AHMAD Syahir turut hargai warisan fesyen tradisional untuk diadun bersama rekaan.
AHMAD Syahir turut hargai warisan fesyen tradisional untuk diadun bersama rekaan.
Hafiz Ithnin


BAGI pereka fesyen berusia 30 tahun ini minat, bakat, kesungguhan dan strategi adalah kunci utama dalam menempatkan diri dalam industri itu.

Meskipun tidak mempunyai latar belakang pendidikan formal fesyen, Ahmad Syahir Hamdan bersama rakan niaganya yang mengangkat tema busana gaya jalanan dalam sentuhan mereka sejak 2014, kini mula dikenali peminat tempatan.

Malah baru-baru ini, pemegang sarjana dalam bidang sains sukan itu dinobatkan sebagai pemenang Koleksi Terbaik Usahawan Pereka MARA 2020/2021.

Penulis yang berkesempatan menyaksikan lima busana atas pentas sentuhan Ahmad Syahir di bawah label, Neonate ternyata terpukau dengan keunikan pereka fesyen itu.

Apatah lagi, lima busana itu turut mengangkat tema pakaian seragam barisan hadapan negara antaranya kakitangan perubatan dan penghantar makanan yang bersama-sama memerangi penularan Covid-19.

Antara yang menarik perhatian adalah konsep kelengkapan perlindungan diri (PPE) yang diolah menjadi sebuah jumpsut yang begitu santai.

Malah, penulis melihat koleksi busana itu untuk musim 'fall/ winter' 2020/2021 adalah strategi pereka muda itu untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Ahmad Syahir berkata, sebagai pereka fesyen dia perlu bijak bermain dengan isu semasa dan mengolahnya menjadi sebuah koleksi busana yang berprestij.

GAYA santai dan bersahaja menjadi pilihan dalam karya.
GAYA santai dan bersahaja menjadi pilihan dalam karya.

BERSAMA rakan niaga, Karl Syafek.
BERSAMA rakan niaga, Karl Syafek.

"Jika kita lihat sekali lalu, mungkin tidak perasan mengenai tema itu, tetapi apabila diperhalusi, contohnya 'jumpsuit denim oversize' rona biru adalah diilhamkan daripada PPE," katanya.

Katanya, walaupun bermain tema gaya jalanan, sebenarnya Neonate amat mengangkat sentuhan tradisional untuk diadun bersama gaya itu yang biasanya tampak moden.

"Saya amat menghargai warisan fesyen terdahulu yang ditinggalkan pereka fesyen sebelum ini terutama bertemakan klasik.

"Walaupun kita membawa tema gaya jalanan, ia bukan satu alasan untuk melupakan karya agung yang menjadi identiti pelbagai bangsa di negara ini," katanya.

Tambahnya, sentuhan klasik mempunyai keunikan tersendiri dari segi teknikal pembuatan sebuah busana dan visual yang mempunyai cerita tersendiri.

"Saya sendiri menerapkan teknikal pembuatan dalam barisan koleksi yang dihasilkan label kerana ia mampu memberi keselesaan seperti pakaian yang mempunyai pesak dan tenunan.

"Dari segi visual busana klasik pula, bukan satu halangan untuk pereka fesyen gaya jalan menggabungkannya kerana kita boleh mengambil beberapa ciri-ciri yang ada untuk dikembangkan dalam nada yang sesuai dengan tema asal label," katanya.

Dari kaca mata Ahmad Syahir, gaya jalanan tempatan sebenarnya boleh diangkat ke peringkat antarabangsa, tetapi mempunyai kekangan platform dan material.

DINOBATKAN sebagai pemenang Koleksi Terbaik Usahawan Pereka MARA 2020/2021.
DINOBATKAN sebagai pemenang Koleksi Terbaik Usahawan Pereka MARA 2020/2021.

Katanya, ketika ini banyak individu atau label tempatan yang berbakat menghasilkan gaya jalanan, tetapi karya mereka sukar untuk diangkat dan dikenali kerana tidak mempunyai label yang dikenali.

"Ramai antara usahawan fesyen gaya jalanan mempunyai sentuhan fesyen menarik, tetapi nama tidak begitu dikenali di peringkat lebih tinggi setara dengan pereka dalam segmen fesyen yang lain.

"Selain itu, tidak mempunyai latar pendidikan formal dalam fesyen bukan bermaksud karya itu tidak menarik memandangkan fesyen adalah penilaian yang subjektif," katanya.

Tambahnya, mencari rangkaian dalam perniagaan adalah sesuatu perkara penting untuk menempatkan diri dalam industri fesyen.

"Contohnya, saya menyertai Program MARA In Fashion (MIF) yang dianjurkan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk membantu bukan sahaja meningkatkan mutu karya fesyen, tetapi membina rangkaian perniagaan.

"Di dalam industri ini, kita berurusan dengan ramai pihak untuk mengukuhkan jenama dan tidak boleh hanya memfokuskan kepada karya. Jadi, mempelajari daripada mereka yang berpengalaman antara kuncinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 November 2021 @ 7:00 AM