PAKAIAN dan seluar panas menarik.
PAKAIAN dan seluar panas menarik.
Nurul Husna Mahmud

nurul_husna @hmetro.com.my

SEBUT sahaja 'Wingardium Leviosa' pasti ramai dapat menangkap ia antara 'mantera' terawal pernah diungkap karakter tersohor, Harry Potter dalam siri pertama filem itu, Harry Potter and The Sorcerer's Stone.

Mengimbau dan menghangatkan kembali kenangan peminat tegar filem berkenaan yang meraikan ulang tahun ke-20, Ariani melancarkan koleksi khas edisi terhad Harry Potter X Ariani menerusi kerjasama bersama Warner Bros. Consumer Products.

Koleksi istimewa ini merangkumi produk seperti selendang, aksesori tudung dan cenderahati eksklusif. Selain pelbagai koleksi pakaian antaranya blaus, baju dan seluar panas, seluar denim, palazo, abaya dan banyak lagi berinspirasikan dunia sihir itu.

Menurut Pengarah Pemasaran Ariani, Datin Seri Farah Haryani Muhammad Philip, koleksi lengkap Harry Potter X Ariani dari pakaian, aksesori sehingga cenderahati sebagai tanda menghargai pelanggan setia jenama Ariani yang juga peminat filem fantasi itu.

"Kami tahu memang ramai antara pelanggan kami meminati filem dan karakter Harry Potter ini. Peluang untuk berkolaborasi dengan satu jenama terkemuka ini adalah satu detik yang sangat mengujakan buat semua.

CENDERAHATI turut ditawarkan.
CENDERAHATI turut ditawarkan.

"Koleksi cenderahati termasuk pakaian juga antara seleksi istimewa yang ingin kami hadiahkan khas buat penyokong setia Ariani selama ini," katanya.

Tambah Farah Haryani lagi, koleksi istimewa itu bakal menampilkan kombinasi simbol ikonik yang sering dilihat dalam filem Harry Potter.

"Rekaan semua barangan di bawah koleksi ini akan menampilkan simbol ikonik iaitu motif Hogwarts Castle yang digabung bersama motif 'H' pada nama Harry Potter dengan rona warna pastel yang menjadi pilihan penggemar tudung Ariani sendiri.

"Cetakan unik corak 'houndstooth' juga digabungkan bersama corak monogram bagi menghasilkan rekaan menarik dan istimewa bagi peminat tegar siri filem ini.

"Koleksi khas Harry Potter X Ariani ini turut didatangkan dengan kotak istimewa yang bakal menjadi salah satu koleksi mesti dimiliki peminat jenama ini," katanya.

Pada masa sama, koleksi Harry Potter X Ariani dijual di butik Galeri Ariani & Ariani RTW terpilih dan pembelian dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 6:43 AM