 orang dan mereka memohon untuknya syafaat, melainkan pasti ia akan mendapat syafaat (di akhirat kelak).”

Ada pula pendapat mengatakan, memadai walaupun hanya 40 orang saja atau tidak boleh menunggu lama kecuali menanti kehadiran walinya?

Perkara itu ada perselisihan oleh ulama. Walau bagaimanapun, mengikut pendapat Syeikh Ramli, tidak perlu ditunggu lama-lama kecuali menanti kehadiran walinya.

Jika walinya sudah hadir walaupun seorang saja atau bersama dua orang lain, maka sudah memadai dan hendaklah disegerakan solat jenazah itu.

Orang yang datang lewat, mereka boleh solat jenazah di atas kubur (selepas dikebumikan) kecuali jika perbuatan seperti itu tidak pernah dilakukan, maka disunatkan menunggu kedatangan orang ramai tetapi janganlah terlalu lama.

Mengikut pendapat Syeikh Zarkasyi yang dimaksudkan dengan sunat menunggu itu ialah menunggu kehadiran walinya dan 40 atau 100 jemaah sekiranya diyakini mereka akan hadir dalam waktu terdekat.

Sumber: Furu’ al-Masa-’il Wa Usul al-Wasa’il oleh Maulana al-Syeikh Daud Abdullah al-Fathani dan disusun Datuk Abu Hasan Din al-Hafiz

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 November 2018 @ 8:50 PM