IBU yang mengandung perlu menjalani gaya hidup dan persekitaran kerja yang baik.
IBU yang mengandung perlu menjalani gaya hidup dan persekitaran kerja yang baik.
Hafiz Ithnin

WANITA bekerjaya dalam bidang yang didominasi lelaki dahulunya seperti industri minyak dan gas atau kejuruteraan bukan sesuatu yang asing.

Malah, ia menjadi suatu kebanggaan menunjukkan golongan ini mampu menerokai pelbagai bidang pekerjaan tanpa mempunyai persempadanan jantina.

Namun, bagi wanita yang hamil, mereka seharusnya peka kepada tahap kesihatan bayi sekiranya bekerja dalam industri yang mempunyai kadar radiasi yang tinggi.

Menurut Pakar Sakit Puan Metro IVF, Dr R Ramasamy, perkara itu lebih membimbangkan sekiranya wanita berkenaan mengandungkan anak lelaki kerana kesan radiasi juga mampu memberi kesan kepada tahap kesuburan anak lelaki yang bakal dilahirkan.

Katanya, kajian terkini dari Switzerland, menunjukkan hanya 38 peratus lelaki Switzerland mempunyai parameter air mani seperti yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Lelaki yang dahulu ibunya terdedah kepada persekitaran atau produk boleh menggangu sistem endokrin ketika hamil, mempunyai impak dan kebarangkalian tinggi hingga menyebabkan pengeluaran sperma berada di bawah piawaian rujukan minima WHO.

PERSEKITARAN tempat kerja ibu mengandung perlu diambil berat dalam menjaga kesihatan bayi.
PERSEKITARAN tempat kerja ibu mengandung perlu diambil berat dalam menjaga kesihatan bayi.

"Malaysia juga mencatatkan penurunan dari segi kualiti sperma dari 2010 hingga 2019 apabila 60 peratus ujian air mani menunjukkan sperma tidak normal seperti dilaporkan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara 2020 (LPPKN, 2020)," katanya.

Jelasnya, terdapat banyak faktor yang menjadi punca lelaki tidak subur dan salah satunya adalah terdedah kepada persekitaran seperti radiasi, bahan kimia dan suhu panas.

"Justeru, wajar untuk mengetahui langkah pencegahan bagi mengurangkan pendedahan kepada bahan yang mengganggu sistem endokrin.

"Sebagai contoh, bahan penyumbang seperti bisfenol A (BPA) dan phthalate yang selalu digunakan sebagai bahan asas dalam pembuatan plastik seperti botol air, botol susu, barangan yang dibungkus dalam bekas plastik dan sesetengah pembuatan kuali yang tidak melekat," katanya.

Pakar itu berkata, selain itu, bahan seperti penyembur pepijat yang menggunakan racun perosak (pesticides) dalam kumpulan risiko tinggi dan persekitaran radiasi.

"Umpamanya juruteknik radiologi dan pekerja tenaga nuklear yang boleh memberi gangguan kepada sistem endokrin memberikan kesan kesihatan pada organisma serta sistem reproduktif," katanya.

PERSEKITARAN tercemar bahaya untuk ibu mengandung dan bayi.
PERSEKITARAN tercemar bahaya untuk ibu mengandung dan bayi.

Dr Ramasamy berkata, terdapat beberapa kajian di Switzerland dilakukan kepada haiwan yang bunting dan terdedah kepada gangguan endokrin tertentu mempengaruhi perkembangan sistem pembiakan terutama pengeluaran sperma dan kualiti air mani selepas anak haiwan itu menjadi dewasa.

"Jika diterjemahkan kepada manusia, bermakna kesan gangguan endokrin akan dirasai dalam masa 10 atau 20 tahun akan datang.

"Sistem endokrin penting supaya tubuh mempunyai sistem badan yang teratur dan seimbang bertanggungjawab menghasilkan hormon oleh kelenjar tertentu dan masuk ke dalam darah untuk mengawal atur aktiviti badan," katanya.

Pakar itu berkata, terdapat banyak kelenjar sistem endokrin dan salah satunya adalah pituitari. Pitutitari mengeluarkan hormon perangsang folikel (FSH) dan hormon peluteinan (LH)

Katanya, hormon-hormon ini bekerja satu sama lain untuk mengawal selia fungsi ovarium wanita dan testis kepada lelaki.

"Hormon boleh dianggap sebagai alat penghantar atau penghubung untuk berkomunikasi dengan tisu di dalam badan untuk melakukan perubahan tubuh.

"Selain itu, fungsi hormon amat penting kerana ia diperlukan untuk proses yang berbeza seperti pertumbuhan, pembiakan dan kesejahteraan.Androgen adalah kumpulan hormon yang dihasilkan oleh badan memberikan ciri-ciri 'lelaki' kepada seseorang kaum Adam dan hormon yang dominan adalah testosteron," katanya.

BAYI lelaki boleh mengalami masalah kesuburan jika sejak kecil terdedah dengan pencemaran.
BAYI lelaki boleh mengalami masalah kesuburan jika sejak kecil terdedah dengan pencemaran.

Katanya, testosteron dihasilkan pada bahagian testis. Gangguan kelenjar pituituri yang rendah boleh menghalang pengeluaran gonadotrophins iaitu hormon yang diperlukan untuk memberi isyarat kepada testis bagi menghasilkan testosteron.

"Justeru, wajar dikatakan hormon androgen adalah sangat penting untuk fungsi seksual dan pembiakan lelaki. Hormon ini juga mempengaruhi perkembangan tulang, otot dan metabolisme.

"Bagaimanapun, sebilangan gejala ini mungkin tidak spesifik dan dapat meniru simptom penyakit dan kondisi lain," katanya.

Antara beberapa gejala kekurangan androgen termasuk:

- Mengurangkan keinginan seksual

- Kelesuan dan keletihan

- Kemurungan

- Ereksi

- Mengurangkan jumlah ejakulasi

- Mengurangkan jisim tulang, lantas meningkatkan risiko osteoporosis.

Pakar itu berkata, Ahli epidemiologi dari Institut de recherche en santé, environnement et travail (IRSET, Rennes, France), bekerjasama dengan pasukan UNIGE menganalisis kemungkinan kesan gangguan endokrin terhadap kualiti air mani lelaki yang ibu hamil dan bekerja pada peringkat awal kehamilan serta terdedah kepada persekitaran tidak sihat.

"Hasil kajian ini menunjukkan hubungan antara pendedahan pekerjaan ibu terhadap gangguan endokrin dan penurunan beberapa parameter air mani pada anak lelaki mereka setelah dewasa.

"Wanita yang merancang untuk hamil secara normal atau menerusi Persenyawaan In Vitro (IVF), pada peringkat awal kehamilan mereka perlu mengetahui mengenai bahaya terdedah kepada bahan kimia atau persekitaraan radiasi ini yang boleh mengubah kesuburan kepada bakal bayi.

"Seterusnya menjejaskan sistem reproduktif keturunan pada masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 7:00 AM