BERGURU di dalam industri fesyen membantu meningkatkan kreativiti.
BERGURU di dalam industri fesyen membantu meningkatkan kreativiti.
Hafiz Ithnin


MESKIPUN dunia fesyen turut terkesan dengan pandemik Covid-19, namun tidak dinafikan terdapat individu yang mula meneropong bidang ini untuk dijadikan punca pendapatan sampingan atau pun tetap.

Ini kerana setiap hari manusia pasti memakai pakaian tetapi sejauh mana pakaian itu mampu terjual dalam keadaan mencabar ini ia satu tanda tanya.

Pensyarah Kanan, Jabatan Fesyen Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Shah Alam, Faizal Hamid berkata, sejak kebelakangan ini, ramai yang bertanyakan pandangannya, sejauh mana keperluan dan kepentingan pendidikan formal iaitu asas seni reka fesyen bagi mereka yang punyai aspirasi untuk menjadi seorang pereka fesyen.

"Jawapan saya sebenarnya mudah, terpulang kepada sejauh mana integriti kita dalam merealisasikan impian untuk menjadi pereka yang profesional dan disegani.

KUASA membeli lebih tinggi sekiranya pereka fesyen bijak mencari identiti unik kepada pembeli.
KUASA membeli lebih tinggi sekiranya pereka fesyen bijak mencari identiti unik kepada pembeli.

"Perlu diingat menjadi 'pereka popular' atau 'pereka disegani' adalah dua perkara yang berbeza. Untuk menjadi pereka fesyen yang sebenar, walau sebesar mana pun bakat yang kita ada, ia perlu diasah, dibimbing dan menjalani pelbagai proses iaitu sama ada melalui pendidikan formal ataupun bersandarkan pengalaman dalam industri," katanya.

Jelasnya, pereka yang menakjubkan seperti Alexander McQueen, John Galliano dan Hussien Chalayan semuanya mempunyai pendidikan formal dalam Seni Reka fesyen.

"Mereka ini tergolong dalam kategori pereka yang dianugerahkan mungkin satu dalam sejuta dan tidak akan ada replikanya.

"Cuba kita tanya diri kita kembali, adakah kita mahu menjadi antara ribuan replika pereka yang ada atau pun kita mahu menyerlahkan ekspresi individu tersendiri dalam karya yang mewakili generasi serta menjadi legasi yang boleh dibanggakan?," katanya.

Faizal berkata, secara peribadi, pengalaman belajar di universiti adalah terlalu berharga. Pendidikan menjadi tunjang utama dalam menyediakan pelajar dengan kefahaman berkenaan prinsip dan asas seni rekaan.

"Arah tuju kerjaya pereka, sebahagian besar bertitik tolak daripada kualiti program pendidikan, pensyarah atau mentor yang memberi bimbingan, motivasi serta menjadi inspirasi ketika pelajar berhempas pulas sepanjang pembelajaran mereka," katanya.

(KIRI) Faizal mengajar lebih 25 tahun dalam industri fesyen.
(KIRI) Faizal mengajar lebih 25 tahun dalam industri fesyen.

Katanya, pengalaman menimba ilmu hingga ke peringkat ijazah sarjana di Amerika Syarikat memberikan ruang mencari diri dan mengasah bakat untuk menjadi yang terbaik dalam profesion.

"Pendidikan juga memberi saya keyakinan dan fokus dalam kehidupan serta kebolehan untuk berfikir seterusnya mentafsir secara kritikal berkenaan karya saya dan juga orang lain.

"Ia turut mengajar saya untuk meluahkan ekspresi diri dan interpretasi seni untuk masyarakat. Paling penting, proses pendidikan memberi kita kekuatan untuk menghadapi dan mencari jalan penyelesaian bagi apa juga masalah," katanya.

Jelasnya, kegigihan untuk menimba ilmu memberi semangat untuk terus berusaha melangkaui imaginasi untuk merealisasikan impian.

"Sama ada kita akui atau tidak, pendidikan dan ilmu mendefinisikan 'suara' kehebatan sesuatu generasi. Tugas utama pendidik adalah untuk membantu pelajar membuat anjakan paradigma dan transformasi diri daripada yang biasa menjadi luar biasa.

"Pendidik juga bertanggungjawab untuk membimbing mereka mencari 'roh' dalam karya dan mengeluarkan 'spectacular' dari dalam diri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 6:11 AM