FABRIK digunakan lebih tebal, selesa dan tidak jarang.
FABRIK digunakan lebih tebal, selesa dan tidak jarang.
Yusliza Yakimir Abd Talib

DIINSPIRASIKAN dengan jiwa yang matang, jenama ini lahir atas kepercayaan wanita moden dan berkeyakinan mampu menggayakan pelbagai gaya di samping menyerlah sisi feminin mereka.

Malah, melihat cabaran dan aspirasi wanita yang mementingkan gaya di samping menjaga aurat mereka, jenama Khodijah tampil untuk memberi lebih pilihan.

Menurut pengasasnya, Farzli Fahmi, koleksi pertama selendang k.Shawl dihasilkan dalam palet warna yang dipilih dan boleh dikenakan dengan pelbagai jenis warna kulit dan menambah gaya anggun pada pakaian.

Katanya, fabrik sifon dipilih kerana lebih ringan dan fleksibel untuk memberi pemakai bayangan yang sempurna dalam pergerakan seharian.

Koleksi kedua iaitu k.Chic, direka untuk wanita yang sentiasa sibuk. Menariknya, ia dibuat daripada fabrik sifon Royce yang bertekstur, hanya perlu diseterika sedikit dan boleh dipakai pada bila-bila masa, membolehkan si manis tampil bergaya walaupun sibuk dengan aktiviti harian mereka.

“Idea untuk menghasilkan tudung ini tercetus apabila melihat ramai wanita yang memakai tudung yang cantik tetapi agak jarang bagi seorang Muslimah. Jadi, kami mahu penuhkan keperluan pasaran yang mencari tudung tidak

jarang tetapi selesa untuk dipakai.

Bagi koleksi k.Shawl, sebanyak sembilan warna terkini disediakan yang sesuai digayakan dengan pelbagai jenis warna baju. Ia direka dengan panjang dua meter bagi membolehkan pemakai membuat gaya tersendiri.

Manakala k.Chic dengan panjang 175 sentimeter diinspirasikan untuk golongan muda remaja yang mahukan gaya versatil dan pantas bersiap.

Koleksi k.Shawl menggunakan material sifon Flamingo yang lebih tebal berbanding sifon biasa bagi memenuhi kehendak pelanggan yang mencari tudung selesa, terletak dengan cantik apabila dipakai dan paling penting tidak jarang bagi menjaga aurat.

Ia didatangkan khas dengan kualiti premium untuk wanita yang berkerjaya dan mementingkan penampilan mereka.

“Ciri penting dalam rekaan kami ialah versatil dan selesa, malah sesuai digayakan ke tempat kerja, kuliah, kenduri kendara atau majlis. Kami juga mengetengahkan konsep ‘less is more’ yang mana pemakai boleh gayakan satu tudung untuk pelbagai acara,” katanya.

Ditawarkan pada harga yang berpatutan dan mampu milik, koleksi k.Shawl berharga RM45 manakala koleksi k.Chic pada harga RM25 sehelai.

FABRIK tidak jarang bagi menjaga aurat
FABRIK tidak jarang bagi menjaga aurat

TIP PILIH SELENDANG

1. Jenis kain

Pastikan fabrik selendang yang dipilih memberikan keselesaan seperti kain kapas, sifon atau satin. Bagi yang gemarkan gaya ringkas dan mudah, selendang kain kapas sesuai untuk anda.

2. Corak

Pilih tudung yang mempunyai corak yang tidak terlalu banyak, besar dan susunannya tidak berselerak.Corak besar dan banyak akan menyebabkan anda tampak sarat. Untuk kegunaan harian, pilih corak yang ringkas tetapi cantik.

3. Warna

Sesekali boleh juga pilih warna kusam. Elakkan memakai warna tudung yang kusam atau gelap kerana ia akan menjadikan anda kelihatan tua. Pilih warna yang ceria seperti merah jambu, ungu atau biru. Paling selamat adalah rona tanah yang mudah dipadankan dengan pelbagai warna baju.

4. Saiz

Bagi yang inginkan gaya Muslimah, pastikan ukuran tudung memenuhi kehendak syariat. Ada pelbagai saiz dan ukuran selendang, jadi sebelum membeli, pastikan saiz selendang kerana ia juga memudahkan anda untuk melakukan pelbagai gaya.

5. Busana

Setiap selendang yang dipilih harus mengikut jenis pakaian yang akan digayakan. Jika anda memakai baju bermotif padankan dengan selendang polos yang berlainan rona. Padankan pakaian polos dengan selendang bercorak yang mempunyai rona seakan-akan baju supaya sepadan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 5:10 AM