FOTO hiasan
FOTO hiasan
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Jabatan Alam Sekitar (Jas) mengesan beberapa cubaan mengimpot sisa elektrik dan elektronik (e-sisa) ke Malaysia sepanjang tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Wan Abdul Latif Wan Jaffar berkata, cubaan membawa masuk e-sisa itu dikesan daripada beberapa negara maju antaranya Amerika Syarikat (AS), Australia dan Jepun.

Menurutnya, cubaan itu bagaimanapun berjaya dipatahkan hasil kerjasama stratergik dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di semua pelabuhan seluruh negara.

"Memang dasar Malaysia tidak membenarkan sisa elektrik dan elektronik ini diimport masuk dari mana-mana negara.

"Kontena yang disyaki mengandungi sisa berkenaan akan dihantar semula ke negara penghantar," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Kemuncak Pengumpulan E-Waste 2021, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ucapannya secara maya berkata, Malaysia sedang membangunkan sistem pengurusan e-sisa dari isi rumah.

Menurutnya, mengikut mekanisme itu kelak, satu perundangan sedang digubal untuk memudahkan pengurusan sisa berkenaan kelak dilakukan rakyat negara ini.

"Inisiatif Jas juga melakar sejarah apabila 2.28 juta kilogram e-sisa berjaya dikumpul sepanjang tahun ini.

"Ini adalah pencapaian tertinggi sejak kempen ini dijalankan pada 2014 dengan mensasarkan 8,000 kilogram," katanya.

Katanya, orang awam juga akan dipermudahkan dalam urusan pengumpulan e-sisa menerusi aplikasi MyEwaste dengan pelbagai maklumat boleh diperoleh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 4:59 PM