UJIAN saringan spesifik diikuti dengan biopsi jantung boleh dilakukan bagi mengenal pasti kewujudan kanser dalam tubuh pesakit.
UJIAN saringan spesifik diikuti dengan biopsi jantung boleh dilakukan bagi mengenal pasti kewujudan kanser dalam tubuh pesakit.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Istilah perubatan, angiosarcoma sebelum ini tidak diketahui ramai kerana kebarangkalian yang jarang berlaku.

Namun, kini istilah 'cardiac angiosarcoma' semakin menjadi perbualan ramai selepas menjadi punca kematian pereka fesyen terkenal yang juga Pengarah Artistik Fesyen Lelaki Louis Vuitton, Virgil Abloh, baru-baru ini.

Abloh, 41, didiagnos menghidap cardiac angiosarcoma pada 2019, namun menghembuskan nafas terakhir 28 November lalu.

Walaupun kanser yang jarang dijumpai itu sukar untuk didiagnosis, namun orang ramai perlu mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan Angiosarcoma, bagaimana ia boleh berlaku dan simptom yang perlu diawasi.

Dikenali sebagai kanser yang agresif, angiosarcoma tergolong dalam kumpulan kanser yang dikenal pasti sebagai sarcoma dan bermula dalam tulang dan tisu lembut termasuk otot, lemak, salur darah, saraf, tendon dan lapisan sendi.

Pakar Onkologi daripada Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV), Dr Hafizah Zaharah Ahmad berkata, angiosarcoma boleh berlaku di mana-mana bahagian tubuh dan selalunya berlaku di sekitar bahagian kulit kepala dan leher.

Kata Dr Hafizah, cardiac angiosarcoma pula disifatkan sebagai satu kanser yang agresif kerana ia dapat merebak dengan cepat dan menembusi dalam lapisan otot jantung seterusnya menganggu aliran darah melalui jantung, metastasis (merebak) serta boleh menyebabkan kematian.

"Sarcoma jarang berlaku dan hanya mewakili kurang daripada satu peratus daripada semua kes kanser dewasa dan 12 peratus daripada kanser dalam kalangan kanak-kanak.

"Saya pernah merawat seorang pesakit muda yang mempunyai angiosarcoma pada kulit kepala, malangnya pesakit itu didiagnosis di peringkat kanser yang tidak boleh dibuang.

ABLOH meninggal dunia baru-baru ini akibat cardiac angiosarcoma.
ABLOH meninggal dunia baru-baru ini akibat cardiac angiosarcoma.

"Pada awalnya kanser itu muncul sebagai luka biru pada kulit kepala yang kemudian berulser, pesakit terbabit kemudian menjalani rawatan radiasi dan kemoterapi," katanya.

Menurut Dr Hafizah lagi, ujian saringan spesifik (Echocardiogram atau Echo, Imbasan CT atau CT Scan atau MRI) diikuti dengan biopsi jantung boleh dilakukan untuk mengenal pasti kewujudan kanser itu dalam tubuh pesakit.

Kata beliau, ujian echo digunakan secara meluas dan dapat menyediakan teknik yang mudah serta tidak invasif untuk penilaian awal kanser berkenaan.

"Ia dapat mengesan kewujudan jisim atau tumor dan mampu memberikan informasi untuk mengenal pasti sebarang penghalang kepada sistem peredaran darah," katanya.

Pakar Kardiologi dan Perubatan Dalaman SMCV, Dr Foo Yoke Loong turut berkongsi pengalaman beliau merawat seorang pesakit dengan cardiac angiosarcoma ketika menjalani latihan kardiologi suatu ketika dahulu.

Kata Dr Foo, pesakit itu dibawa ke hospital akibat mengalami sesak nafas dan gejala kegagalan jantung selepas kehamilan.

Malangnya, pesakit terbabit meninggal dunia kerana kanser yang bersifat agresif itu.

Katanya, cardiac angiosarcoma sukar didiagnosis kerana ia selalunya tidak menunjukkan simptom.

"Pesakit mungkin mengalami sedikit kesukaran untuk bernafas, berasa letih ketika bersenam atau melakukan kerja berat yang boleh disebabkan penyakit lain selain cardiac angiosarcoma.

"Apabila angiosarcoma itu semakin membesar dan menghimpit jantung, barulah pesakit mengalami kekurangan daya toleransi, sesak nafas, bengkak kaki dan sakit dada yang datang serta pergi," katanya.

PESAKIT mungkin mengalami sedikit kesukaran untuk bernafas atau letih ketika bersenam yang boleh disebabkan penyakit lain selain cardiac angiosarcoma.
PESAKIT mungkin mengalami sedikit kesukaran untuk bernafas atau letih ketika bersenam yang boleh disebabkan penyakit lain selain cardiac angiosarcoma.

Jelas Dr Foo lagi, kebanyakan pesakit didiagnosis dengan penyakit itu apabila ia sudah berada di tahap lebih serius dan apabila simptomnya sudah menjadi semakin ketara.

Begitupun, ada beberapa tanda-tanda gejala yang dapat membantu orang ramai untuk mengetahui apabila mereka perlu mendapatkan rawatan segera.

"Sehingga kini, tiada lagi kajian yang dapat menunjukkan ada kaedah untuk menghalang sebarang jenis angiosarcoma daripada berlaku.

"Jika seseorang itu mengalami ketidakselesaan dada dan sesak nafas yang berterusan serta bertambah teruk, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan segera supaya kami dapat mendiagnosis keadaan mereka lebih awal," katanya.

Dalam pada itu, bagi diagnosis dan rawatan untuk kanser terbabit, kedua-dua pakar daripada SMCV berkenaan menekankan bahawa ujian saringan yang spesifik adalah cara yang baik untuk mengesan kanser yang jarang berlaku itu.

APABILA angiosarcoma itu semakin membesar dan menghimpit jantung.
APABILA angiosarcoma itu semakin membesar dan menghimpit jantung.

Menurut Dr Foo lagi, cardiac angiosarcoma bukan penyakit keturunan, tetapi orang ramai dinasihatkan untuk menjalani ujian saringan kesihatan secara berkala kerana rawatan yang berlainan diberikan bagi setiap pesakit.

Katanya, mencari rawatan yang terbaik adalah sukar kerana setiap pelan rawatan ialah berdasarkan pelbagai faktor seperti umur pesakit, komorboditi lain dan saiz serta lokasi tumor terbabit.

"Jika tumor itu boleh dibuang maka pembedahan jantung terbuka diperlukan untuk membuang tumor secara keseluruhan bagi menghalang tumor berkenaan daripada berulang kembali.

"Selepas itu, rawatan diteruskan dengan kemoterapi dan radioterapi," katanya.

Sementara itu, satu lagi penyakit kardiovaskular yang jarang dijumpai dan orang ramai perlu tahu ialah 'Atrial Myxoma' iaitu ketumbuhan di jantung yang tumbuh secara perlahan.

Penyakit itu mempunyai simptom yang sama dengan Cardiac myxoma, tetapi kedua-dua jenis penyakit kardiovaskular berkenaan dapat dibezakan melalui ujian Echo dan imbasan CT (CT scan).

Kata Dr Foo, adalah penting untuk pesakit mendapatkan nasihat daripada doktor atau pakar yang diiktiraf selepas mereka mengalami simptom dan memerlukan rawatan segera.

"Ini kerana langkah yang kecil itu mampu memberikan impak yang besar kepada kesihatan anda secara keseluruhan," katanya .

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 7:01 AM