BAYI kedua dilahirkan dengan kantung amnion.  FOTO Ana Teijelo
BAYI kedua dilahirkan dengan kantung amnion. FOTO Ana Teijelo
Agensi

Madrid: Imej luar biasa menunjukkan seorang bayi perempuan yang dilahirkan melalui pembedahan caesarean dengan keadaannya masih diselaputi kantung amnion iaitu kejadian hanya satu dalam 80,000 kelahiran.

Peristiwa yang jarang berlaku itu terjadi di sebuah hospital di bandar Vinaros, di wilayah Castellon, Valencia, timur Sepanyol.

Pakar sakit puan dan obstetrik, Ana Teijelo, yang bertanggungjawab ke atas pasukan perubatan yang menjalankan pembedahan caesarean berkongsi rakaman proses kelahiran yang berlaku pada Rabu, 23 Mac lalu.

Dia berkata, pada hari itu, di hospital Vinaros, satu pembedahan caesarean untuk seorang bayi yang juga pasangan kepada seorang lagi kembar.

Kelahiran itu juga dikenali sebagai kelahiran 'duyung' atau 'en caul', adalah apabila bayi keluar masih di dalam kantung amnion yang biasanya pecah apabila ibu mengandung akan bersalin.

Ia dikatakan berlaku hanya sekali dalam setiap 80,000 kelahiran.

Kantung amnion ialah kantung nipis berisi cecair yang mengelilingi janin semasa kehamilan dan membantu melindunginya daripada kecederaan dan mengawal suhu supaya kekal panas.

Apabila kantung amnion pecah, inilah yang biasa dikenali sebagai 'air ketuban'.

Kelahiran en caul adalah lebih biasa semasa pembedahan, tetapi ia juga boleh berlaku dalam kelahiran normal.

Sebilangan kecil kelahiran kembar dilakukan melalui caesarean yang berpotensi menjelaskan kejadian ini.

Ana berkata, semua kakitangan gembira dengan pengalaman mengendalikan kelahiran unik bayi berkenaan.

"Untuk meninggalkan kenangan ini, kakitangan kami membuat lukisan untuk ibu dengan mencetak plasenta dan ia kelihatan cantik, sungguh.

"Menjadi profesional yang baik tidak bertentangan dengan bersikap empati (jangan takut apabila anda mendengar perkataan plasenta, betul-betul)," katanya.

Pakar obstetrik itu berkata, dia berharap kisah luar biasa itu akan memberi inspirasi kepada orang lain yang bekerja dalam penjagaan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2022 @ 7:15 AM