SISA elektronik menjadi antara penyumbang perubahan cuaca tidak menentu.
SISA elektronik menjadi antara penyumbang perubahan cuaca tidak menentu.
Afiq Hanif


Dunia kini sedang bergelut untuk mengurangkan pengeluaran karbon dioksida yang sedang memanaskan bumi serta menyebabkan perubahan cuaca yang semakin tidak menentu.

Satu-satunya kaedah mengelakkannya daripada terus berlaku adalah dengan mengamalkan ekonomi yang rendah karbon.

Sisa elektronik atau e-sisa (e-waste dalam bahasa Inggeris) menjadi antara penyumbang perubahan cuaca tidak menentu apabila ia tidak dikawal secara bersepadu.

Oleh itu, perubahan perlu dilakukan. E-sisa adalah teknologi kitar semula barangan elektrik dan elektronik yang mempunyai komponen toksik dan ia sudah digunakan sejak beberapa tahun lalu.

Peningkatan penggunaan barangan elektronik termasuk telefon pintar menyebabkan pertambahan e-sisa yang boleh menyumbang pencemaran alam dan memudaratkan kesihatan.

Ia kerana barangan itu mempunyai bahan toksik dan berbahaya seperti plumbum, raksa, arsenik, kadmium, selenium, kromium heksavalen dan penebat api yang boleh mengeluarkan dioksin apabila terbakar.

Sebagai individu, setiap kita dapat menyumbang ke arah menangani isu sisa negara, namun sesetengah usaha itu memerlukan pihak yang lebih besar.

Aktiviti mengitar semula memberi keuntungan bukan secara fizikal tetapi membantu masa depan generasi kemudian hari.

Ada juga yang menjana keuntungan daripada kitar semula. Misalnya, tembaga sebagai bahan logam yang bernilai boleh diekstrak daripada e-sisa seperti komputer dengan meleburkan wayar daripada pelbagai logam yang mengandungi tembaga.

Terdapat hampir lima bilion pelanggan telefon bimbit ketika ini dan 15 bilion bateri telefon bimbit dijual setiap tahun di seluruh negara manakala di Eropah dianggarkan 100 juta telefon bimbit dilupuskan setiap tahun dan secara purata pengguna menukar telefon bimbit setiap 18 bulan.

Angka terbabit sudah pasti kian bertambah yang menyebabkan peningkatan jumlah sisa elektronik yang bahaya. Oleh itu, pengguna perlu peka dan mengambil langkah awal seperti pelupusan gajet yang sering digunakan seperti telefon bimbit.

Tahun lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bekerjasama dengan tujuh entiti bagi melancarkan program yang dinamakan Mobile e-Waste: Old Phone, New Life atau e-Sisa, Telefon Lama, Hidup Baru.

Tujuh entiti terbabit ialah Malaysian Technical Standards Forum Bhd (MTSFB), Altel Communications, Celcom Axiata Berhad, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Maxis Berhad, TM dan U Mobile Sdn Bhd.

Program terbabit menggalakkan orang ramai melupuskan peranti mudah alih secara selamat dan mengitar semula gajet tamat tempoh hayat, tidak digunakan atau yang tidak mahu dimiliki ke arah memupuk budaya kurangkan, guna dan kitar semula (3R) di Malaysia.

Program ini akan memberi penekanan pada telefon mudah alih yang tamat tempoh hayat sebagai sasaran tunggal e-sisa berdasarkan kepada peningkatan penggunaan telefon bimbit.

Ia antara kesan pembangunan luas industri komunikasi dan multimedia sejak pengenalan jalur lebar mudah alih pada 2009.

Kajian oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat menunjukkan purata jangka hayat sebuah telefon bimbit antara 18 hingga 24 bulan.

Statistik SIRIM QAS pula menyatakan 42 juta telefon bimbit yang berdaftar sebelum 2013.

Sehubungan itu, dianggarkan terdapat lebih 42 juta telefon mudah alih yang boleh dianggap sebagai e-sisa sama ada tersimpan di kediaman atau dibuang di tapak pelupusan sampah.

Namun SKMM menjangkakan angka sebenar jauh lebih besar selepas mengambil kira unit yang dibawa masuk ke negara tanpa rekod sah dan ia memerlukan perhatian setiap sokongan setiap individu di Malaysia.

Program seperti anjuran SKMM terbabit perlu diberi perhatian.

Apa yang perlu anda lakukan hanya melupuskan peranti mudah alih seperti telefon bimbit, telefon pintar, tablet dan phablet termasuk pengecas dan aksesori yang tidak lagi digunakan di 72 kedai telekomunikasi di seluruh negara yang menempatkan sebuah kotak pengumpulan e-Sisa Mudah Alih.

Bagi kerajaan, mesin kitar semula e-sisa yang membabitkan barangan elektrik dan elektronik akan mula diperkenalkan tahun depan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, mesin kitar semula itu dibangunkan sebuah syarikat Shan Poornam Metals Sdn Bhd iaitu khusus bagi melakukan proses penghapusan barangan elektrik dan elektronik.

Mesin terbabit dijangka mampu melakukan proses penghapusan kira-kira 100,000 tan setiap tahun bagi buangan elektrik dan elektronik termasuk telefon bimbit dan barangan komputer.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 6:36 AM