PRODUK berasaskan bahan semula jadi yang selamat untuk digunakan ibu hamil.
PRODUK berasaskan bahan semula jadi yang selamat untuk digunakan ibu hamil.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Setiap perjalanan kehamilan yang dilalui oleh ibu mengandung adalah berbeza.

Ada yang mengalami banyak perubahan fizikal, emosi dan pelbagai cabaran kesihatan lain termasuk alahan, keletihan, tekanan darah tinggi, diabetes dan sebagainya.

Ibu hamil juga memahami bahawa bayi dalam kandungan turut terdedah dengan apa yang diambil oleh mereka, termasuklah pemakanan dan bahan kimia dalam produk yang memudaratkan di sekeliling.

Mereka juga perlu menyedari bahawa bahan toksik tertentu yang terdapat dalam produk penjagaan diri sebenarnya boleh diserap ke dalam saluran darah menerusi kulit dan boleh memberi kesan negatif kepada bayi.

Bahan pengawet seperti paraben dan bahan kimia wangian seperti ftalat (phthalate) boleh menyebabkan kecacatan kelahiran manakala triklosan boleh menjejaskan sistem imun dan tumbesaran bayi.

Golongan ibu dalam pasukan Mama's Choice sendiri mengalami kebimbangan yang sama ketika mengandung dan itu mendorong mereka untuk membangunkan produk selamat untuk menangani kebimbangan ibu hamil lain.

Bagi memberi ketenangan fikiran kepada ibu hamil, Mama's Choice tampil menawarkan pelbagai pilihan produk penjagaan diri yang diperbuat daripada bahan semula jadi.

Produk berkenaan disahkan halal untuk keperluan pranatal (ketika hamil) dan postpartum (selepas bersalin) yang selamat untuk ibu dan bayi mereka.

Ia dibangunkan dan menjalani ujian makmal di Singapura dan dirumus untuk bebas daripada bahan kimia keras serta memudaratkan seperti paraben, triklosan, ftalat, alkohol, fluorida selain natrium lauril sulfat (SLS).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Duri Granziol berkata, produk terbabit dihasilkan selepas menjalankan penyelidikan pasaran yang luas untuk mengetahui bagaimana mereka boleh menangani keperluan ibu hamil.

Katanya, ia untuk menambah keceriaan pengalaman menjadi ibu dan diilhamkan untuk membantu mereka merasa hebat tanpa menggunakan sebarang bahan yang boleh membawa mudarat kepada bayi.

"Produk terbabit mendapat sambutan yang memberangsangkan di Singapura, Indonesia dan Thailand.

"Lebih 500,000 unit dijual sepanjang tahun yang lepas dengan krim penghilang kesan regangan kulit menduduki tempat nombor satu di semua pasaran," katanya.

Antara produk yang boleh dimiliki adalah krim intensif payudara, minyak urut, ubat gigi tanpa fluorida, ubat kumur mulut, pencuci muka dan pelembap.

Produk semula jadi sepenuhnya itu selamat untuk digunakan ketika mengandung dan menyusukan bayi kerana tidak mengandungi alkohol, tidak menimbulkan alahan dan sudah diuji secara dermatologi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 September 2021 @ 6:39 AM