BERJUMPA doktor untuk perundingan rawatan bersesuaian.
BERJUMPA doktor untuk perundingan rawatan bersesuaian.
Nor 'Asyikin Mat Hayin

PESAKIT barah sering dianggap 'pendek umur' terutama mereka yang didiagnosis berada pada tahap kritikal.

Keadaan ini memberi tekanan kepada pesakit yang merasakan kehidupannya seperti sudah tiba di penghujung.

Namun, kemajuan perubatan hari ini dapat memberikan harapan kepada pesakit barah terutama barah paru-paru tanpa sebarang mutasi menerusi rawatan yang baharu iaitu imunoterapi.

Perunding Klinikal Onkologi dan Radioterapi, Dr Matin Mellor Abdullah berkata, rawatan imunoterapi membantu memanjangkan jangka hayat pesakit barah paru-paru peringkat akhir berbanding rawatan kimoterapi.

Menurutnya, satu kajian klinikal dilakukan untuk melihat perbandingan antara pesakit barah paru-paru tahap empat yang menerima rawatan kimoterapi dan imunoterapi.

"Hasil pemeriksaan mendapati, pesakit yang menjalani rawatan imunoterapi mempunyai kadar kelangsungan hidup selama lima tahun yang lebih tinggi iaitu 25 peratus.

RAWATAN imunoterapi membantu memanjangkan jangka hayat pesakit barah paru-paru peringkat akhir.
RAWATAN imunoterapi membantu memanjangkan jangka hayat pesakit barah paru-paru peringkat akhir.

"Manakala kadar kelangsungan hidup pesakit yang menjalani rawatan kimoterapi hanya lima peratus bagi tempoh sama, katanya.

Menurut Dr Matin Mellor, pertambahan jangka hayat pesakit menunjukkan rawatan imunoterapi berkesan merawat penyakit barah paru-paru tanpa sebarang mutasi.

Beliau berkata, imunoterapi ialah rawatan yang membantu sistem imun badan melawan sel barah.

"Dalam badan setiap individu terdapat sel imun yang mencukupi untuk membunuh sel barah.

"Tetapi, penyakit barah paru-paru akan menyebabkan sel imun dalam badan tidak dapat mengenali atau membezakan antara sel barah dengan sel normal.

"Oleh itu, rawatan imunoterapi membantu sel imun mengenali dan menyasarkan sel barah yang terdapat dalam badan pesakit sebelum membunuh sel berkenan, katanya.

Dr Matin Mellor berkata, rawatan imunoterapi boleh dilakukan secara beberapa peringkat.

Sekiranya pesakit mengidap barah paru-paru tahap tiga dan sel barah belum merebak ke bahagian dada, maka rawatan yang disarankan ialah kimoterapi serta radioterapi.

"Kebanyakan rawatan imunoterapi dilakukan terhadap pesakit barah paru-paru tahap empat tanpa sebarang mutasi. Rawatan ini boleh dilakukan menerusi dua cara iaitu menggunakan imunoterapi saja atau kombinasi imunoterapi dan kimoterapi.

BATUK berpanjangan antara gejala barah paru-paru.
BATUK berpanjangan antara gejala barah paru-paru.

"Bagi rawatan kombinasi ini, kimoterapi yang diberikan kepada pesakit ialah sebanyak empat hingga enam kali. Manakala imunoterapi diteruskan selama satu atau dua tahun, katanya.

Bagaimanapun, Dr Matin Mellor berkata, tahap kesihatan pesakit perlu dipantau terlebih dahulu sebelum meneruskan rawatan imunoterapi kerana pesakit mungkin menunjukkan kesan positif atau reaksi yang berbeza daripada rawatan berkenaan.

"Ketika rawatan, pesakit akan menjalani ujian imbasan untuk mengetahui sama ada penyakit barah ini terkawal atau tidak.

"Sekiranya terkawal, maka rawatan ini (imunoterapi) boleh dilanjutkan selama satu atau dua tahun, katanya.

Dr Matin Mellor berkata, rawatan imunoterapi sesuai dilakukan kepada semua peringkat usia pesakit barah paru-paru tanpa sebarang mutasi.

Dalam pada itu, Dr Matin Mellor berkata, di peringkat global, barah paru-paru antara penyakit barah paling merbahaya kerana menyebabkan kematian dua juta orang di seluruh dunia pada 2018.

"Berdasarkan data Registeri Kanser Kebangsaan mendapati hampir 90 peratus kes paru-paru didiagnosis pada tahap ketiga dan keempat.

"Pada tahap ini, kebanyakan rawatan paliatif dan kemungkinan peluang pesakit untuk sembuh sangat tipis, katanya.

Merokok menyebabkan 30 peratus kematian akibat barah, 80 peratus kematian akibat barah paru-paru dan menyebabkan 20,000 kematian setahun di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Jun 2020 @ 7:00 AM