Sedetik Rasa

Di dalam al-Quran ada menyatakan, setiap hari ada gemuruh malaikat pemikul Arasy serta malaikat lain disebabkan doa dan zikir malaikat memuji kebesaran Allah SWT.

Selain itu, malaikat juga turut berdoa untuk orang Islam.

Doa dan zikir itulah yang didengar Nabi Muhammad SAW sebelum Baginda melihat malaikat Jibril di Sidratul Muntaha iaitu tempat paling tinggi di langit ketujuh.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Malaikat yang memikul Arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhan-Nya dan beriman kepada-Nya serta mereka memohon ampun bagi orang-orang yang beriman (dengan berdoa merayu): “Wahai Tuhan kami! Rahmat-Mu dan Ilmu-Mu meliputi segala-galanya, maka berilah ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta menurut jalan-Mu dan peliharalah mereka daripada azab neraka.

“Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga ‘Adn’ yang Engkau janjikan kepada mereka dan (masukkanlah bersama-sama mereka) orang-orang yang layak di antara ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta keturunan mereka. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Mukmin, ayat 7-8)

Menerusi doa malaikat itu menyatakan dua per-kara iaitu:

l

Di bumi ini ada orang yang selalu didoakan oleh malaikat.

l

Orang yang beramal soleh akan didoakan oleh seluruh malaikat supaya dia dimasukkan ke dalam syurga bersama-sama seluruh ahli keluarga iaitu ibu bapa, isteri, anak-anak serta cucunya.

Setiap manusia lahir dalam keadaan fitrah. Dalam hidup ini, kita akan diuji dengan hawa nafsu lalu meninggalkan fitrah yang bersifat suci itu.

Fitrah itulah yang akan membisikkan sifat kebaikan. Melalui fitrah juga hati manusia mudah tersentuh mendengar bacaan al-Quran dan mendapat khusyuk dalam solat.

Golongan yang sedar daripada kekeliruan akan kembali semula kepada fitrahnya dan menjadi manusia yang bahagia.

Mereka yang didoakan malaikat sebenarnya bukannya tidak pernah melakukan kesalahan tetapi mereka akan bangkit dan sedar kesalahan yang dilakukan dan sentiasa berusaha untuk memperbaikinya.

Barangkali ada yang memikirkan bukankah di akhirat kelak kita semua akan terpisah daripada ibu bapa, isteri, anak-anak serta saudara?

Tidak mungkin Allah SWT akan menghimpunkan semula seseorang bersama ahli keluarganya di dalam Syurga Adn sedangkan darjat amalan masing-masing berbeza.

Bagaimanapun, dalam Surah az-Zukhruf, ayat 69-70 menyatakan persahabatan yang terjalin dan ikatan kekeluargaan yang dibina di dunia ini akan bertaut semula sekiranya mereka bertakwa dan yakin terhadap Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: (Mereka itu ialah) orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami serta mereka menjadi orang-orang Islam yang taat patuh, menyatakan, pada hari kiamat nanti sahabat menjadi musuh kecuali orang yang bertakwa.

(Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): “Masuklah kamu ke dalam syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan.”

Thabrani dan Ibnu Mardawaih meriwayatkan, Abdullah bin Abbas meriwayatkan, Nabi Muhammad SAW berkata: “Ketika seseorang masuk ke syurga, dia bertanya perihal ibu bapa, isteri dan anak-anaknya.

Allah berkata kepadanya, ‘Mereka tidak mencapai darjat amalanmu.’ Lalu dia menjawab, ‘Wahai Tuhanku, aku beramal untuk diriku dan juga diri mereka.’

Selepas itu, Allah SWT memerintahkan malaikat supaya turut menghantar keluarganya ke syurga itu.”

Abdullah bin Abbas kemudian membaca ayat 21, Surah at-Tur yang bermaksud: “Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga) dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun daripada pahala amal-amal mereka, tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 11:18 AM