WANITA disaran dapatkan segera nasihat pakar jika alami simptom utama endometriosis, PCOS.
WANITA disaran dapatkan segera nasihat pakar jika alami simptom utama endometriosis, PCOS.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


HAID yang lewat, menyakitkan dan secara tidak menentu boleh menjadi petanda bahawa sesuatu lebih serius sedang berlaku dalam tubuh anda.

Namun, ia tidak mudah untuk diklasifikasikan hanya daripada satu punca.

Walaupun semua itu adalah simptom utama penyakit ginekologi seperti endometriosis dan Sindrom Ovari Polisistik (PCOS), tetapi masih ramai yang tidak dapat membezakan kedua-dua penyakit berkenaan.

Ini disebabkan terdapat simptom yang sama, sekali gus menimbulkan kerisauan dalam kalangan pesakit yang ingin mendapatkan rawatan.

Justeru, sempena Bulan Kesedaran Endometriosis pada setiap Mac, pakar daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) berkongsi pandangan mereka mengenai apa yang dapat membezakan antara endometriosis dan PCOS.

Ia bagi membantu memberi pilihan rawatan dan langkah seterusnya untuk membolehkan pesakit mendapatkan kualiti hidup yang lebih baik.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan SMCV, Dr Farah Leong Rahman berkata, kedua-dua penyakit itu adalah berbeza iaitu PCOS berlaku disebabkan tahap hormon abnormal dalam tubuh dan tahap insulin yang tinggi.

SEBAIK diagnosis PCOS, anda berisiko lebih tinggi untuk mendapat masalah kesihatan jangka panjang yang lain.
SEBAIK diagnosis PCOS, anda berisiko lebih tinggi untuk mendapat masalah kesihatan jangka panjang yang lain.

Kata Dr Farah, antara simptom umum bagi PCOS adalah haid yang jarang berlaku dan tidak menentu, kenaikan berat badan, muka berminyak, pertumbuhan rambut di tempat yang tidak diingini atau masalah jerawat disebabkan peningkatan penghasilan hormon lelaki.

"Endometriosis pula adalah sejenis penyakit di mana tisu-tisu yang melapisi rahim mula tumbuh di tempat lain seperti pada ovari, rahim, tiub fallopio, usus atau jarang sekali berlaku di paru-paru.

"Simptom yang dialami setiap wanita mungkin berbeza, tetapi mereka boleh mengalami haid yang menyakitkan, sakit ketika atau selepas melakukan hubungan seks atau sakit yang berterusan di bahagian bawah perut atau belakang," katanya.

Menurut Dr Farah lagi, wanita yang menghidapi PCOS atau endometriosis berpeluang untuk hamil secara semula jadi, tetapi ada juga sebilangan pesakit yang memerlukan bantuan perubatan.

Katanya, wanita dengan PCOS yang mengalami haid tidak teratur atau haid yang jarang berlaku, terdapat kekurangan ovulasi (pelepasan telur dari ovari) menyebabkan kesukaran untuk mengenal pasti tempoh subur mereka.

"Bagi wanita dengan endometriosis pula, mereka mungkin mempunyai anatomi pelvis yang terbalik, parut tisu di sekeliling ovari dan tiub fallopio.

PEMBEDAHAN dilakukan apabila rawatan perubatan gagal atau sekiranya simptom penyakit tidak dapat dikurangkan dengan pengambilan ubat-ubatan.
PEMBEDAHAN dilakukan apabila rawatan perubatan gagal atau sekiranya simptom penyakit tidak dapat dikurangkan dengan pengambilan ubat-ubatan.

"Ia menjadikan persekitaran itu kurang kondusif untuk kehamilan," katanya.

Dalam pada itu, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan dari hospital sama, Dr Ashley Chung Soo Bee berkata, endometriosis lebih kerap berlaku dan menjejaskan satu daripada 10 wanita di seluruh dunia.

Kata Dr Ashley, wanita selalunya berisiko tinggi untuk mendapat endometriosis ketika berada di fasa usia reproduktif mereka.

Katanya, dengan sista (cysts) endometriosis yang ditemui dalam atau pada tiub fallopio, usus, pada, di belakang atau di sekitar rahim di kawasan antara faraj dan rektum, pendarahan yang berlaku (kesan daripada penyakit itu) boleh menyebabkan kesakitan, keradangan, parut dan kemungkinan untuk mengalami kerosakan organ.

"Kajian perubatan di Amerika Syarikat pula menunjukkan bahawa genetik memainkan faktor utama untuk seorang wanita menghidapi PCOS, di mana 25 hingga 30 peratus wanita dengan PCOS mempunyai ibu atau adik-beradik lain yang turut menghidapinya.

"Ahli keluarga kepada wanita yang menghidapi PCOS mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami keabnormalan metabolik yang sama," katanya.

WANITA yang menghidapi PCOS atau endometriosis masih berpeluang untuk hamil secara semula jadi.
WANITA yang menghidapi PCOS atau endometriosis masih berpeluang untuk hamil secara semula jadi.

Apa yang uniknya, terdapat sesetengah keadaan di mana pesakit boleh mengalami kedua-dua penyakit ginekologi berkenaan dalam masa sama.

Untuk itu, pesakit perlu mendapatkan nasihat dan bantuan perubatan sewajarnya supaya mereka boleh mendapat rawatan yang lebih tepat berkaitan endometriosis dan PCOS.

Kata Dr Ashley, PCOS mungkin dialami secara berbeza-beza bagi setiap wanita dengan sesetengahnya mengalami gejala yang lebih ringan manakala yang lain mengalami gejala lebih teruk.

"Sebaik sahaja diagnosis PCOS, anda berisiko lebih tinggi untuk mendapat masalah kesihatan jangka panjang yang lain seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, kanser rahim, kemurungan dan isu psikologi.

"Apa pun, jika tidak datang haid selama lebih empat bulan, anda dinasihatkan untuk berjumpa pakar sakit puan untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut," katanya.

Sementara itu, untuk rawatan, Dr Farah berkata, penawar kekal bagi endometriosis dan PCOS masih tidak dijumpai sehingga kini.

Namun, terdapat kaedah perubatan yang boleh mengurangkan simptom yang dialami pesakit.

"Rawatan utama bagi wanita yang menghidapi PCOS adalah perubahan gaya hidup seperti mengekalkan berat badan optimal, mengamalkan corak pemakanan yang sihat dan seimbang serta melakukan senaman dengan kerap.

"Bagi wanita dengan endometriosis pula, pengurusan dan cara rawatan penyakit itu bergantung pada tahap keseriusan simptom jika ia menganggu kualiti kehidupan seharian pesakit," katanya.

Selain itu, antara perkara penting untuk dipertimbangkan adalah sama ada seseorang pesakit terbabit merancang untuk hamil atau tidak.

Pembedahan dilakukan apabila rawatan perubatan gagal atau sekiranya simptom penyakit tidak dapat dikurangkan dengan pengambilan ubat-ubatan.

Justeru baik Dr Farah mahu pun Dr Ashley, masing-masing menasihatkan bahawa tindakan yang ideal untuk menangani kedua-dua penyakit berkenaan adalah dengan cara mendapatkan nasihat daripada doktor pakar yang boleh menjalankan ujian serta pemeriksaan lanjut untuk memastikan pesakit mendapat diagnosis tepat.

Kata mereka, menerusi ujian seperti imbasan ultra bunyi pelvis, ujian hormon untuk memeriksa status hormon pesakit dan tahap kesediaan ovari, pesakit kemudian boleh mendapatkan rawatan sesuai dengan mereka.

Ia secara tidak langsung membantu pesakit untuk meneruskan kehidupan seharian dengan lebih baik meskipun mempunyai penyakit itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 6:30 AM