KASUT yang sesuai dapat mengelakkan kaki berpeluh.
KASUT yang sesuai dapat mengelakkan kaki berpeluh.
Muhamaad Razis Ismail


CUACA panas yang melanda negara sejak kebelakangan ini membuatkan badan berasa tidak selesa.

Biarpun berada dalam rumah dengan penggunaan kipas pada kelajuan maksimum, bahang kepanasan tetap dirasai apabila suhu mencecah lebih 35 darjah Celsius. Malah, di sesetengah tempat, pernah merekodkan sehingga 40 darjah Celsius.

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) memaklumkan bahawa negara mengalami cuaca panas berpanjangan sehingga Ogos depan susulan musim peralihan Monsun Timur Laut.

Justeru itu, anda dinasihatkan meminimumkan aktiviti di luar untuk mengelakkan kesan terhadap kesihatan termasuk strok haba yang boleh membawa maut.

KRIM pelindung matahari dapat melindungi kulit daripada terdedah dengan matahari.
KRIM pelindung matahari dapat melindungi kulit daripada terdedah dengan matahari.

Bagaimanapun, apabila perlu berada di luar, anda dinasihatkan memilih pakaian bersesuaian yang dapat memberi keselesaan.

Wanita Metro kali ini ingin berkongsi beberapa panduan pemilihan pakaian bersesuaian dan pada masa sama masih boleh bergaya ketika cuaca panas.

1. Pilih fabrik warna terang

Fabrik berwarna terang atau cerah tidak menyerap matahari yang banyak berbanding warna gelap. Kajian yang dijalankan di Jepun mendapati fabrik terang yang didedahkan dengan cuaca panas selama lima minit merekodkan suhu sekitar 30 darjah Celsius berbanding warna gelap yang mencatatkan suhu melebihi 50 darjah Celsius. Sekiranya tidak menggemari warna putih, anda boleh menggunakan pilihan warna terang lain seperti kuning dan kelabu.

2. Pilih fabrik yang sesuai

Pilih pakaian yang diperbuat daripada kapas, linen atau jersi. Kain ini memudahkan pengaliran udara dan membantu badan anda mengeluarkan haba, sekali gus dapat mengurangkan peluh. Jadi, jika anda ingin kekal sejuk dan selesa pada hari yang panas, pakai baju kemeja-T kapas, linen atau jersi. Elakkan pakaian yang diperbuat daripada poliester, nilon atau akrilik kerana ia memerangkap haba dan menyebabkan anda lebih berpeluh. Pakaian yang menggunakan fabrik rayon dan bulu juga tidak sesuai kerana ia mengekalkan haba. Jika tidak pasti jenis fabrik pakaian, anda boleh menyemak label pada pakaian.

3. Pakai pakaian yang longgar

Pakaian yang ketat boleh memerangkap haba dan membuatkan anda berasa lebih panas dan tidak selesa. Sebaliknya, pakaian longgar membenarkan udara mengalir dengan bebas di sekeliling badan serta membantu anda kekal sejuk. Pakaian longgar juga boleh membantu mengelakkan ruam dan kerengsaan.

Apabila cuaca panas, badan yang dibasahi peluh akan melekat pada pakaian. Pakaian yang ketat menyebabkan anda tidak selesa. Oleh itu, pilih pakaian lebih longgar adalah lebih sesuai untuk mengelakkan masalah itu kerana ia membolehkan kulit anda bernafas.

PENGGUNAAN payung dapat melindungi kulit daripada terkena sinaran matahari secara terus.
PENGGUNAAN payung dapat melindungi kulit daripada terkena sinaran matahari secara terus.

4. Pakai topi atau payung ketika keluar rumah

Topi atau payung boleh dipakai bagi memberikan perlindungan kepada wajah dan kepala. Ia membantu anda untuk melindungi kulit daripada terkena sinaran matahari secara terus. Penulis juga menyimpan topi dalam kenderaan yang boleh digunakan pada bila-bila masa apabila bertugas di luar. Anda juga dinasihatkan menggunakan krim pelindung matahari sebagai perlindungan tambahan untuk mengurangkan pelbagai masalah kulit seperti kulit terbakar, jeragat dan penuaan atau lebih serius kanser kulit.

5. Pakai cermin mata hitam untuk melindungi mata anda daripada matahari

Cermin mata hitam bukan sahaja untuk bergaya, malah ia juga dapat melindungi mata daripada sinaran matahari yang berbahaya, sekali gus memberi keselesaan ketika berada di luar. Pastikan cermin mata hitam anda mempunyai perlindungan UV untuk mendapat perlindungan yang diperlukan daripada matahari.

6. Pakai kasut yang selesa dan terbuka

Kasut yang bersesuaian dapat mengelakkan kaki berpeluh ketika cuaca panas. Anda dinasihatkan menggunakan kasut yang mempunyai tapak diperbuat daripada kanvas atau kapas. Elakkan daripada kasut kulit dan getah kerana ia menyebabkan kaki berasa lebih panas dan berpeluh.

7. Pilih barang kemas minimum

Apabila berada dalam keadaan cuaca panas, logam menjadi berat dan melekit dengan cepat. Oleh itu, anda dinasihat menggunakan barang kemas yang minimum.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 6:03 AM