TIDUR juga mempunyai kaitan dengan diet sihat.
TIDUR juga mempunyai kaitan dengan diet sihat.
Nurul Husna Mahmud


Amalan mengambil susu suam sebelum tidur dikatakan antara diet yang dapat membantu tidur lena sepanjang malam.

Adakah benar susu sangat membantu atau ia hanya 'plasebo' membantu individu mudah tidur?

Sebenarnya sukar untuk menentukan diet tertentu dapat membantu individu menikmati tidur lena setiap malam.

Namun, ada juga kajian mendapati kesan kandungan kimia dalam makanan tertentu dapat memberi rangsangan tidur lebih baik.

Penting ditekankan dalam pengambilan makanan yang dapat merangsang tidur, individu itu mesti terlebih dahulu menyukai makanan berkenaan.

Berikut antara makanan disarankan pakar dikatakan mampu membantu membuatkan individu mudah tidur:

DAGING ayam digalakkan dalam diet untuk tingkatkan rangsangan tidur.
DAGING ayam digalakkan dalam diet untuk tingkatkan rangsangan tidur.

1. Ayam atau daging putih

Kandungan sejenis asid amino yang dipanggil triptofan dalam daging putih seperti ayam dikatakan membantu badan menghasilkan serotonin.

Serotonin pula adalah kimia yang bertindak mencipta melatonin iaitu hormon yang membantu mengawal kitaran tidur dan bangun setiap hari.

Apabila peningkatan usia, dikatakan kitaran tidur dan bangun terjejas. Ada kajian mengatakan makanan kaya dengan triptofan boleh membantu mengekalkan kestabilan kitaran tidur individu meskipun mengecapi usia 55 hingga 75 tahun.

SUSU dapat membantu tidur waktu malam.
SUSU dapat membantu tidur waktu malam.

2. Susu dan produk tenusu lain

Seperti ayam, produk tenusu seperti susu, yogurt dan keju mengandungi triptofan yang tinggi. Selain triptofan produk tenusu juga mengandungi vitamin D.

Melatonin disokong dengan kehadiran kedua-dua elemen itu. Ada juga beberapa kajian mengenai kalsium dan tidur. Pada 2016 kajian ke atas tikus makmal mendapati kalsium membantu memperlahankan gelombang aktiviti saraf sangat diperlukan ketika tidur.

Berdasarkan kajian itu, didapati susu suam antara diet membantu menenangkan dan meningkatkan keinginan untuk tidur.

3. Ikan berlemak dengan asid omega-3

Ikan berlemak baik seperti salmon, trout, tuna dan ikan bilis kaya dengan vitamin D dan asid lemak omega-3 seperti EPA dan DHA.

Beruntung bagi peminat sajian berasaskan ikan apabila kedua-dua vitamin D dan asid omega-3 terbukti menyokong kitaran tidur yang sihat, mengurangkan keradangan dan meningkatkan pengeluaran serotonin.

Satu kajian di luar negara pula meneliti kesan lelaki yang makan salmon Atlantik tiga kali seminggu selama enam bulan berbanding lelaki yang makan ayam, daging lembu atau daging babi.

Lelaki yang mengambil ikan berlemak baik, mempunyai kepekatan vitamin D dan asid omega-3 yang lebih tinggi, memberi kesan positif terhadap kualiti tidur dan fungsi harian mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2023 @ 6:30 AM