Pelanggan House of Ariani memilih tudung direka dengan konsep moden. - FOTO NSTP
Pelanggan House of Ariani memilih tudung direka dengan konsep moden. - FOTO NSTP
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Jenama hijab terkemuka tanah air, Ariani meluaskan lagi empayar perniagaan dengan mencatatkan sejarah baru apabila berjaya membuka House Of Ariani (HOA) dengan keluasan 37,100 meter persegi menjadikan HOA sebagai gedung tudung dan butik pakaian Muslimah terbesar di Malaysia.

Pengarah Pemasaran Ariani Textiles & Manufacturing (M) Sdn Bhd, Datin Farah Haryani Muhammad Philip berkata, HOA diinspirasikan untuk menghimpunkan kesemua jenamanya di bawah satu bumbung.

Katanya, pembukaan HOA ini jelas menunjukkan komitmen Ariani dalam meneruskan legasi perniagaan industri hijab yang sudah bertapak selama 15 tahun dan mempunyai rangkaian pelanggan yang ramai bukan sahaja di dalam Malaysia, malah dari Brunei, Singapura dan Indonesia.

"Buat masa ini, lebih 200 koleksi tudung dan 100 koleksi pakaian ditawarkan di HOA dan kami sudah memulakan koleksi sempena raya ini sejak lapan bulan lalu.

"Selain untuk menarik lagi ramai pelanggan, tujuan HOA juga adalah untuk memberikan pengalaman baru kepada pelanggan setia Ariani untuk lebih dekat lagi dengan jenama ini," katanya pada pembukaan HOA di sini, baru-baru ini.

Pengarah Pemasaran Ariani, Datin Farah Haryani Muhammad Philip. - FOTO NSTP
Pengarah Pemasaran Ariani, Datin Farah Haryani Muhammad Philip. - FOTO NSTP

Beliau berkata, HOA merangkumi ruang perniagaan empat tingkat yang menghimpunkan lebih ratusan produk Ariani meliputi pelbagai jenis himpunan tudung dan pakaian termasuk koleksi utama.

Setiap aras menempatkan koleksi mengikut kategori di mana aras bawah dan aras satu memfokuskan koleksi tudung, selendang dan koleksi haji serta ReadyUmrah.

Ariani buat pertama kalinya turut memperkenalkan sub jenama terbaharunya iaitu Aryan jenama pakaian lelaki terdiri daripada baju melayu, kurta dan kemeja.

Farah berkata, perkhidmatan pelanggan turut dinaik taraf di HOA yang mana ruangan eksklusif turut disediakan khas untuk pelanggan tetap yang sentiasa menyokong jenama ini.

"Bagi yang bakal berkunjung ke HOA mereka akan merasai pengalaman reka bentuk kedai yang dilengkapkan dengan gabungan teknologi pintar dan pengalaman gaya hidup," katanya.

Ariai turut mengadakan jualan mega lebaran bermula 10 Mac sehingga malam raya dan secara eksklusif, Ariani turut melancarkan koleksi terbaru tudung lebaran.

Koleksi tudung tahun ini lebih memfokuskan kepada corak dan warna yang lebih segar dan moden.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 6:40 PM