Muhamaad Razis Ismail


Kebiasaannya sisa barangan elektrik dan elektronik yang rosak (e-sisa) akan dibiarkan terkumpul atau dibuang di tempat pembuangan sampah.

Masih ramai dalam kalangan masyarakat yang tidak mengetahui e-sisa tidak boleh dibuang seperti sampah biasa kerana boleh memberi kesan kepada alam sekitar.

Berbeza dengan penggiat seni visual, Nor Tijan Firdaus, 38, ini yang memanfaatkan e-sisa itu menerusi penghasilan karya seni kolaj yang mengagumkan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat kepentingan menguruskan 'sampah' itu untuk menjaga alam sekitar.

Selain itu, artis kontemporari yang memiliki Sarjana Seni Halus dan Teknologi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini turut menggunakan mainan kanak-kanak yang rosak dan sudah tidak digunakan bagi menghasilkan karya seninya.

Bakat dan kreativiti yang dimiliki ibu kepada empat cahaya mata itu digarap menggunakan barang terbuang yang diperoleh dari rumah, dibeli dari rakan dan pusat kitar semula mendapat perhatian ramai pihak di dalam serta luar negara.

BANYAK proses yang perlu dilakukan untuk menghasilkan karya seni.
BANYAK proses yang perlu dilakukan untuk menghasilkan karya seni.

Terbaru, karya seninya boleh dilihat dengan lebih dekat menerusi pameran solo keduanya bertajuk Seek di Core Design Gallery, Subang Jaya, Selangor.

Dengan mempamerkan lebih kurang 10 karya seni kolaj yang mengetengahkan tema permainan popular, Nor Tijan cuba mendekatkan minat masyarakat untuk mendalami mesej yang tersirat dan tersurat.

Nor Tijan berkata, idea menghasilkan karya seni dengan menggunakan e-sisa tercetus apabila melihat banyak barangan itu dibiarkan dan tidak diurus di rumahnya.

"Situasi itu, mendorong saya menghasilkan karya seni menggunakan barang dianggap tidak berguna ini. Ia membabitkan proses memotong dan menampal atau melekatkan sesuatu ke atas permukaan untuk dijadikan atau menghasilkan satu komposisi.

"Saya menyelitkan mesej untuk memberi kesedaran kepada masyarakat melalui karya seni," katanya.

Menurutnya, dalam menghasilkan karya seni, terdapat enam peringkat yang perlu dilalui iaitu memerah idea, lakaran idea ke bentuk visual, penyediaan permukaan karya, penyediaan bahan, pengolahan komposisi bahan dan penghalusan akhir.

Katanya, antara cabaran yang dihadapi dalam proses penghasilan karya antaranya adalah untuk mendapatkan bahan yang bersesuaian dengan visual.

"Selain itu, saya perlu melakukan proses teknikal lain seperti membersihkan sisa bahan, memotong dan mengolah bahan untuk mendapatkan komposisi yang mampu menghasilkan visual yang jelas," katanya.

Pada masa sama dalam menghasilkan karya seni, dia amat menitik beratkan pengisian makna dalam karya.

MENARIK perhatian pengunjung.
MENARIK perhatian pengunjung.

"Saya berusaha untuk meletakkan maksud tersurat dan juga tersirat agar pemerhati dapat manfaat atau mesej berguna melalui karya seni yang dipamerkan," katanya.

Baginya, setiap karya yang dihasilkan adalah satu pengalaman baru dan memiliki tahap kesukaran yang tersendiri.

"Boleh saya katakan, tahap paling sukar adalah proses awal. Selalunya saya tidak mampu membayangkan hasil dari setiap idea untuk dilakar pada kertas.

"Bagi saya, semua (karya) yang dihasilkan bermakna pada diri kerana perlu melalui pahit getir dan keseronokan dalam menyiapkannya," katanya.

Berkenaan rutin hariannya sebagai penggiat seni kontemporari dan menguruskan keluarga, Nor Tijan berkata, ia bergantung kepada desakan berkarya itu sendiri.

"Rutin harian bermula selepas Subuh dengan menyiapkan sarapan bersama suami. Kemudian, saya akan ke ruang studio di rumah untuk berkarya.

"Memandangkan suami saya juga adalah seorang pengkarya seni, agak mudah bagi saya menguruskan masa dengan adanya kesefahaman dan kerjasama," katanya.

ANTARA karya seni yang dihasilkan.
ANTARA karya seni yang dihasilkan.

Dia berpandangan antara kelebihan wanita turut terbabit dalam bidang ini adalah dapat menghasilkan pelbagai karya seni.

"Wanita dapat menonjolkan kemampuan berdaya saing yang tidak kurang hebatnya dengan wanita di luar negara.

"Saya beruntung di Malaysia penggiat seni wanita tidak pernah disisihkan. Malah lebih banyak pameran yang diadakan khas untuk penggiat seni wanita," katanya.

Berkongsi berkenaan perancangan masa depan, Nor Tijan ingin terus menghasilkan karya-karya yang membolehkan masyarakat terus berfikir dengan menyediakan sedikit maklumat dan pembelajaran hasil dari pemerhatian mereka.

"Saya berharap supaya karya saya dapat memainkan peranan dalam perkembangan seni visual tanah air dan terus diterima masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 7:00 AM