KEDUDUKAN di mana punggung, kaki berada dekat dengan pintu rahim dan bukan kepala bayi. - FOTO Google
KEDUDUKAN di mana punggung, kaki berada dekat dengan pintu rahim dan bukan kepala bayi. - FOTO Google
Nurul Husna Mahmud


SATU fakta unik membabitkan kedudukan bayi songsang ialah 40 hingga 60 peratus kes berlaku ketika tempoh kandungan berusia antara enam bulan hingga lapan bulan. Dijangka ia kembali normal sebaik mendekati tempoh kelahiran.

Namun, masalah bayi dalam kandungan songsang ketika menghampiri trimester terakhir iaitu 38 hingga 40 minggu boleh berlaku. Dianggarkan insiden itu berlaku dalam kadar tiga hingga empat peratus.

Ini bermakna dalam setiap 100 kehamilan, akan ada sekurang-kurangnya tiga atau empat bayi yang mengalami masalah untuk memusingkan kepala ke pintu rahim ketika proses kelahiran.

Menurut Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pakar An-Nur, Dr Wan Maskliza Wan Daud, masalah bayi songsang ialah kedudukan di mana punggung dan kaki bayi berada dekat dengan pintu rahim (serviks) dan bukan kepala bayi.

"Kedudukan bayi yang tidak normal iaitu songsang dengan kedudukan kepala tidak menghampiri pintu serviks yang mana tempat bayi ini keluar atau lahir boleh mendatangkan komplikasi ketika bersalin baik kepada bayi mahupun ibunya.

"Punca yang menyumbang kepada masalah berkenaan adalah pelbagai termasuk bayi yang dilahirkan berkemungkinan tidak normal. Selain itu, ada juga disebabkan kandungan air ketuban terlalu sedikit atau terlalu banyak hingga mempengaruhi kedudukan bayi.

"Selain itu, punca lain ialah kedudukan uri si ibu berada pada bawah rahim juga menyebabkan bayi selesa berada pada kedudukan berkenaan. Dalam kes tertentu, disebabkan bentuk rahim membuatkan bayi dalam kandungan postur menyongsang.

"Seperti kes rahim bertanduk atau pun 'bicornuate uterus' sejenis kejadian rahim abnormal dan wujud secara 'congenital' (lahir bersama penyakit terbabit)," katanya.

Tambah Dr Wan Maskliza lagi, selain masalah terbabit, kehadiran tumor seperti 'cyst' pada ovari serta fibroid pada rahim boleh juga menyumbang kepada masalah bayi songsang di penghujung tempoh kandungan.

IBU perlu dapatkan nasihat pakar perbidanan bagi melakukan prosedur berkenaan. - FOTO Google
IBU perlu dapatkan nasihat pakar perbidanan bagi melakukan prosedur berkenaan. - FOTO Google

Menjelaskan keadaan dan kesan apabila bayi berada dalam keadaan songsang, kata pakar itu, biasanya ibu akan berasa gerakan lebih kuat di bahagian bawah rahim.

"Apabila bayi berada dalam keadaan songsang, pergerakan bayi aktif menunjukkan bayi berada dalam keadaan baik, sama seperti bayi yang tidak songsang. Tetapi, berkemungkinan ibu bayi yang songsang berasa gerakan lebih kuat di bahagian bawah rahim.

"Antara implikasi lain ialah tahap kesihatan terutama mental ibu turut terjejas kerana bimbangkan keadaan bayi. Ini boleh berlaku pada ibu yang menyimpan harapan tinggi untuk bersalin normal. Keadaan ini mendorong ibu berkenaan mendapatkan khidmat pakar perawatan tradisional yang dikatakan mampu memusingkan kedudukan bayi," katanya.

Tambah Dr Wan Maskliza, tindakan ibu yang mendapatkan khidmat perawatan tradisi bagi memusingkan bayi mereka boleh meningkatkan lagi risiko sedia ada seperti risiko kecederaan dan kematian ketika bersalin.

"Apabila terdapat segelintir ibu yang panik dan lebih percayakan tukang urut tradisional atau 'mak bidan' tiada kelulusan melakukan prosedur terbabit boleh merisikokan nyawa bayi dan ibu dengan komplikasi bersalin.

"Antara risiko yang boleh berlaku adalah bayi itu lemas dan terbelit tali pusat. Ada juga kes uri lekang atau pendarahan kerana urutan atau tindakan memusing bayi tanpa pakar perbidanan terlatih. Akhirnya mengakibatkan kematian pada bayi," katanya.

Di peringkat hospital, kaedah memusing bayi antara usaha pertama membantu ibu melahirkan secara normal. Namun, prosedur dilakukan di hospital berbeza dengan standard amalan tukang urut tradisi. Ini kerana melalui proses yang ketat dengan bantuan teknologi imbasan bagi memastikan keadaan bayi dan ibu juga selamat.

"Di hospital, bayi yang songsang boleh melalui prosedur pusing bayi atau 'External cephalic version' (ECV) oleh pakar yang sudah terlatih pada usia kandungan 37 minggu.

TALI pusat terbelit antara risiko yang biasa dihadapi bayi songsang. - FOTO Google
TALI pusat terbelit antara risiko yang biasa dihadapi bayi songsang. - FOTO Google

"Bagaimanapun, sebelum ia dilakukan, saringan menerusi ultra bunyi akan dijalankan terlebih dahulu untuk mengetahui kedudukan bayi, uri, air ketuban dan tali pusat bayi.

"Jantung bayi juga akan diperiksa untuk memastikan bayi dalam keadaan yang baik sebelum dan selepas prosedur. Untuk ibu, beberapa perkara akan dipantau selepas ECV dilakukan, seperti tekanan darah dan tanda-tanda seperti sakit pada abdomen dan pendarahan melalui vagina," katanya.

Sekiranya didapati berlaku komplikasi seperti jantung bayi tidak normal atau berlaku sakit pada abdomen dan pendarahan dari vagina ibu, pembedahan 'caesarean' akan dilakukan dengan segera untuk menyelamatkan bayi serta ibu.

Selepas pemeriksaan tiada komplikasi dan keadaan benar-benar stabil, ibu boleh bersalin secara normal sekiranya bayi mereka kekal dalam kedudukan di bawah.

Tetapi, sekiranya prosedur ECV itu gagal dan tiada berlaku sebarang komplikasi selepas prosedur terbabit, ibu perlu menjalani pembedahan 'caesarean' secara elektif pada minggu ke-38 kandungan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 7:01 AM