PASTIKAN menyemak kandungan dalam produk kosmetik.
PASTIKAN menyemak kandungan dalam produk kosmetik.
Yusliza Yakimir Abd Talib

SAAT disahkan hamil, banyak persoalan yang sering bermain di fikiran termasuk dari segi penjagaan diri yang sebelum ini menjadi rutin harian seperti bersolek setiap kali keluar rumah.

Apabila seorang wanita hamil, pasti timbul perasaan ragu untuk menggunakan alat solekan tetapi sebelum membuat sebarang kesimpulan, ketahui jika produk yang berkenan di hati selamat digunakan semasa kehamilan atau tidak. Jika anda mahu menggunakannya, produk mana yang harus anda pilih.

Banyak produk kecantikan seperti gincu, pewarna rambut, penggilap kuku dan celak mata boleh membahayakan bayi dalam kandungan, jadi sebaik-baiknya anda mengurangkan penggunaannya semasa kehamilan.

Bagaimanapun, jika ibu hamil tidak sanggup keluar rumah tanpa secalit solekan, anda harus menggunakan produk organik untuk memastikan keselamatan diri dan orang baru yang bakal lahir.

Semua wanita dicipta memiliki kecantikan tersendiri dan solekan tanpa ilmu tidak membuat anda kelihatan lebih baik sebaliknya kecantikan yang lahir dari dalam yang menjadikan diri anda hari ini.

Terdapat pelbagai jenis produk kosmetik untuk dipilih, tetapi ketika mengandung, anda tidak tahu produk mana yang tepat dan selamat untuk si manja yang semakin membesar di dalam rahim.

Bahan kimia bertoksik dalam sesetengah produk boleh memberi kesan yang signifikan semasa kehamilan. Ibu hamil perlu memastikan istilah seperti bebas BPA, bebas wangian, tiada DEA, tiada paraben dan tiada phthalates sebelum membeli apa-apa produk kosmetik semasa kehamilan.

PILIH pengilat kuku dengan bahan selamat untuk kandungan.
PILIH pengilat kuku dengan bahan selamat untuk kandungan.

CARA MEMILIH PRODUK KETIKA HAMIL

Sekiranya anda tidak boleh meninggalkan rutin solekan semasa mengandung, pastikan hanya membeli produk yang selamat untuk kesihatan bayi anda. Berikut adalah cara anda boleh memilih produk solek yang selamat semasa kehamilan:

1. Gincu

Ini antara yang wajib ada dalam beg, uncang atau almari mekap setiap wanita, tetapi jika ia termasuk sekali ke dalam mulut semasa makan atau minum, ia boleh membahayakan bayi.

Oleh itu, anda harus mengelakkan gincu yang mengandungi bahan toksik. Luangkan masa mempelajari nama-nama bahan yang perlu dielakkan supaya anda tidak membeli gincu yang mengandungi elemen berisiko seperti plumbum.

Wanita hamil boleh memakai gincu yang selamat terdiri daripada bahan semula jadi atau diperbuat daripada bahan organik selain memastikan pengesahan keselamatan. Ia tahan lama dan tidak memberi ancaman kepada kesihatan bayi anda.

2. Syampu

Secara amnya, kita jarang memberi perhatian dalam memilih syampu semasa hamil. Sesetengah syampu mengandungi natrium klorida, sulfat dan silikon yang boleh merosakkan rambut dan membahayakan bayi.

Syampu mesra kehamilan dengan mentega shea, minyak biji bunga matahari, pudina, limau dan minyak pati boleh digunakan bagi menyuburkan semula rambut. Produk rambut organik dan semula jadi adalah yang paling selamat untuk rambut.

3. Pembersih wajah

Jerawat adalah masalah biasa dalam kalangan wanita hamil disebabkan perubahan hormon. Oleh itu, anda harus menggunakan pencuci muka yang bagus untuk membersihkan wajah.

Bagaimanapun, elakkan pemilihan pembersih wajah yang mengandungi benzoil peroksida dan asid salisilik yang tidak disyorkan semasa kehamilan.

Pembersih wajah dengan ekstrak teh hijau, minyak kulit lemon dan timun antara pilihan baik sepanjang tempoh penting ini. Lebih baik jika ia diteruskan selepas bersalin.

4. Krim muka

Semasa hamil, anda memerlukan krim muka yang baik untuk memanjakan kulit namun, bahan kuat produk penjagaan kulit seperti retinoid dan asid salisilik harus dielakkan kerana ia boleh memasuki aliran darah setelah diserap oleh kulit.

Terma seperti hipoalergenik, bebas pewangi, organik dan sebagainya pada produk antara yang perlu diperhatikan bagi memastikan tiada bahan sintetik atau kimia yang digunakan.

TAMPIL MENARIK

Solekan mampu mengubah rupa, tapi anda boleh kelihatan sama hebat tanpa solekan. Tanpa calitan gincu merah terang, penyamar noda, maskara, pembayang mata dan pemerah pipi, siapa kata ibu hamil tidak boleh tampil menarik. Berikut amalan dan petua yang selamat untuk kulit ibu kelihatan segar tanpa solekan.

*Makan makanan yang sihat. Minum jus buah-buahan segar dan makan sayur-sayuran hijau dan wajah anda akan kelihatan segar dan muda.

*Ambil suplemen yang betul seperti vitamin C, E, biotin atau kolagen kerana ini membantu mengekalkan kelembapan kulit dan menjadikannya kelihatan hebat. Dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil sebarang suplemen ketika hamil.

*Minum banyak air untuk mengekalkan kulit menjadi lembut dan terhidrat. Air akan menyingkirkan toksin dan akan melembap dan menyegarkan kulit.

*Anda boleh memakai pelembap untuk meminimumkan pori dan mengurangkan garisan halus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 5:30 AM