KONTRAKSI  rahim yang kuat berisiko menyebabkan bekalan oksigen kepada bayi berkenaan terganggu.
KONTRAKSI rahim yang kuat berisiko menyebabkan bekalan oksigen kepada bayi berkenaan terganggu.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


TAHUKAH anda bahawa jumlah air ketuban yang normal untuk bayi di dalam kandungan sentiasa berubah-ubah mengikut usia kandungan?

Pada peringkat awal kehamilan jumlahnya mungkin sekitar 10 hingga 50 cc sahaja namun ia akan terus bertambah seiring dengan peningkatan usia kandungan.

Air ketuban boleh mencapai sekitar 600cc ke 1, 200 cc apabila usia kandungan memasuki 34 hingga 38 minggu.

Bagaimanapun, jumlah itu akan mula berkurangan apabila usia kandungan makin menghampiri tempoh kelahiran bayi.

Pakar Perunding Perbidanan, Sakit Puan dan Kesuburan, Hospital Pakar KPJ Tawakkal Kuala Lumpur (KL) Dr Ahmad Murad Zainuddin berkata, kebiasaannya

doktor akan mengira jumlah air ketuban menggunakan mesin ultrasound dengan mengira jumlah 'amniotic fluid index' (AFI).

Kata Dr Ahmad Murad, bacaan AFI biasanya sering digunakan apabila usia kandungan melebihi 24 minggu.

"Air ketuban dihasilkan menerusi air kencing bayi ketika berada di dalam kan

dungan dan bayi yang normal akan sentiasa meminum kembali air ketuban berkenaan.

"Bacaan AFI yang normal adalah antara 8 hingga 20," katanya kepada Harian Metro.

Mengulas lanjut, Dr Ahmad Murad berkata, jika AFI kurang dari 8, keadaan itu dipanggil 'oligohydramnios.'

AIR ketuban  penting untuk memudahkan bayi bergerak di dalam kantung rahim ibu.
AIR ketuban penting untuk memudahkan bayi bergerak di dalam kantung rahim ibu.

"Oligohydramnios' akan menyekat pergerakan anggota dan tumbesaran badan bayi dalam kandungan termasuk organ seperti sistem pernafasan bayi.

Katanya, air ketuban penting untuk memudahkan bayi bergerak di dalam kantung rahim ibu.

"Pergerakan bayi yang baik akan dapat membina otot-otot mereka dengan lebih sempu

rna.

"Selain itu, air ketuban juga berfungsi sebagai medium yang dapat mengurangkan kesan mampatan tekanan dari luar.

"Tekanan yang ada mungkin akan menekan tali pusat di dalam rahim. Keadaan itu boleh menyebabkan bayi berkenaan kurang mendapat bekalan oksigen sekali gus berisiko menyebabkan bayi lemas dan meninggal dunia," katanya.

Menurut Dr Ahmad Murad lagi, jika jumlah air ketuban berlebihan, keadaan itu dikenali sebagai 'polyhydramnios' dan juga boleh menimbulkan masalah kepada bayi.

Ini kerana jelas beliau, 'polyhydramnios' lazimnya dikaitkan dengan penyakit kencing manis atau diabetis yang tidak dikawal atau dikenal pasti.

"Namun terdapat juga pelbagai faktor penyebab lain antaranya kandungan kembar, keabnormalan sistem usus bayi yang tidak dapat menelan air ketuban dan sebagainya.

"Dalam kebanyakan kes, 'polyhydramnios,' tiada sebarang penyebab yang nyata ditemui," katanya.

Jelas Dr Ahmad lagi, air ketuban juga boleh menjadi keruh dan ia seharusnya dipantau rapi oleh ibu hamil.

Ini kerana kata beliau, air ketuban yang normal berwarna agak kekuningan sedikit dan ia juga tiada sebarang bau.

Bagaimanapun, jika air ketuban berwarna kehijauan seperti air tebu, ia menandakan bayi sudah 'mengeluarkan najis dalam kandungan' atau mengeluarkan 'meconium' iaitu hasil pertama kumuhan usus bayi berkenaan.

AIR ketuban dikesan menggunakan mesin ultrasound dengan mengira jumlah ‘amniotic fluid index’ (AFI).
AIR ketuban dikesan menggunakan mesin ultrasound dengan mengira jumlah ‘amniotic fluid index’ (AFI).

"Ia adalah petanda bahawa bayi dalam keadaan tertekan atau 'distress.' Semakin pekat 'meconium' ini, semakin bertambah risiko bayi berkenaan mendapat masalah pernafasan terutama akibat sindrom aspirasi 'meconium.'

"Air ketuban yang bercampur dengan darah pula mungkin disebabkan pendarahan di dalam rahim akibat uri yang tertanggal terlebih awal (abruptio placenta) atau mungkin disebabkan dinding rahim yang sudah koyak atau pecah," katanya.

Sementara itu, Dr Ahmad Murad berkata, jika mendapat nutrisi dan bekalan oksigen yang normal, bayi di dalam kandungan biasanya tidak menghadapi sebarang tekanan.

Bagaimanapun, ketika proses bersalin, terdapatnya aktiviti kontraksi rahim yang kuat dan ia mungkin menyebabkan bekalan oksigen kepada bayi berkenaan terganggu.

"Keadaan itulah yang boleh menyebabkan bayi mengalami 'fetal distress' terutama bagi ibu-ibu yang berisiko tinggi seperti lebih hari (post date) atau menghidap penyakit darah tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2020 @ 7:00 AM