DR Noormi (tengah), Kazuo (kiri) dan pakar periodontik KKM Dr Yuhaniz Ahmad Yaziz melancarkan kempen Be #GumProud.
DR Noormi (tengah), Kazuo (kiri) dan pakar periodontik KKM Dr Yuhaniz Ahmad Yaziz melancarkan kempen Be #GumProud.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


TAHAP penyakit gusi di Malaysia amat membimbangkan. Perkara ini dikongsikan Pengarah Kanan (Kesihatan Pergigian), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Noormi Othman.

Katanya, laporan Tinjauan Kesihatan Pergigian Kebangsaan bagi kanak-kanak sekolah di Malaysia (NOHSS) 2015 menunjukkan 99.6 peratus kanak-kanak berumur 12 tahun mengalami masalah gusi berdarah. Ini gejala awal penyakit gusi.

"Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dianggarkan 9.2 peratus dewasa berumur 15 tahun ke atas mengalami penyakit periodontik yang teruk pada 2019.

"Kajian dijalankan ke atas orang dewasa Malaysia oleh Lion Corporation Japan (pemilik jenama Systema) pula mendapati 80 peratus responden mempunyai sekurang-kurangnya satu gejala penyakit gusi ketara.

"Namun hanya satu peratus menyedari mereka menghidapi masalah gusi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan kempen Be #GumProud oleh Systema sempena Hari Kesihatan Gusi di ibu negara, baru-baru ini.

Kempen dengan kerjasama Persatuan Periodontologi Malaysia (MSP) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu bertujuan membantu rakyat Malaysia memahami kepentingan kesihatan gusi serta keperluan penjagaan gusi.

Dr Noormi berkata, peratusan rendah ini (sedar menghidap masalah gusi) menunjukkan tahap kesedaran rakyat Malaysia mengenai kepentingan kesihatan gusi mereka masih rendah.

"Penjagaan kebersihan mulut kurang baik, ditambah faktor lain seperti penggunaan tembakau antara faktor utama boleh merisikokan kesihatan mulut seseorang.

BENGKAK gusi adalah ciri-ciri gusi tidak sihat.
BENGKAK gusi adalah ciri-ciri gusi tidak sihat.

"Ada keperluan mendidik rakyat Malaysia melakukan penjagaan kesihatan mulut sendiri sebelum atau selepas memberus gigi.

"Ini termasuk memeriksa keadaan seperti gusi berdarah, sisa makanan atau bengkak yang membantu pengesanan awal kesihatan mulut," katanya.

Menurutnya, walaupun KKM menjalankan pelbagai aktiviti mencegah dan mengawal penyakit gusi, tetapi usaha mendekati rakyat Malaysia perlu diteruskan supaya mereka sentiasa ambil berat dengan kesihatan gusi serta gigi.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Periodontologi Malaysia Dr Mohd Faizal Hafez Hidayat berkata, gusi berfungsi untuk melindungi gigi dan mencegah penyakit dalam mulut.

Menurutnya, tanpa penjagaan gusi yang betul, bakteria tidak baik akan wujud dalam persekitaran gigi menyebabkan jangkitan dan keradangan.

GUSI yang sihat adalah pejal dan berwarna merah jambu muda.
GUSI yang sihat adalah pejal dan berwarna merah jambu muda.

"Jika tidak ditangani pada peringkat awal, ia boleh membawa kepada kemusnahan tisu gusi atau periodontitis yang lebih dikenali sebagai penyakit gusi.

"Penyakit gusi bermula dengan plak yang juga boleh meningkatkan risiko osteoporosis, penyakit jantung, angin ahmar dan kencing manis.

"Pakar kesihatan mulut menyatakan cara terbaik mengelak penyakit gusi adalah dengan memastikan gusi dan gigi sihat sejak usia muda," katanya.

Manakala Pengarah Urusan Southern Lion Kazuo Mabuchi berkata, beliau berasa bimbang dengan tahap kesedaran yang rendah dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai kesihatan gusi.

"Walaupun gigi putih dan nafas segar sering dikaitkan dengan kesihatan mulut, tetapi sebahagian besar rakyat Malaysia mungkin tidak sedar mengekalkan kesihatan mulut secara keseluruhan juga bergantung kepada gusi sihat berwarna merah jambu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 6:20 AM