Mohd Shahrizal Nasir

Minggu lalu, negara kita dikejutkan dengan berita yang amat menyayat hati apabila bayi berusia lima bulan, Adam Rayqal Mohd Sufi ditemui meninggal dunia di rumah pengasuhnya.

Satu dugaan besar buat ibu bapanya yang baru berpeluang merasai nikmat dikurniakan cahaya mata.

Didoakan semoga ibu bapa adik Adam Rayqal dianugerahkan kesabaran menghadapi ujian hebat itu.

Nyawa adalah perkara yang amat dititikberatkan dalam Islam. Ia termasuk dalam maqasid syariah yang perlu dipelihara.

Kepentingan menjaga nyawa membabitkan semua pihak apatah lagi bagi anak kecil yang baru mengenal kehidupan dunia.

Maka, yang melakukan penganiayaan itu pasti akan dihadapkan ke muka pengadilan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bukanlah termasuk dalam golongan kami, orang yang tidak menyayangi anak kecil.” (Hadis riwayat al-Tirmizi).

Lihat sirah kehidupan Rasulullah SAW yang amat menyayangi anak kecil.

Seorang Arab Badwi datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: “Kalian mencium anak kalian sedangkan kami tidak pernah mencium anak kami.”

Lalu Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Adakah aku memiliki sesuatu yang Allah hilangkan daripada hatimu berupa kasih sayang?” (Hadis riwayat Bukhari)

Insan yang waras pasti akan menyayangi anak kecil dan menyantuninya dengan penuh kelembutan dan kasih sayang.

Itulah sifat mulia yang ditunjukkan Rasulullah SAW yang bersifat penyayang.

Perbuatan menganiaya anak kecil sehingga menyebabkan kematiannya adalah satu perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Mengambil pengajaran daripada peristiwa yang berlaku, wajar kepada kita lebih berhati-hati ketika berurusan dengan pihak yang diamanahkan untuk menjaga anak.

Tidak dinafikan, ramai ibu bapa perlu bekerja untuk menyara kehidupan masing-masing.

Tidak ada ibu bapa yang sanggup membiarkan anak mereka diletakkan di bawah jagaan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Walau bagaimanapun, berdasarkan insiden yang berlaku, ibu bapa perlu meneliti soal pemilihan tempat terbaik untuk menghantar anak, lebih lagi jika anak masih terlalu kecil.

Mereka tidak ada upaya menceritakan pengalaman dan perasaan ketika tinggal bersama pengasuh.

Selain ibu bapa, pihak kerajaan juga perlu mengambil langkah drastik menguatkuasakan peraturan dan prosedur yang ketat membabitkan urusan penjagaan bayi.

Tidak kira pusat penjagaan itu di bawah kendalian pihak kerajaan atau swasta, satu garis panduan yang lebih kemas diperlukan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang.

Pemantauan ketat perlu dijalankan ke atas pusat asuhan berdaftar selain tindakan perlu dikenakan bagi pihak yang menjalankan urusan penjagaan bayi tanpa pendaftaran.

Namun pasti, Adam Rayqal akan menjadi sebahagian anak syurga yang tinggal di sana dalam keadaan penuh nikmat dan kebahagiaan menanti ibu bapanya.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seorang Muslim yang ditinggal mati oleh tiga anaknya yang belum baligh, kecuali Allah akan memasukkannya ke dalam syurga dengan rahmat yang Allah berikan kepadanya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Dalam hadis lain, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika ada seorang Muslim yang tiga anaknya meninggal, maka dia tidak akan masuk neraka kecuali kerana membenarkan sumpah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Meskipun Rasulullah SAW menyebut kematian tiga anak dalam hadis itu, namun ganjaran besar pastinya menanti ibu bapa yang diuji dengan kematian anak ketika kecil.

Syaratnya, ibu bapa perlu reda dan bersabar atas peristiwa yang berlaku serta sentiasa bersangka baik dengan Allah SWT.

Marilah sama-sama kita berdoa semoga Allah SWT mengurniakan ganjaran besar buat ibu bapa adik Adam Rayqal.

Bagi masyarakat awam, ambil pengajaran daripada peristiwa itu dan berhati-hati dalam memilih individu atau pusat asuhan.

Berdoalah kepada Allah SWT supaya anak kita sentiasa dilindungi oleh-Nya daripada sebarang perkara buruk.

Daripada Uthman bin ‘Affan, beliau menyatakan: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca, dengan menyebut nama Allah yang dengan sebab nama-Nya tidak ada sesuatu pun di bumi mahupun di langit yang dapat membahayakan (mendatangkan mudarat). Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui, sebanyak tiga kali, nescaya tidak akan ada sesuatu pun yang memudaratkannya.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Penulis ialah pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 3:37 PM