Oleh Siti Zarinah Sahib

Salmah, 38, tidak menyangka senggugut yang teruk setiap kali datang haid sehingga memaksa dia bercuti dan mengambil suntikan adalah petanda dia mengalami masalah endometriosis.

Pada mulanya dia beranggapan kesakitan ini hanya perkara biasa untuk wanita sedang datang bulan, tetapi sebenarnya tidak. Lebih memburukkan keadaan apabila masalah itu menyebabkan dia sukar mendapat cahaya mata walaupun sudah lima tahun berkahwin.

Tidak tahan menunggu lama, dia terus mendapatkan rawatan daripada doktor bagi membolehkannya mengandung. Selepas pemeriksaan barulah diketahui rupa-rupanya selama ini dia mengalami masalah endometriosis.

Menurut Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pusat Fertiliti KL, Dr Natasha Ain Mohd Nor, secara saintifik, endometriosis adalah salah satu punca lazim yang boleh menyebabkan ketidaksuburan dalam kalangan wanita. Ia dikatakan berlaku ke atas tujuh peratus daripada wanita dalam lingkungan usia 18 hingga 35 tahun dan menjadi sebab utama mengapa wanita gagal hamil.

Endometriosis membawa maksud selaput rahim yang tumbuh di luar rahim iaitu pada usus, pundi kencing, salur kencing, tiub fallopia dan bahagian lain di luar kawasan pelvik.

Ia berlaku apabila selaput endometrium menebal dan berdarah sewaktu kitaran haid, tetapi ia tidak mengalir keluar daripada tubuh. Ini boleh mengakibatkan inflamasi tisu di sekelilingnya dan seterusnya penghasilan tisu parut. Apabila ini terjadi, kilang telur mula membengkak dan darah kotor terkumpul di dalamnya manakala saluran peranakan juga boleh rosak dan tersumbat.

Tambahnya, endometrium ini juga boleh tumbuh dengan saiz luar biasa pada dinding dan otot rahim menyebabkan dinding rahim menjadi besar dan membengkak. Namun, bagaimana tisu endometrium ini boleh tumbuh pada tempat yang luar biasa, tidak diketahui dengan tepat.

Ada beberapa teori yang cuba menjelaskan bagaimana keadaan ini berlaku seperti kemungkinan darah kotor tumpah ke belakang rahim melalui tiub fallopia. Mungkin juga disebabkan kedudukan rahim yang tidak normal iaitu jatuh ke belakang ke arah tulang tongkeng.

“Keadaan rahim begini sering dikaitkan dengan penyakit endometriosis sedangkan pesakit yang memiliki rahim yang menghadap ke hadapan jarang mendapat endometriosis. Ada juga menyatakan bahawa tisu endometrium ini dibawa ke tempat lain melalui saluran darah atau saluran kelenjar ,” jelasnya.

Terdapat beberapa tanda seseorang itu mengalami endometriosis iaitu sakit pada bahagian pelvik dan ia kerap terjadi sebelum kitaran haid bermula, sakit juga kerap terasa semasa melakukan hubungan seks dan ketika membuang air kecil atau besar.

“Bagaimanapun, kekerapan dan intensiti rasa sakit sebenarnya tidak berkait dengan tahap serius penyakit yang dialami. Sesetengah wanita mungkin mengalami sakit yang keterlaluan, tetapi endometriosis mungkin masih dalam peringkat awal. Ada juga wanita yang tiada gejala atau sakit yang ringan, tetapi endometriosisnya sudah berada pada tahap teruk.

“Namun dalam kebanyakan kes, endometriosis gagal didiagnos pada peringkat awal sehinggalah wanita bertemu doktor disebabkan kegagalan untuk hamil. Ini kerana kebanyakan pesakit tidak mempunyai sebarang tanda dan gejala,” katanya.

Dr Natasha berkata, dalam keadaan normal, lapisan endometrium cuma ada pada dinding rahim saja manakala bagi kes endometriosis, lapisan tisu ini akan dijumpai pada kawasan badan yang lain terutama di dalam pelvis seperti ovari, tiub fallopia, di permukaan rahim, di ruangan pelvis, sekitar usus, rektum dan pundi kencing. Ia boleh juga dijumpai di bahagian yang lebih jauh pada tubuh termasuk paru-paru dan hati, tetapi ini sangat jarang berlaku.

“Walaupun tisu endometrium berada di luar kawasan yang tidak sepatutnya, ia masih responsif terhadap perubahan hormon semasa kitaran haid. Seperti mana haid, tisu endometriosis akan gugur dan berdarah, dengan cara yang sama dengan dinding rahim gugur dan berdarah semasa kitaran haid.

“Pendarahan ini boleh menyebabkan rasa sakit terutama sebelum dan semasa haid. Tisu yang gugur dan berdarah di sekitar organ pelvis akan menyebabkan parut dan organ lain yang berhampiran akan melekat antara satu sama lain,” terangnya.

Sekiranya tidak dikesan lebih awal dan tiada rawatan diberikan, ini akan menyebabkan struktur organ di pelvis beralih dari kedudukan asal.

Sebagai contoh yang paling kerap berlaku, apabila ovari melekat pada uterus ia akan menyebabkan tiub fallopia berjauhan dari ovari. Sekiranya berlaku ovulasi, telur tidak akan dapat dicapai oleh tiub fallopia dan persenyawaan tidak akan berlaku.

Dalam kes yang lebih serius, kerosakan mendalam pada tiub fallopia menyebabkan ia tersumbat, rosak menyebabkan ketidaksuburan. Ovari yang ditumbuhi endometriosis pula akan mengumpul darah semasa kitaran haid dan berlakulah sista ovari yang mengandungi darah iaitu seakan-akan seperti coklat cair di dalamnya.

“Ovari yang diselaputi endometriosis tidak dapat lagi berfungsi dengan normal dan gagal melepaskan telur disebabkan follikel terperangkap oleh parut pada permukaan ovari. Ini akan mengurangkan tahap kesuburan wanita dan sekiranya mereka boleh mengandung dikhuatiri akan menyebabkan masalah keguguran,” katanya.

Rawatan Endometriosis

Rawatan endometriosis bergantung kepada umur pesakit, simptom yang dihidapi dan sama ada pesakit itu masih mahu mengandung atau sebaliknya. Jika tujuan mendapatkan rawatan adalah untuk mengandung, doktor akan memeriksa bahagian peranakan dan membetulkannya.

Secara amnya rawatan boleh dibahagikan kepada konservatif, ubatan hormon dan pembedahan. Kaedah konservatif bersesuaian untuk pesakit yang menghidapi hanya pada tahap ringan dengan simptom yang sedikit.

Ubat hormon pula sesuai diberikan untuk wanita yang mengalami senggugut yang teruk atau hormon tidak seimbang. Ini kerana lapisan endometrium yang ektopik boleh dikawal menerusi cara menyekat tahap hormon estrogen dan progesteron di dalam tubuh pesakit.

“Untuk itu, hormon seperti pil perancang, progesteron dan Gonadotrophin-Releasing hormone (GnRH analog) dapat diberikan sebagai rawatan endometriosis. Hormon ini biasanya diberikan selama beberapa bulan untuk memastikan sebanyak mungkin lapisan ektopik endometriosis dapat dikurangkan,” katanya.

Biasanya doktor akan mengambil sejarah perubatan pesakit secara terperinci dan melakukan pemeriksaan fizikal, termasuk di bahagian faraj. Jika doktor mengesyaki kemungkinan wanita itu mengalami endometriosis, doktor menyarankan pembedahan laparoskopi dijalankan untuk melihat bahagian dalam ruang pelvis. Jika endometriosis dijumpai, doktor akan menentukan tahap endometriosis dan kerosakan yang berlaku.

“Diagnosis yang tepat hanya boleh dilakukan melalui pembedahan laparoskopi diagnostik iaitu menerusi kamera yang dimasukkan melalui tebukan kecil di pusat pesakit. Melalui kamera doktor boleh memeriksa keadaan organ dalaman terutama rahim, kilang telur dan saluran peranakan,” jelasnya.

Bagaimanapun, pesakit harus sedar proses yang menyebabkan endometrisis masih lagi berlaku dan akan berterusan sepanjang hidup selagi wanita mempunyai haid. Jadi risiko untuk mendapatkan penyakit ini semula adalah tinggi.

Rawatan ubat saja mungkin boleh menghilangkan rasa sakit, tetapi tidak akan menghalang endometriosis daripada merebak. Rawatan hormon pula boleh mempengaruhi kesuburan dan tidak sesuai untuk diberikan kepada mereka yang merancang untuk hamil.

Oleh itu dalam banyak kes endometriosis, pembedahan menjadi pilihan utama dan biasanya dilakukan melalui laparoskopi. Semasa laparoskopi, tisu endometriosis dimusnahkan atau dibuang dan tisu yang baru terjadi akan dibakar menggunakan alat khas.

Beberapa penyelidikan menunjukkan kadar kehamilan selepas pembedahan untuk wanita yang mengalami endometriosis adalah setinggi 47 peratus. Kepada mereka yang menghidap endometriosis yang serius, kadar kehamilan adalah sekitar 38 peratus. Walaupun angkanya tidaklah begitu tinggi, tetapi ia jauh lebih baik daripada kadar kehamilan tanpa sebarang rawatan pembedahan.

Pemakanan yang perlu dielakkan atau dikurangkan untuk pesakit endometriosis

Makanan mengandungi gandum. Ada kajian menyatakan gandum boleh menyebabkan inflamasi dan mengurangkan penyerapan galian penting seperti zink dan zat besi seperti roti putih, kek, pasta dan snek ringan yang mengandungi gandum.

Gula terutama gula yang diproses boleh menyebabkan hormon insulin berlebihan yang seterusnya mengganggu proses ovulasi.

- Marjerin.

Kafein boleh menyebabkan paras gula di dalam darah terganggu.

Produk Tenusu. Ia juga mempunyai elemen yang boleh meningkatkan inflamasi di dalam badan.

Daging merah. Banyakkan pengambilan daging putih (seperti ayam) dan yang organik.

Soya kerana ia mempunyai kandungan fito-estrogen yang tinggi terutamanya susu soya dan tofu.

Makanan berlemak.

Pemakanan yang digalakkan

Banyakkan sayur-sayuran hijau dan buah-buahan segar yang mengandungi zat galian penting. Brokoli boleh merendahkan paras hormon estrogen yang berlebihan di dalam badan.

-Kekacang. Contoh kacang badam dan walnut.

- Oat yang organik yang kaya dengan zat galian dan mineral.

- Makanan berserat.

- Beras atau pasta perang.

- Beri goji - antioksidan yang bagus dan juga boleh meningkatkan kualiti telur yang dihasilkan.

- Lemak berkhasiat seperti asid lemak omega-3, avokado dan minyak zaitun.

- Minum air sekurang-kurangnya lapan gelas sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 11:41 AM