Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Amalan gaya hidup sihat serta menjalani saringan antara usaha yang wajar dilakukan bagi mencegah dan mengawal penyakit kanser.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebagaimana penyakit kronik lain, kanser juga mempunyai faktor risiko yang sama.

Menurutnya, satu pertiga kematian akibat kanser adalah dikaitkan dengan amalan berisiko iaitu berat badan berlebihan, kurang pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran, kurang melakukan aktiviti fizikal, pengambilan tembakau atau merokok serta alkohol.

"Pengambilan tembakau adalah faktor risiko paling penting untuk kejadian kanser dan menyumbang kepada 22 peratus kematian akibat kanser.

"Sebagai langkah pencegahan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa komited dalam menggalakkan orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat.

"Selain itu, KKM juga menyediakan perkhidmatan imunisasi Human Papilloma Virus (HPV) untuk pelajar perempuan di tingkatan satu bagi mencegah kanser serviks dan immunisasi Hepatitis B kepada bayi bagi mencegah kanser hati," katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Kanser Sedunia, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pengesanan awal serta rawatan yang cepat dan berkesan juga memberi peluang yang baik kepada pesakit untuk sembuh.

Beliau berkata, perhatian sewajarnya perlu diberikan berikutan peratus keseluruhan kes kanser yang dikesan lewat (tahap III dan IV) didapati meningkat dari 58.7 peratus pada 2001 hingga 2011 kepada 63.7 peratus pada 2012 hingga 2016.

Menurutnya, bagi mengelakkan kanser dikesan lewat dan peluang untuk sembuh yang lebih baik, orang ramai diminta melakukan ujian saringan serta dinasihatkan mengenali tanda dan gejala awal kanser.

Beliau berkata, KKM menyediakan perkhidmatan saringan kanser payudara, kolorektal, serviks dan mulut di seluruh negara secara percuma selain perkhidmatan saringan kanser yang juga boleh didapati di fasiliti swasta dengan kadar bayaran tertentu.

Foto hiasan
Foto hiasan

"Mereka yang disahkan menghidap kanser pula perlu mendapatkan rawatan yang terbukti berkesan di hospital sekiranya disahkan menghidap kanser dan sentiasa patuh dengan jadual rawatan diberikan.

"Pesakit yang disahkan menghidap kanser pula perlu mendapatkan rawatan dengan segera.

"KKM amat prihatin dengan kesihatan dan kesejahteraan pesakit-pesakit kanser terutamanya semasa pandemik Covid-19 kerana pesakit kanser mempunyai sistem daya tahan yang rendah berbanding dengan orang lain dan lebih berisiko untuk mendapat jangkitan yang serius," katanya.

Justeru, beliau berkata, KKM mengambil langkah-langkah kawalan yang ketat di semua fasiliti kesihatan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan semasa temujanji dan rawatan pesakit kanser serta memastikan semua pesakit kanser menerima rawatan sewajarnya mengikut jadual yang ditetapkan.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, Hari Kanser Sedunia yang disambut pada 4 Februari bertujuan mengajak orang ramai untuk menyokong dan sama-sama mengambil bahagian dalam usaha mencegah dan mengawal penyakit kanser.

Beliau berkata, sebagai antara penyakit kronik yang ditakuti, kanser boleh memberi impak negatif yang tinggi kepada pesakit, keluarga dan negara, manakala KKM melaporkan jumlah kes kanser antara 2012 hingga 2016 meningkat sebanyak 11 peratus berbanding tempoh 2007 hingga 2011.

Katanya, secara keseluruhan, tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku di Malaysia adalah kanser payudara (19 peratus) diikuti dengan kanser kolorektal atau usus besar (13.5 peratus) dan kanser paru-paru (9.8 peratus).

"Kanser kolorektal paling kerap berlaku (16.9 peratus) dalam kalangan lelaki, dan dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara (33.9 peratus)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 10:26 AM