BERI perhatian pemilihan warna bedak asas agar sesuai untuk tampil menarik dalam suasana lebaran.
BERI perhatian pemilihan warna bedak asas agar sesuai untuk tampil menarik dalam suasana lebaran.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

Diam tak diam, kita sudah menghampiri 10 Syawal namun kemeriahan Aidilfitri masih dirasai.

Meskipun lebaran kali ini terpaksa diraikan dalam prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan namun ia tidak menghalang umat Islam merayakannya dengan penuh kesyukuran.

Tiada aktiviti kunjung mengunjung bukan bermakna Aidilfitri disambut dalam suasana suram kerana masih ramai yang bergaya dan melaram bersama seisi keluarga.

Tidak kurang juga ada yang tampil dengan solekan penuh menawan semata-mata untuk merakam gambar kenangan buat tatapan di kemudian hari.

Bagi yang ingin mencuba kelainan dalam penampilan, jurusolek berpengalaman, Yann Ahmad berkongsi langkah demi langkah solekan mudah untuk dicuba.

Solekan ringkas ini bukan sahaja sesuai untuk gadis remaja malah wanita muda yang tidak mempunyai banyak masa untuk berhias lama.

Menurut Yann, sebelum solekan, pastikan wajah dibersihkan dengan sebersihnya.

LANGKAH demi langkah dan keterangan gambar:
LANGKAH demi langkah dan keterangan gambar:

Katanya, pemilihan warna bedak asas juga perlu diberi perhatian kerana jika silap, ia akan menjejaskan keseluruhan solekan.

"Untuk wanita yang berkulit cerah, bedak asas rona medium paling sesuai digunakan dalam solekan.

"Bagi mencantikkan lagi solekan, ia perlu digandingkan dengan bedak jenis debu (loose powder)," katanya.

Yann berkata, ramai wanita memberi tumpuan kepada solekan di bahagian mata kerana ia dianggap tumpuan utama pada solekan wajah.

Justeru, kata Yann, pemilihan warna untuk solekan di bahagian mata perlu lebih berhati-hati kerana ia bukan sahaja boleh menyebabkan solekan kurang menyerlah malah lebih teruk apabila kelihatan pelik.

"Pilih warna pembayang mata rona pastel atau kuning air jika mahu tampil sederhana dan elakkan rona terang atau garang andai menghadiri majlis di sebelah siang.

SOLEKAN yang menyerlahkan lagi penampilan.
SOLEKAN yang menyerlahkan lagi penampilan.

"Nampak kurang penting tetapi percayalah, pemilihan warna pembayang mata dan solekan yang sesuai mampu menaikkan lagi seri serta menyerlahkan penampilan seseorang wanita," katanya.

Tambah Yann lagi, bibir juga perlu dijaga dan untuk mengekalkan kelembapannya, jangan lupa oleskan pelembap bibir.

"Apapun, sebelum mengakhiri solekan, elok juga memakai semburan 'face mist' kerana ia dikatakan mampu membantu mengekalkan solekan untuk tempoh yang lebih lama," katanya.

Bagi yang ingin mencuba solekan mudah yang dikongsikan Yann ini, berikut adalah langkah demi langkah sebagai panduan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 6:59 AM