SETIAP tahun ribuan umat Islam dari seluruh dunia menziarahi makam Nabi Muhammad SAW di bawah kubah hijau di Masjid Nabawi.
SETIAP tahun ribuan umat Islam dari seluruh dunia menziarahi makam Nabi Muhammad SAW di bawah kubah hijau di Masjid Nabawi.
Mohd Fadly Samsudin

PERASAAN rindu terhadap seseorang biasanya hadir kerana kita kenal, biasa bertemu atau selalu melihat orang berkenaan.

Bayangkan, Rasulullah SAW sangat merindui umatnya walaupun Baginda tidak pernah melihat kita. Itulah keagungan pada diri Baginda.

Sebuah hadis ada menyatakan mengenai kerinduan dan kecintaan Rasulullah SAW terhadap umatnya yang lahir selepas kewafatan Baginda.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersama sahabatnya pergi ke kawasan perkuburan Baqi’ dan bersabda yang bermaksud: “Sejahtera ke atas kamu (penghuni) negeri orang-orang yang beriman. Sesungguhnya kami dengan kehendak Allah akan menyusuli kamu. Amat ingin di hatiku seandainya dapat kita melihat saudara-saudara kita.”

Sahabat Baginda bertanya: “Apakah kami ini bukan saudara-saudaramu ya Rasulullah?” Baginda SAW menjawab: “Kamu semua adalah sahabat-sahabatku. Sedangkan saudara-saudara kita adalah (orang-orang Mukmin) yang belum muncul (orang-orang beriman tanpa pernah melihat Rasulullah SAW).” (Hadis Riwayat Muslim, Ibn Majah, an-Nasa’ie dan Imam Malik)

Sehubungan itu, sebagai umatnya kita perlu sentiasa mengingati Baginda pada setiap masa dengan memperbanyakkan amalan selawat serta beramal dengan sunahnya.

Ini sangat penting kerana di Padang Mahsyar kelak, Rasulullah SAW akan menjadi tumpuan seluruh umat manusia untuk mendapatkan syafaat daripadanya.

Manusia ketika itu berada dalam kebingungan dan ketakutan. Maka, mereka akan mencari orang yang dapat membela mereka di hadapan Allah.

Akhirnya, mereka pergi mendapatkan pertolongan Rasulullah SAW supaya Baginda memohon kepada Allah SWT untuk menyelesaikan penderitaan yang sudah tidak tertanggung lagi itu.

Semua itu dilakukan selepas usaha mendapatkan pembelaan daripada Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi Isa tidak berhasil.

Maka, Rasulullah SAW bersujud di bawah Arasy memohon kepada Allah. Lalu Allah SWT mengatakan kepada Baginda: “Wahai Muhammad! Angkatlah kepalamu, mintalah nescaya permintaanmu akan dikabulkan. Berikan syafaat, nescaya syafaat mu akan diterima.”

Rasulullah SAW mengangkat kepalanya lalu berkata: “Wahai Tuhanku, umatku!, umatku.” Allah SWT berfirman: “Wahai Muhammad, masukkanlah umatmu ke syurga tanpa hisab melalui pintu-pintu sebelah kanan, sedangkan yang lain secara bersama-sama melalui pintu-pintu yang lain. Demi Allah yang jiwa Muhammad di tanganNya, sesungguhnya jarak antara dua daun pintu dari pintu-pintu syurga itu adalah kira-kira sejauh antara Makkah dengan Hajar atau antara Makkah dengan Bushra.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Semua nabi terdahulu, Allah SWT berikan doa yang mustajab buat mereka. Bagaimanapun, doa itu sudah digunakan melainkan Rasulullah SAW.

Baginda simpan doa khasnya itu untuk memberi syafaat kepada umatnya pada hari kiamat.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap nabi memiliki doa (khusus) yang akan dikabulkan. Setiap nabi menggunakan doanya manakala aku menyimpan doaku untuk memberi syafaat kepada umatku (kelak) pada hari kiamat. Ia (habuan syafaat) itu akan diperoleh oleh orang yang mati antara umatku yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun.” (Hadis Riwayat Muslim)

Rasulullah SAW juga akan menunggu dan menjemput umatnya di syurga. Selagi umatnya belum berkumpul, Baginda tidak akan melangkah kakinya ke syurga.

Justeru, bagaimana cara kita untuk membalas kecintaan Rasulullah SAW itu? Berdasarkan perjalanan sirah, banyak perkara yang dapat kita pelajari mengenai pengorbanan dilakukan Nabi Muhammad SAW ketika usaha Baginda menyebarkan dakwah.

Baginda begitu cekal walaupun pernah cedera akibat dipukul serta dibaling batu. Namun semua dugaan yang dihadapi itu tidak pernah mematahkan semangat Baginda demi melihat gama Islam terus berkembang.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.” (Surah al-Taubah, ayat 128)

Tidak mahukah kita mengecapi kurniaan berupa syurga dan tinggal di dalamnya bersama-sama nabi hasil ketaatan yang kita curahkan kepada Allah dan Rasul-Nya?

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, maka mereka akan (ditempatkan di syurga) bersama-sama orang-orang yang dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka iaitu nabi-nabi, dan orang-orang Siddiqiin, dan orang-orang yang syahid, serta orang-orang yang soleh. Dan amatlah eloknya mereka itu menjadi teman rakan (kepada orang-orang yang taat).” (Surah an-Nisaa’, ayat 69)

Begitulah ganjaran agung yang dijanjikan Allah SWT apabila kita berjaya melakar kasih dan cinta terhadap Rasulullah.

Baginda tentunya sangat sedih jika umatnya diseksa di neraka kelak. Kesedihan Rasulullah SAW ketika melihat ada umatnya masuk ke neraka dinyatakan dalam satu hadis bermaksud: “Perumpamaanku adalah seperti seseorang yang menyalakan api unggun. Setelah api menyala, banyak binatang yang berhamburan menghinggapinya. Orang itu menghalau binatang-binatang itu supaya tidak masuk ke dalam api. Tetapi binatang-binatang itu mahu dihalau, dan tetap ingin masuk api. Maka akhirnya mereka masuk ke dalam api. Demikianlah, aku menghalau kalian daripada masuk ke dalam api neraka.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Penulis wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 2:01 AM