Nor 'Asyikin Mat Hayin


BERGELAR pejuang kanser selepas bebas kanser dinding rahim sejak 12 tahun lalu, menjadikan wanita ini 'sensitif' terhadap pesakit kanser lain yang menderita penyakit berkenaan.

Umpama 'cubit paha kiri, paha kanan terasa,' penderitaan yang dilalui pesakit terbabit turut dirasainya berdasarkan pengalaman lalu sebagai pesakit kanser.

Ini menjentik hatinya untuk menubuhkan Cancer Survivors Malaysia (CSM) iaitu kumpulan sokongan pesakit kanser pada 2012.

Zuraini Kamal, 55, berkata, pertubuhan berkenaan turut berperanan menyebarkan kesedaran melalui lawatan ke hospital, rumah dan sesi perkongsian antara pesakit kanser.

Menurutnya, setakat ini lebih 10,000 pesakit barah sudah dibantu membabitkan wanita, lelaki dan kanak-kanak.

"Meskipun sudah 12 tahun penubuhannya, CSM masih berhadapan cabaran iaitu mendapatkan dana mencukupi untuk membantu pesakit kanser.

"Setiap tahun jumlah pesakit kanser bertambah dan diramalkan bilangan itu meningkat dua kali ganda pada 2040.

"Oleh itu, dana mencukupi diperlukan supaya lebih ramai pesakit dapat dibantu," katanya.

Katanya, cabaran kedua ialah didapati 90 peratus pesakit yang diziarahi menghidap kanser tahap akhir.

"Mereka ini perlu dibantu kerana terdapat pesakit lewat didiagnosis, lewat ke hospital untuk rawatan, enggan ke hospital dan enggan menjalani rawatan.

"Satu lagi cabaran adalah kebanyakan pesakit tidak mempunyai ilmu mengenai penyakit kanser dan rawatan.

"Baru-baru ini, saya menziarah seorang pesakit yang enggan ke hospital untuk rawatan sebaliknya memilih rawatan bomoh.

ZURAINI (dua, kiri) selepas menghadiri pembentangan kertas cadangan Program Vaksinasi HPV kepada belia wanita Kedah.
ZURAINI (dua, kiri) selepas menghadiri pembentangan kertas cadangan Program Vaksinasi HPV kepada belia wanita Kedah.

"Banyak wang dihabiskan bagi tujuan itu tetapi keadaan kesihatannya semakin teruk," katanya.

Ditanya mengenai pengalaman sukar dilupakan sepanjang mengendalikan CSM katanya, dia pernah menguruskan satu kes seorang ibu tunggal mempunyai dua anak.

Dia yang juga pengasas CSM berkata, wanita itu ditinggalkan suaminya selepas didiagnosis penyakit kanser payu dara.

"Ibu tunggal ini tidak ke hospital untuk rawatan kerana mahu bekerja bagi menyara anak-anaknya.

"Malangnya keadaan kanser payu daranya semakin membesar dan pecah. Saya pernah mengelap luka kansernya ketika menziarahi pesakit berkenaan.

"Masa itu pesakit terbabit menangis di hadapan saya dan menyesali tindakannya kerana tidak ke hospital mendapatkan rawatan.

"Akhirnya ibu tunggal itu meninggal dunia pada 2021 dan kisah arwah sentiasa saya kongsikan kepada pesakit kanser lain sebagai usaha memberikan kesedaran kepada mereka mengenai kepentingan rawatan," katanya.

Tambahnya, rawatan penyakit kanser adalah satu perjalanan panjang yang mana keperluan mereka adalah banyak yang tidak hanya menerima bantuan barangan keperluan tetapi merangkumi rawatan perubatan dan sokongan moral.

Zuraini berharap semua pihak cakna yang bukan sahaja mengiktiraf peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi juga memperkasakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya rawatan kepada pesakit kanser lebih menyeluruh dan komprehensif.

"Ini kerana CSM mahu pesakit yang datang ke hospital bukan sekadar membuat rawatan tetapi mempunyai ilmu mengenai ubat dan rawatan," katanya.

MENZIARAHI pesakit kanser remaja.
MENZIARAHI pesakit kanser remaja.

Dalam pada itu, perjuangan Zuraini membela pesakit kanser mendapat perhatian apabila menerima Anugerah Ikon Badan Kebajikan daripada Majlis Kebajikan Negeri Kedah, baru-baru ini.

Jelasnya, dia tidak menyangka diberikan pengiktirafan itu kerana aktif melakukan aktiviti kebajikan lebih 10 tahun lalu. Bagaimanapun, bersyukur usaha murni ini dilihat pihak lain.

"Tujuan asal penubuhan CSM ialah mahu memberi semangat kepada pesakit kanser untuk terus hidup.

"Oleh itu dengan penganugerahan ini, saya turut berazam menjadi insan yang memberikan manfaat kepada masyarakat, bangsa dan negara

"Saya akan meneruskan usaha ini dan berharap lebih ramai lagi pesakit kanser yang sihat selepas menjalani rawatan, boleh bekerjasama membantu pesakit lain untuk sembuh. Itu sahaja yang saya inginkan," katanya.

Ditanya mengenai perancangan CSM akan datang Zuraini menjelaskan, pertubuhan itu baru sahaja bermesyuarat dengan Kerajaan Negeri Kedah.

"Pertubuhan ini diberi peluang untukmenguruskan suntikan vaksin virus papiloma manusia (HPV) untuk 21,000 belia wanita B40 di seluruh Kedah.

"Projek ini bernilai RM9 juta dan saya baru sahaja menyusun jadual suntikan setiap daerah dalam 12 parlimen di negeri ini.

"Ini projek utama CSM sebagai usaha advokasi (kesedaran) kanser kerana kanser pangkal rahim boleh dicegah sekiranya wanita muda menerima suntikan vaksin HPV," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 7:01 AM