SITI SAKINAH melihat penyertaan dalam meneraju NGO antarabangsa boleh menjadi contoh kemampuan wanita dalam mengetuai misi penting di peringkat antarabangsa.
SITI SAKINAH melihat penyertaan dalam meneraju NGO antarabangsa boleh menjadi contoh kemampuan wanita dalam mengetuai misi penting di peringkat antarabangsa.
Nurul Husna Mahmud


PERANAN penting wanita selalu dilihat dalam urus tadbir keluarga selain dalam isu berkait dengan kewanitaan dan masyarakat.

Namun kebelakangan ini kredibiliti dan potensi dimiliki wanita dalam lain-lain bidang tidak boleh dinafikan apatah lagi semakin ramai menyerlah sehinggakan ada menjadi ikon dalam bidang profesional tertentu.

Lebih membanggakan 'kelibat' beberapa 'wanita besi' ini bukan sahaja mendapat pengiktirafan dalam negara malah dari luar. Antara paling menyerlah ialah Saintis Astrofizik Malaysia, Datuk Seri Dr Mazlan Othman yang kini mengetuai International Sciences Council Asia Pacific dalam 'melobi' kepentingan keterbukaan dalam perkongsian data sains terutama ketika dunia menghadapi pandemik Covid-19.

Menyentuh sumbangan beliau terhadap negara sebelum ini, pastinya mengenang usaha gigih Dr Mazlan dalam kerja-kerja yang membawa kepada pelancaran angkasawan Malaysia yang pertama, Sheikh Muszaphar Shukor dalam Program Angkasa iaitu satu misi kesedaran kepentingan Sains Fizik dan Angkasa Lepas dalam pendidikan pada tahun 2002.

Kata beliau ketika dihubungi baru-baru ini, kredibiliti dimiliki wanita Malaysia dalam bidang profesional terutama dalam sains ini tidak disanggah lagi apabila beberapa anak kelahiran tempatan cukup cemerlang di luar negara.

"Bagi sumbangan wanita tempatan dalam beberapa lapangan bidang sains dan teknologi tidak menggusarkan saya kerana kita melahiran ramai golongan profesional sehingga mendapat perhatian pihak luar.

Antara paling menyerlah ialah Dr Adlyka Annuar dari Universiti Kebangsaan Malaysia apabila menjadi rakyat Malaysia pertama menemukan lohong hitam supermasif ketika beliau menuntut di peringkat kedoktoran di Durham University England pada 2017.

"Saya lihat dalam bidang lain juga ada kepakaran yang menjadikan adanya wakil wanita boleh dijadikan rujukan dan boleh dikatakan mempunyai potensi setara dengan lelaki," katanya.

TOKOH Islam menyatakan sokongan kepada pertubuhan Syria Care meskipun diterajui wanita.
TOKOH Islam menyatakan sokongan kepada pertubuhan Syria Care meskipun diterajui wanita.

Cumanya pandangan peribadi beliau ialah terdapat beberapa aspek perlu diberi penambahbaikan apabila membincangkan isu kesamarataan dalam pengiktirafan kepakaran golongan wanita di peringkat tertinggi.

"Saya lihat sudah ada banyak perubahan terhadap penerimaan wanita apabila bercakap mengenai profesionalisme dan kepakaran dalam pelbagai bidang.

"Tetapi yang membuatkan saya sedikit tertanya adalah 'keciciran' penglibatan wanita profesionalisme dalam membuat keputusan penting berkait dengan kepentingan negara.

"Apabila saya berbincang dengan rakan wanita profesional lain, kami sering melihat sedikit ketidakseimbangan dalam keputusan pihak berkepentingan ini dengan tidak menyertakan mana-mana wakil profesional wanita.

"Sedangkan di peringkat dunia seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nation) ketika saya berkhidmat, suara wanita cukup penting kerana mewakili populasi cukup besar termasuklah di Malaysia sendiri," katanya yang berharap wanita profesional berpeluang mewarnai jawatan penting dalam pembangunan negara seperti Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021.

Bukti pembabitan wanita tempatan bukan hanya di dalam negara kerana boleh dilihat menerusi usaha Pengerusi Syria Care, Ustazah Siti Sakinah Meor Omar Baki, apabila meneraju pertubuhan misi antarabangsa membabitkan kebajikan jutaan pelarian Syria.

"Penerimaan baik peringkat nasional dan antarabangsa mengenai kehadiran saya menerajui satu pertubuhan kemanusiaan meskipun dikelilingi lelaki.

"Pertubuhan ini selalu meletakkan saya pada posisi bekerja dengan badan bukan berkepentingan dari Turki dan Syria. Mereka memandang tinggi peranan saya selain mendengar pandangan dan teguran biarpun saya wanita dan bukan berbangsa Arab," katanya.

Lebih bermakna apabila tokoh ulama dan ilmuwan dari Timur Tengah mengiktiraf pembabitan beliau selaku wanita meneraju misi kemanusiaan di Wilayah Teluk itu.

"Tokoh ulama seperti Yusuf al-Qaradawi sendiri ketika saya dan pasukan Syria Care sendiri menyatakan teruja bertemu dan mahu penyertaan lebih ramai wanita dalam membantu kerja kemanusiaan supaya seimbang.

PENYERTAAN aktivis wanita boleh menyimbangkan keperluan sokongan terutama pelarian perang yang sebahagian besarnya golongan wanita dan kanak-kanak.
PENYERTAAN aktivis wanita boleh menyimbangkan keperluan sokongan terutama pelarian perang yang sebahagian besarnya golongan wanita dan kanak-kanak.

"Selain beliau satu lagi tokoh Tafsir tersohor, Sheikh Mohamad Ali al-Sabuni, ketika ditemui baru-baru ini bersama keluarga saya cukup teruja dengan pertemuan bersama pertubuhan kerana diketuai seorang wanita," katanya yang turut menjelaskan pembabitan wanita itu dapat memberi sokongan kepada golongan wanita paling terkesan dengan peperangan apabila turut kehilangan suami, bapa dan saudara lelaki mereka.

Sementara untuk terus memperkasakan hak wanita tempatan pula supaya terus menikmati ruang bersuara, keselamatan dan kesamarataan dalam aspek penting kehidupan, Pengerusi Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Sumitra Visvanathan, menyuarakan supaya kerajaan mempertimbangkan untuk meluluskan dua akta iaitu Akta Gangguan Seksual dan Akta Kesamarataan Gender.

"Saya masih ingat ibu saya sendiri sering mengingatkan saya dan kakak supaya pastikan kami bersedia dengan tiga perkara penting iaitu memiliki pekerjaan atau pendapatan sendiri, beli rumah sendiri dan apabila suami sudah mula 'naik tangan' tinggalkan dia kerana tidak mahu terus menjadi mangsa.

"Apabila saya pulang kembali ke Malaysia pada 2014 selepas berpuluh tahun memperjuangkan hak kemanusiaan atau pelarian dan lihat isu keganasan rumah tangga sangat serius malah ada rekod kematian pun berlaku, saya terpanggil untuk beri kesedaran itu.

"Pada saya kesedaran membabitkan semua pihak bukan sekadar mangsa sahaja perlu bertindak. Jiran, kawan dan keluarga antara orang terdekat mangsa perlu tahu apa mereka lakukan sebelum pergi ke perkara lain membabitkan kesamarataan gender," katanya.

Beliau beranggapan 'hadiah terbaik' buat pertubuhannya atau wanita di Malaysia sempena tahun ini ialah dua akta berkenaan diluluskan Parlimen supaya usaha menlindungi hak wanita tempatan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 6:44 AM