ELAKKAN terdedah terlalu lama kepada sinaran matahari kerana ia boleh merosakkan kulit.
ELAKKAN terdedah terlalu lama kepada sinaran matahari kerana ia boleh merosakkan kulit.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

CUACA di sekeliling kita agak panas berbanding hari-hari biasa sejak kebelakangan ini.

Pada awal pagi, matahari sudah terik dengan suhu tinggi hingga boleh terasa bahang di permukaan kulit.

Apatah lagi ketika tengah hari, panas suhunya memang membahang terutama jika berada di luar bangunan.

Keadaan itu dikatakan kerana negara mengalami musim panas dan kurang taburan hujan sehingga Oktober ini.

Justeru, masyarakat perlu menjaga kesihatan dengan meminum air secukupnya selain mengelakkan dari berada di luar rumah ketika cuaca panas.

Dalam aspek menjaga kecantikan terutama kulit pula, cuaca panas juga antara musuh utama.

Begitupun, ada beberapa tip yang boleh dijadikan panduan dalam menjaga kecantikan kulit ketika cuaca panas.

JANGAN kerap mencuci muka untuk elakkan kulit wajah hilang kelembapan.
JANGAN kerap mencuci muka untuk elakkan kulit wajah hilang kelembapan.

Antaranya:

1) Hindari sinar Ultra Ungu (UV)

Untuk wanita pula, elakkan terdedah terlalu lama di bawah sinaran matahari bagi menjaga kecantikan kulit.

Berada di bawah sinar matahari hanya akan membuat anda berpeluh dan mendapat kesan berbahaya dari sinar UV .

Selain itu, sinar matahari membuatkan kulit kelihatan lebih berminyak.

Dari jam 10 pagi hingga 3 petang, matahari berada di puncak dan memancarkan sinar yang panas, jadi hindari cuaca panas terik terutama pada waktu berkenaan.

2) Minum air secukupnya

Air cukup penting untuk kesihatan badan dan kecantikan kulit.

Jika badan kekurangan air, kulit akan mengalami masalah seperti kering dan tidak selesa.

Anda disarankan supaya meminum 1.5 liter air sehari untuk menampung kandungan air yang hilang.

3) Semburan mist spray

Jika cuaca terlalu panas, salah satu cara untuk menyegarkan wajah dan kawasan leher adalah dengan semburan mist spray.

Ia dikatakan dapat menyejukkan kulit wajah supaya anda kembali selesa.

Apapun, lap semua peluh dahulu sebelum melakukan semburan.

SEMBURAN mist spray dapat menyejukkan wajah dengan segera.
SEMBURAN mist spray dapat menyejukkan wajah dengan segera.

4) Jangan kerap cuci muka

Walaupun kita kerap berpeluh ketika cuaca panas namun ada pendapat mengatakan bahawa ia tidak bagus untuk mandi atau mencuci wajah lebih daripada dua kali sehari.

Ini kerana, apabila sering mencuci, kulit akan kehilangan kelembapan, sehingga menghasilkan minyak berlebihan untuk kembali lembap.

Jadi mencuci muka terlalu kerap akan meningkatkan kadar minyak pada wajah anda.

Bagi anda yang ada masalah kulit sensitif, gunakan pencuci wajah yang lembut dan elakkan rutin penjagaan wajah yang kompleks.

Elakkan juga menggunakan sebarang produk penjagaan yang mengandungi alkohol dan setiap kali mencuci wajah, keringkan dengan lembut secara menekap muka menggunakan tuala.

5) Kurangkan solekan

Ramai wanita berasa tidak sempurna tanpa solekan namun sebaiknya kurangkan penggunaan solekan pada musim panas.

Ini kerana bedak asas hanya akan membuat wajah lebih mudah berpeluh.

Selain itu, ia juga menyumbat pori yang menyebabkan kulit wajah mudah berjerawat.

Sebaiknya, gunakan pelembap ringan ketika musim panas.

KURANGKAN solekan ketika musim panas.
KURANGKAN solekan ketika musim panas.

6) Vitamin E

Lebihkan pengambilan makanan yang kaya vitamin E kerana sumber makanan ini mampu memberikan kelembapan pada kulit.

Antaranya tomato, strawberi, epal dan pelbagai lagi buah-buahan.

7) Krim pelindung suria

Pastikan losyen pelindung sinar UV suria dipakai setiap kali ketika keluar rumah.

Jika melakukan aktiviti atau sukan air, gunakan krim pelindung suria jenis kalis air.

Krim pelindung jenis berkenaan dapat memberikan perlindungan kepada kulit lebih lama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2020 @ 6:45 AM