MELATIH kanak-kanak autisme dengan teknik selamat ketika berada di kolam air.
MELATIH kanak-kanak autisme dengan teknik selamat ketika berada di kolam air.
Nurul Husna Mahmud


Pendedahan keselamatan di air sejak usia kanak-kanak amat penting dalam memastikan tiada kemalangan berlaku.

Ia juga penting bagi kanak-kanak berkeperluan khas seperti kanak-kanak autisme yang jarang memperoleh peluang sebegini di luar.

Hanya ibu bapa berkemampuan mampu membekalkan kelas sedemikian yang juga dikatakan satu disiplin penting dalam terapi untuk kanak-kanak autisme.

Berhasrat memberi peluang dan saksama kepada kanak-kanak ini, Persatuan Keluarga Autisme Universiti Putra Malaysia (PEKAUPM) dan Aqua Putra Malaysia bersama Akademi Sukan UPM menganjurkan Program CSR Swim & Save Aquatherapia 2023.

Menurut Presiden PEKAUPM, Dr Saiful Hasley Ramli, program ini penting dalam mendedahkan teknik selamat kepada jurulatih renang apabila berada di kolam air.

"Aktivti latihan pada setiap Ahad bermula pada 19 Ogos sehingga 9 September lalu dikendalikan jurulatih renang terlatih dan berpengalaman.

"Hasil terapi air yang dipelajari anak-anak istimewa ini secara tidak langsung melatih mereka berasa yakin dan selamat melakukan aktiviti di dalam dan sekitar air.

"Dalam aspek lain, ia membangunkan kemahiran akuatik asas dengan beberapa teknik mudah.

IBU bapa turut sertai bantu jurulatih.
IBU bapa turut sertai bantu jurulatih.

KANAK-kanak teruja apabila berada dalam air.
KANAK-kanak teruja apabila berada dalam air.

"Latihan ini membabitkan 10 kanak-kanak 'dipasangkan' dengan jurulatih masing-masing. Ibu bapa juga membantu jurulatih dan anak mereka sepanjang terapi," katanya.

Pendedahan penting juga terutama kepada jurulatih dan kanak-kanak mengenai keperluan memahami tingkah laku pelbagai spektrum autisme ketika berdepan air.

Tambah Dr Shaiful Hasley, spektrum kanak-kanak autisme pelbagai juga menjangkakan risiko yang berlainan mengikut kategori kanak-kanak.

"Terapi ini penting kerana kanak-kanak terdedah dengan aspek keselamatan di air. Kanak-kanak dibantu jurulatih dan ibu bapa berdepan kebimbangan, kegusaran dan keyakinan ketika berada di air.

"Setidak-tidaknya ibu bapa lebih peka dengan tingkah laku anak-anak mereka di air. Mereka boleh adaptasi dan belajar mententeramkan anak-anak ketika berada dalam air," katanya.

Program ini juga secara umum adalah sebagai medium terapi untuk rangsangan otot, minda dan sensori kepada kanak-kanak berkeperluan khas bagi kategori masalah pembelajaran seperti disleksia, sindrom Down dan lain-lain.

Pihaknya berharap lebih banyak program sedemikian dianjurkan selain ia boleh meningkatkan jalinan kerjasama dan menambahkan keceriaan dalam kalangan anak-anak yang berkeperluan khas khususnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2023 @ 7:00 AM