MAT ISA eksperimental dengan media baru.
MAT ISA eksperimental dengan media baru.
Nurul Husna Mahmud


SATU pembaharuan dalam karya bagi pelukis kontemporari Mat Ramli Mansor, 43, ialah apabila mengetengahkan kaedah 'bricolage' dalam arca dinamakan Akar ketika Pameran Transition Transformative: A Visual Experience di KL City Art Gallery, Seputeh, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pelukis berasal dari Batu Rakit,Terengganu itu mengakui cabaran aliran seni berkenaan itu termasuk dari segi penggunaan bahan.

Ia memerlukan Mat Ramli menggunakan bahan persekitaran untuk memberi refleksi dalam karya berkenaan.

"Ketika saya mencari inspirasi bagi karya ini yang membincangkan mengenai ekpensi (pengembangan) penyebaran hasil ilmu, saya bereksperimental dengan media baru. Malah ia juga kesinambungan karya sebelumnya.

"Cumanya tema atau topik karya masih sama iaitu mengenai impak informasi persekitaran terhadap individu dengan keadaan tidak menentu baik segi politik, ekonomi, sosial dan terbaru ialah pandemik.

"Cabang-cabang untuk menunjukkan elemen perkembangan dan medium digunakan daripada bahan sekitar seperti kertas majalah, surat khabar, kotak dan barang-barang terpakai sekali gus menhasilkan karya Akar ini," katanya.

Kata Mat Ramli lagi, penyertaan dalam pameran itu juga memberi pengalaman baru apabila berkongsi dengan komuniti Satu Collective yang mempunyai teknikal dan sudut pemikiran berbeza dalam persembahan karya.

Rakannya iaitu jurugambar dan juga artis ekspresi seni, Fakir Md Nor, 36, berkata, cabarannya ialah bagaimana mengetengahkan isu urbanisasi yang berat menggunakan aliran seni baru itu.

"Kalau sebelum ini pameran solo saya lebih kepada pengalaman inversif yang mana individu masuk ke satu bilik untuk 'menjiwai' karya.

ANTARA karya dipamerkan.
ANTARA karya dipamerkan.

"Cabaran kali ini bagaimana saya mahu pengunjung dapat interaksi dengan visual dan pameran saya bawa supaya merasai impak kesan urbanisasi tidak terkawal.

"Saya perlu wujudkan suasana itu di galeri ini seperti mana suasana di lapangan. Saya terpaksa turun ke lapangan dan buat kajian tujuh hingga ke lapan kali untuk dapatkan senario i

ni," katanya.

Karya paling menonjol pelukis itu ialah kombinasi paparan iklan bersama pohon kayu dan daun berguguran di pameran itu. Satu karya lain pula adalah paparan deretan foto memaparkan pelbagai imej hakisan boleh dinikmati pengunjung.

Sementara itu bagi kurator pameran berkenaan Elias Yamani Ismail berkata, ia adalah pameran terakhir bawah Satu Collective pada tahun 2020 yang penuh mencabar.

FAKIR bersama rakan artis cuba pamerkan karya dengan aliran baru.
FAKIR bersama rakan artis cuba pamerkan karya dengan aliran baru.

"Cabaran buat penggiat seni untuk anjurkan pameran dalam pandemik tetapi diteruskan kerana aliran seni dibawa komuniti Satu Collective sebagai satu aliran baru.

"Penggunaan material terpakai di sekeliling sebagai medium untuk penghasilan karya baru sebenarnya perlukan penonton hadir secara fizikal kerana ia karya mendalam.

"Menggunakan platform atas talian tidak memadai sebaliknya mereka perlu hadir untuk lihat sendiri material dan perincian bagaimana telitinya seorang artis memilih serta menyusun penggunaan setiap barangan sesuai dengan penceritaan karya,

" katanya.

Kata Elias, pameran berkenaan turut mendapat sokongan Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) dalam menyemarakkan lagi usaha penggiat industri kreatif tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 6:40 AM