ROSELIN memanfaatkan bakat untuk menghasilkan lukisan sulaman.
ROSELIN memanfaatkan bakat untuk menghasilkan lukisan sulaman.
Muhamaad Razis Ismail


Pertama kali melihat lukisan yang dipamerkan di sebuah kediaman di Setia Alam, Selangor ini, seolah-olah penulis 'dicampak' nostalgia keindahan zaman kanak-kanak di kampung.

Penulis percaya, mereka yang dilahirkan dan dibesarkan pada zaman era tahun 70-an, 80-an dan 90-an akan mengalami perasaan sentimental yang sama apabila melihat lukisan ini.

Segala elemen dan warna-warni di kampung termasuk rumah tradisional yang dikelilingi landskap seperti pokok bunga kantan, pokok kelapa, angsa, burung dan sebagainya boleh dilihat di dalam sebuah lukisan.

Uniknya, semua lukisan yang mengangkat tema kampung dan nostalgia ini nampak lebih 'hidup' apabila diwarnakan menggunakan teknik sulaman.

Jadi tidak hairanlah, 12 lukisan yang dihasilkan Yuslinda Yusof, 47, atau lebih dikenali sebagai Roselin sudah terjual dalam masa yang singkat kerana keunikan karya seni yang dihasilkan.

Bagaimanapun, bukan mudah kerana untuk menyiapkan satu-satu lukisan kerana memerlukan sekurang-kurang 200 benang berkualiti yang mempunyai warna berbeza untuk menghasilkan karya seni yang berkualiti tinggi.

Namun minat mendalam dan bakat yang dimiliki, pengasas Roselin Arts & Signature ini berjaya menghasilkan karya kreatif yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peminat karya seni di negara ini.

Roselin ingin mengembalikan nostalgia keindahan zaman kanak-kanak di kampung dalam bentuk lukisan yang disulam.

"Saya mahu lukisan ini menjadi tatapan generasi akan datang supaya budaya dan tradisi kita tidak terus ditelan arus kemodenan.

"Secara tidak langsung, saya dapat memperkenalkan kepada mereka mengenai keunikan seni sulaman tangan tradisional itu sendiri," katanya.

Bekas arkitek landskap itu berkata, dia mula berkecimpung dalam bidang seni sulaman itu pada Mac 2020 ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

LUKISAN sulaman yang mengangkat tema nostalgia dan kampung.
LUKISAN sulaman yang mengangkat tema nostalgia dan kampung.

Katanya, untuk mengisi masa lapang, dia mula belajar secara sendiri mengenai teknik menyulam melalui media sosial.

"Saya tertarik dengan satu hasil karya sulaman seorang artis iaitu Jura Gric dari Lithuania yang mana kebanyakan karyanya diinspirasikan daripada suasana alam semula jadi di negaranya.

"Oleh kerana di negara ini sudah banyak lukisan yang bertemakan konsep kampung dalam pelbagai bentuk genre dihasilkan, untuk mencari kelainan saya mencabar diri dengan mewarnakan lukisan menggunakan benang menerusi teknik sulaman tngan di samping memanfaatkan ilmu seni bina dan seni bina landskap dalam setiap karya yang dihasilkan.

"Alhamdulillah, saya tidak sangka, segala penat-lelah dan ratusan kali jari cedera tercucuk jarum, terbayar apabila lukisan sulam pertama terjual dengan harga RM5,000 ketika pertama kali saya menyertai pameran yang diadakan di Damansara pada 2021," katanya.

Menurutnya, untuk menyiapkan sesebuah lukisan sulaman perlu melalui beberapa proses yang mengambil masa yang agak lama.

"Perkara paling sukar adalah untuk dapatkan idea yang biasanya diperoleh menerusi pemerhatian, gambar, penceritaan dan sebagainya. Idea yang diperoleh akan lukis secara kasar di atas kertas sebelum diperhalusi di atas kain.

"Kemudian, proses sulaman akan dilakukan menggunakan benang berkualiti dan dijahit secara satu persatu menggunakan satu helaian benang. Saiz dan perincian di dalam lukisan juga mempengaruhi tempoh untuk menyiapkan proses sulaman yang kadang kala pernah mengambil masa sehingga enam bulan," katanya.

Oleh itu, untuk menghasilkan karya seni seperti ini, memerlukan minat, kesabaran dan disiplin yang tinggi.

PENGHASILAN lukisan sulaman memerlukan minat, kesabaran dan disiplin yang tinggi.
PENGHASILAN lukisan sulaman memerlukan minat, kesabaran dan disiplin yang tinggi.

"Biarpun, tiada kemahiran, tiga aspek ini (minat, kesabaran dan disiplin) amat penting untuk saya menyiapkan setiap karya seni kerana ia mengambil masa yang agak lama bergantung kepada perincian reka bentuk serta saiz.

"Pemilihan warna benang dan gabungan warna benang juga sangat penting supaya ia kelihatan seperti cat minyak atau cat akrilik," katanya.

Katanya, dalam menyiapkan lukisan, dia amat mementingkan kualiti berbanding kuantiti supaya karya yang dihasilkan dapat memberi kepuasan kepada diri dan pembeli.

"Sebab itu, sehingga kini, saya tidak akan menerima tempahan dan hanya membuka jualan apabila lukisan sudah siap kerana enggan terlalu terikat dengan masa.

"Setiap hari, saya hanya peruntukan masa selama empat jam sahaja pada sebelah siang untuk menyiapkan lukisan. Sabtu dan Ahad pula saya akan luangkan masa dengan keluarga," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia bercita-cita membuka kelas sulaman dalam kumpulan kecil untuk melahirkan lebih ramai penyulam terutama dalam kalangan golongan muda dan suri rumah.

"Saya juga berhasrat membuka galeri untuk mempamerkan semua hasil lukisan sulam untuk tatapan orang ramai sekali gus dapat melahirkan lebih ramai individu yang menghargai karya seni tempatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 7:01 AM