BERSAMA pasukan sekolahnya ketika menyertai Kejohanan Ragbi Kebangsaan 7 Sepasukan Serdang Sevens.
BERSAMA pasukan sekolahnya ketika menyertai Kejohanan Ragbi Kebangsaan 7 Sepasukan Serdang Sevens.
Hafiz Ithnin


ASALNYA wanita ini adalah atlet negara di dalam pasukan hoki wanita yang pernah menyertai kejohanan sukan itu di Singapura dan Thailand masing-masing pada 2010 dan 2011.

Namun sebaik sahaja memegang status sebagai seorang guru pada 2018, minatnya dalam sukan itu berubah 180 darjah apabila menjadikan ragbi sentuh sebagai satu minat baharu untuk mendidik murid perempuan di sekolah dia mengajar.

Syahirah Mahiyud-Din, 29, sebenarnya tidak menyangka statusnya sebagai seorang guru akan merubah minatnya di dalam dunia sukan.

Bagaimanapun, dia sebenarnya layak di angkat sebagai dari 'zero kepada hero' apabila berjaya melatih kanak-kanak perempuan di bawah 12 tahun sehingga berjaya menembusi tembok negara dalam tempoh lima tahun sahaja.

Kejayaannya dalam tempoh setahun mengajar kanak-kanak perempuan di sekolahnya di dalam sukan ragbi sentuh juga begitu luar biasa apabila sentiasa dinobatkan juara di dalam pelbagai kejuaraan di peringkat kebangsaan.

Pemilik Ijazah Muda Perguruan Pendidikan Jasmani dari Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, Cheras itu berkata, dia sebenarnya tidak terfikir mampu menggilap bakat muda di dalam sukan ragbi sentuh kerana secara asasnya dia bukanlah mempunyai pengalaman di dalam arena itu.

"Segala-galanya bermula ketika saya ditugaskan ke Sekolah Kebangsaan Ampang, saya perlu mengajar pendidikan jasmani. Namun, peralatan hoki tidak ada dan untuk membelinya membabitkan kos yang tinggi.

MEMBERI arahan kepada pasukan untuk tektikal permainan.
MEMBERI arahan kepada pasukan untuk tektikal permainan.

AKSI Syahirah atas padang ketika melatih pasukannya.
AKSI Syahirah atas padang ketika melatih pasukannya.

"Jadi di sekolah ini sudah mempunyai pasukan ragbi sentuh lelaki dikendalikan rakan setugas yang menyarankan saya menubuhkan pasukan baharu dalam sukan itu untuk kanak-kanak perempuan memandangkan saya mempunyai latar belakang sukan," katanya.

Jelasnya, dalam tempoh enam bulan dia mempelajari teknik dan mengikuti pelbagai kursus mengenai sukan ragbi sentuh untuk mengajar dan membentuk pasukan ragbi perempuan di sekolahnya.

"Selepas tempoh enam bulan, saya mula yakin dan mengajar mereka. Syukur dalam tempoh setahun iaitu pada 2019 dengan menyertai pelbagai kejohanan ragbi sentuh perempuan, kami tiga kali bergelar juara kebangsaan daripada lima kejohanan yang berlangsung di dalam Malaysia," katanya.

Kongsinya, lebih manis sudah tentu pada 2022 dia berjaya membawa anak muridnya untuk menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa di Singapura yang disertai lapan pasukan. Bagaimanapun mereka menduduki tangga ke enam di dalam kejohanan itu.

Jelasnya, sebagai seorang jurulatih ragbi yang tidak mempunyai pengalaman 'lama' di dalam dunia sukan itu sudah semestinya memberi cabaran untuk mempelajari dari segi teknik dan teknikal.

"Saya menjadikan perkara itu sebagai satu kekuatan untuk belajar. Saya mengikuti pelbagai kursus dan berjumpa dengan rakan-rakan atlet ragbi ketika kami menuntut di Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail, Johor untuk meminta mereka mengajar saya.

"Rakan-rakan sekolah saya juga agak terkejut kerana saya mempunyai pengalaman di dalam bidang hoki tetapi memilih ragbi sentuh. Hasil bantuan pelbagai pihak saya dapat menimba ilmu dan mencurahkan kepada anak murid sehingga mereka merangkul pelbagai kejayaan," katanya.

HUBUNGAN erat Syahirah bersama anak didiknya.
HUBUNGAN erat Syahirah bersama anak didiknya.

PASUKAN yang merangkul johan dalam Kejohanan Ragbi Kebangsaan 7 Sepasukan Serdang Sevens.
PASUKAN yang merangkul johan dalam Kejohanan Ragbi Kebangsaan 7 Sepasukan Serdang Sevens.

"Antara kejayaan manis selain mampu menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa ialah ada antara anak murid saya yang memasuki sekolah berasrama penuh kerana disokong kecemerlangan di dalam sukan ini. Kebanyakan sekolah berasrama penuh mempunyai sukan ragbi sentuh dan aktif," katanya.

Katanya, selain itu, ada seorang daripada anak didiknya yang sudah menjadi atlet Selangor untuk sukan ragbi kerana mempunyai asas yang baik di dalam sukan ragbi sentuh.

"Bagi saya tiada erti kepuasan jika tidak melihat pembabitan anak murid yang dididik dalam sukan ini mampu memberi makna kepada kecemerlangan masa depan mereka.

"Jadi, saya sentiasa memastikan ilmu sukan yang diajar memberi manfaat kepada kehidupan mereka pada masa. Tidak semestinya menjadi atlet tetapi bermanfaat di dalam pelbagai bidang yang ingin mereka ceburi," katanya.

Katanya, sehingga kini dia sudah mengajar lebih 100 murid perempuan di dalam sukan ragbi sentuh dan sentiasa mencari bakat baharu untuk dibawa ke peringkat lebih tinggi.

"Pada saya pengalaman lama atau tidak adalah perkara kedua. Paling utama sebagai seorang jurulatih dan guru kita perlu bersemangat dan mencari ilmu dari masa ke masa untuk diberikan kepada anak murid. Kejayaan mereka adalah kepuasan kepada saya," jelasnya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 7:00 AM